Tuesday, 28 May 2013

Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pembukaan Rasmi Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 bertempat di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku, Gadong pada Hari Khamis 1 Zulhijah 1430 / 19 November 2009


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta ingin mengajak, supaya kita terus-menerus bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah mengurniakan nikmat-Nya berupa penghidupan yang selesa dan bahagia.  Salah satu punca nikmat itu ialah bumi yang subur, yang sesuai untuk bercucuk tanam.

Di samping nikmat bumi subur, kita juga menikmati suasana dan keadaan yang aman, terlepas dari pelbagai musibah yang berat-berat, seperti bencana-bencana alam yang merosakkan bumi dan harta benda.

Sangat banyak bumi yang subur di dunia ini, tetapi banyak juga yang tidak dapat dimanfaatkan oleh warganya, kerana terhalang oleh pelbagai kejadian atau musibah.  Lain lagi, setengahnya itu, ada yang memang tidak memiliki tanah dan iklim yang sesuai untuk pengeluaran makanan.

Di negara kita alhamdulillah, bumi dan iklim serta keadaan, adalah cukup-cukup memberangsangkan untuk mencari penghidupan dengan cara mengusahakan tanah.

Pekerjaan bertani dan bercucuk tanam bukanlah satu kerja lekeh, tetapi amat dipuji dan digalakkan oleh agama, kerana manfaatnya bukan untuk individu tertentu saja, malahan bagi sekalian makhluk Allah Taala, sebagaimana ada hadis yang bermaksud:  “Bahawa seorang Muslim yang bertanam itu, kemudian hasil tanamannya dimakan oleh manusia, binatang dan burung, semuanya itu akan jadi sedekah baginya sehingga hari kiamat.”

Tidakkah ini petunjuk yang jelas betapa bercucuk tanam itu suatu pekerjaan yang mulia?

Jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ia bukan saja mampu untuk menjamin pemakanan rakyat, malahan juga boleh membantu mengatasi pelbagai kesulitan, termasuk mengurangkan pengangguran.

Krisis global yang berkaitan dengan perubahan iklim, yang diburukkan lagi dengan berkurangnya kawasan-kawasan yang boleh dijadikan kawasan pertanian, memberikan kita kepercayaan bahawa bidang pertanian, khasnya di akhir-akhir ini, adalah suatu bidang yang amat penting, merupakan salah satu tunggak utama  dalam perekonomian negara.

Oleh itu memandangkan usaha-usaha penyediaan bahan makanan adalah melibatkan secara langsung bidang pertanian, maka beta terpanggil untuk menjadikan Jabatan Pertanian sekarang ini menjadi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Pembangunan sektor pertanian dan agrimakanan ini, memerlukan peralihan dan pertanian jenis tradisi kepada pertanian berteknologi tinggi; dari pertanian jenis kecil-kecilan kepada pertanian berunsurkan komersil berskala besar; dan dari jenis pertanian sambilan kepada jenis pertanian sepenuh masa.

Ini memerlukan pendekatan baru, terutama dalam hal-ehwal pengurusan, tenaga manusia, kemudahan kewangan dan pemasaran.

Bidang pertanian di merata dunia sudah mengalami perubahan yang deras.  Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan prasarana yang sesuai bagi menghadapi segala kemungkinan.  Maka atas asas inilah, kerajaan beta, melalui Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan terus menyediakan bantuan, bimbingan dan prasarana bagi membolehkan pertanian di negara ini berdaya maju.

Para petani, peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian, digalakkan untuk menyertai usaha-usaha penghijauan bumi ini, kerana tanpa penglibatan mereka, usaha-usaha kerajaan akan kurang berjaya.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha dan sumbangan para petani, peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian di negara ini, beta dengan sukacita mengisytiharkan, bahawa pada setiap 1 haribulan November sebagai Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan bagi Negara Brunei Darussalam.   Semoga dengan pengiktirafan ini, para petani, peladang, penternak dan nelayan serta pengusaha pertanian akan meneruskan usaha murni mereka untuk membantu kerajaan dan juga membantu diri mereka sendiri.

Dengan amat sukacita dan bersyukur serta iringan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Salli ‘Alaa Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aali Sayyidina Muhammad, beta rasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 dan juga melancarkan pembukaan Taman Agroteknologi Brunei.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment