Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-64 Tahun pada Hari Khamis 3hb
Sya’aban, 1431 15hb Julai, 2010
Assalamu’alaikum
Warahmatullahi
Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah,
bersyukur kita kehadrat
Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya
jua, istiadat pada pagi ini, dapat berlangsung dengan baik dan
sempurna.
Beta sukacita merakamkan ucapan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tetamu-tetamu
khas Beta, yang dapat meluangkan masa untuk sama-sama hadir meraikan
Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang Ke-64.
Kita juga bersyukur kerana Allah telah
mengurniakan kepada negara dan rakyat serta penduduk dengan pelbagai
nikmat, berupa keamanan dan kemakmuran.
Ini semua, memerlukan kita menanai dan
memeliharanya dengan konsisten.
Bagaimanakah kita menanai dan
memelihara itu? Tentu saja dengan berusaha, demi kelangsungan dan
kemantapannya.
Keamanan yang bertahan lama dan mantap
adalah segala-galanya. Demikian juga kemakmuran yang berterusan
adalah menjadi idaman kepada semua.
Kedua-dua ini adalah asasi, akan
menentukan rebah-bangun negara. Negara yang aman adalah negara yang
selesa : selesa untuk berkembang dan membangun. Ditambah lagi kalau
ia makmur, akan menjadikannya lebih mudah pula untuk melakar
kemajuan.
Inilah rahasia keamanan. Kerana itu,
adalah menjadi kewajipan utama bagi agensi-agensi yang berkaitan
untuk menggambil tanggungjawab penuh terhadapnya. Sementara rakyat
pula, hendaklah memberikan kerjasama yang padu.
Didalam usaha untuk mengekalkan
kemakmuran pula, kita boleh memakai dasar dan kaedah-kaedah biasa.
Kalau orang lain bersaing, kita pun juga bersaing. Orang lain
melabur, kita juga melabur. Orang lain mempelbagaikan ekonomi, kita
juga mempelbagaikan ekonomi. Pendeknya, kita boleh saja mengharung
apa jua cara yang sesuai untuk kelangsungan kemakmuran itu.
Tetapi dalam pada itu, elakkan cara dan
tabi’at yang tidak sihat, seperti tabi’at suka berhutang, tanpa
menghiraukan risiko bebanan hutang.
Tahukah kita, ada kajian menunjukkan,
bahawa krisis kewangan dunia turut dilihat sebagai berpunca daripada
bebanan hutang. Satu fenomena yang menggerunkan telah dapat dikesan,
bahawa bukan saja individu, keluarga dan syarikat perniagaan
menanggung beban hutang, malah terdapat juga negara yang membuat
pinjaman berlebihan, sehingga menjadikan kestabilan ekonomi dan
kewangan negara tersebut tergugat, dan bahkan kestabilan ekonomi dan
kewangan dunia juga.
Menyedari lebih awal akan bahaya
inilah, makanya Kerajaan Beta semenjak beberapa tahun kebelakangan
lagi, telah pun mengamalkan dasar berhemah dan berjimat cermat
didalam berbelanja, dengan menekankan value for money
serta menabung lebihan pendapatan kerajaan, demi, agar kemakmuran
yang ada sekarang dapat terus dinikmati oleh generasi demi generasi.
Alhamdulillah, satu berita
memberangsangkan berdasarkan The World Economic Forum’s (WEF)
Global Competitiveness Report 2008-2009, negara kita telah
menduduki tempat teratas dari sudut pengurusan hutang kerajaan,
dengan mengambil kira negara ini tidak mempunyai hutang awam.
Sementara itu, negara juga menempati kedudukan kedua daripada 134
buah negara dari aspek kekukuhan makroekonomi.
Insya Allah, selaras dengan amalan
terbaik antarabangsa, Kerajaan Beta juga akan melakar satu sejarah
baru dalam hal ehwal kewangan, dengan penubuhan sebuah autoriti
monetari yang digelar Authoriti Monetari Brunei Darussalam
(AMBD) atau Monetary Authority of Brunei Darussalam
yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari, 2011. Badan ini akan
bertanggungjawab, termasuk keatas dasar-dasar monetari,
pengawalseliaan institusi kewangan dan pengurusan matawang.
Di arena antarabangsa, kita akan terus
mengamalkan dasar saling hormat menghormati serta bekerjasama bagi
kebaikan semua pihak.
Diperingkat ASEAN, komitmen kita adalah
dipandu oleh halatuju Piagam ASEAN sendiri. Sementara diperingkat
lebih jauh melalui keahlian kita didalam pertubuhan antarabangsa yang
lain, termasuk APEC, OIC, Commonwealth dan lain-lain, kita juga akan
mengekalkan peranan membina didalamnya.
Beralih kepada perkara yang tidak
kurang utamanya, iaitu Perkhidmatan Awam. Ia memerlukan peningkatan,
baik disegi produktiviti mahu pun etika kerjanya. Beta mahu
Perkhidmatan Awam itu, secara berterusan, akan menilai kekuatan dan
kelemahannya berasaskan Key Performance Indicators yang
telah ditetapkan.
Dengan cara ini, dapatlah kita menyukat
setakat mana Perkhidmatan Awam itu dapat melaksanakan
tanggungjawabnya pada memenuhi harapan negara dan orang ramai.
Sejajar dengan keperluan-keperluan
utama, Kerajaan Beta telah dan sedang menangani, bagaimana untuk
mempercepatkan lagi penyediaan perumahan awam yang bersesuaian.
Kearah ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan
Perumahan, akan menetapkan sasaran dan langkah untuk memenuhi
pemintaan, termasuk rancangan pembinaan rumah-rumah yang
diungkayahkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei. Melalui
langkah-langkah berkesan, Beta berharap pengagihan perumahan itu akan
lebih dapat dipercepatkan.
Kita juga bergerak dalam pembangunan
yang lebih kondusif bagi pelaburan, dengan meningkatkan pemeliharaan
alam sekitar dan kualiti kehidupan. Sehubungan ini, Kementerian Hal
Ehwal Dalam Negeri sedang mengungkayahkan pembangunan Bandar Seri
Begawan melalui penyediaan Plan Induk Bandar Seri Begawan.
Dibidang perkhidmatan kesihatan,
Kementerian yang berkaitan amatlah perlu untuk mengukuhkan lagi
dasar-dasarnya, menilai sistem dan pengurusan kesihatan, khasnya
kapasiti dan kualiti sumber tenaga kedoktoran dan professional lain.
Kita tidak mahu rumahsakit kita menjadi bayang-bayang yang
menakutkan, hanya kerana doktor-doktor selalu gagal dalam memberikan
khidmat mereka.
Di bidang permakanan, Kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, akan terus melipatgandakan
usaha, untuk menghampiri sasaran sara diri yang kita cita-citakan
itu. Disamping jangan juga lupa tentang keselamatan makanan, sama ada
yang bersumber daripada dalam, mahu pun luar negara.
Langkah-langkah penilaian dan kawalan
perlu dipastikan, meliputi semua aspek : kehalalan, kebersihan dan
keselamatan makanan. Walaupun hanya bahan-bahan, yang biasanya
dianggap selamat, seperti sayur mayur dan ikan, namun kita juga
pernah mendengar tentang sayur mayur yang beracun dan ikan yang
diawit dengan bahan pengawit yang memudaratkan.
Ini belum lagi bahan-bahan daging yang
tidak halal, yang dibawa masuk melalui jalan penyeludupan dan
lain-lain.
Ini semua turut menjadi tanggungjawab
kita memedulinya.
Bidang paling utama lagi mencabar pula,
ialah pendidikan. Kementerian berkenaan, melalui system pendidikan,
akan menangani pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah-kaedah baru
yang maju, tetapi bukanlah dengan mengabaikan kepentingan-kepentingan
besar nasional, Subjek-subjek teras dan pengisiannya hendaklah terus
diutamakan.
Ini juga turut menyangkut pendidikan
ugama dibawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kita mesti melihat
kepentingan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama selaku keperluan dan
tuntutan zaman.
Keperluan disini ialah untuk menjadikan
semua anak-anak orang Islam dinegara ini celik ugama.
Bagaimanakah caranya?
Tentu saja melalui system pendidikan
yang dominan mendaulatkan ugama.
Dimana tempatnya? Bukanlah di rumah
atau dilain-lain tempat, tetapi di Sekolah Ugama itu sendiri.
Kita melihat ini bukanlah untuk masa
setahun dua, tetapi bagi jangka panjang, demi survival bangsa. Kerana
tanpa ugama atau lemah ugama, akan menghumbankan kita kepada bencana.
Lihat saja kepada beberapa episod
permasalahan dalam masyarakat, yang menjangkiti banyak peringkat,
terutama peringkat muda mudi dan juga anak-anak sekolah. Mereka
terjerumus kedalam pelbagai kancah, seperti kancah pergaulan bebas,
jenayah dan dadah, sehingga ada yang telah ditangkap dan dipenjarakan
di negara asing kerana terlibat dengan sindiket dadah.
Ini tidak boleh dipandang sepi. Selaku
bangsa yang sedar, kita mestilah mengubatinya, dan satu-satunya ubat
itu ialah ugama.
Akhirnya, Beta dengan ikhlas ingin
merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat
dan penduduk, termasuk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan
Keselamatan dan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, yang
telah memberikan pelbagai khidmat dan sumbangan mereka kepada
Kerajaan dan negara.
Beta juga merakamkan ucapan yang sama
kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan disemua peringkat, atas
usaha padu mereka menjayakan perayaan Hari Ulang Tahun Beta ke-64
ini. Semoga Allah memberkati semua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah,
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment