Tuesday, 28 May 2013

Tahun Baru Hijrah 1429

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1429
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN
WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI
SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN
YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1429
PADA HARI RABU 1 HIJRAH 1429 / 9 JANUARI 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta ingin mengajak seluruh rakyat dan penduduk supaya sama-sama bersyukur Ke hadhrat Allah Subhanahu Wata' ala kerana dapat pula rnenyambut Tahun Baru Hijrah yang penuh berkat lagi bersejarah ini.

Hijrah turut membawa erti perubahan yang mengandungi kebajikan, dalam makna, semuanya itu perlulah berubah, daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik.

Sesudah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah, bilangan kaum Muslimin semakin bertambah. Asas aqidah yang ditanam oleh Baginda di Mekah juga kian subur dan kukuh menjiwai kehidupan pengikut-pengikut Baginda.

lnilah hakikat hijrah. la tidak saja bererti pindah, malahan kita juga mestilah turut sama mengalami perubahan atau membawa perubahan.

Perubahan itu walaupun kecil saja, tetapi yang penting kita berubah. Sebagai misalan, seseorang yang pada awalnya tidak meminati ‘Siaran Warta Berita’, tetapi sekarang dia telah pun meminatinya. lni tidak syak lagi adalah suatu perubahan yang positif bagi dirinya.

Sesuatu kebaikan atau kemajuan itu adalah bermula daripada kesedaran. Tanpa kesedaran, tidak akan berlaku sebarang perubahan.

Seperti orang merokok, dia baru akan berhenti merokok apabila dia menyedari akan bahaya rokok itu terhadap diri dan malah juga nyawanya.

Inilah peranan kesedaran. Ia mesti ada dan perlu sentiasa dirangsang. Kerana itu beta turut memuji langkah-langkah dakwah dan motivasi, dalam apa pun bentuknya, yang bertujuan untuk menyedarkan masyarakat supaya segera berubah : Berubah kepada yang lebih baik dari yang kurang atau tidak baik.

Begitulah dengan lain-lain lagi perkara, yang memerlukan kita supaya berubah. Jika masih kurang rajin, maka hendaknya, eloklah kita berubah kepada lebih rajin. Jika masih kurang aktif, berubahlah kepada lebih aktif dan jika masih kurang kreatif, maka elok pula kita berubah kepada lebih kreatif.

lni semua adalah perubahan-perubahan yang sungguh-sungguh dituntut.

Namun kesedaran untuk itu jarang yang tumbuh spontan sekalipun telah dirangsang, melainkan ada lagi ‘penyebab-penyebab istimewanya’, untuk mendorong kita cepat-cepat berubah.

Contohnya dalam perkara rokok tadi, walaupun sudah ada bahan perangsang berupa pengetahuan tentang bahaya rokok, namun orang masih saja ramai yang merokok. Kerana itulah, banyak negara, walaupun sudah lebih awal menemukan keburukan-keburukan rokok dan merokok itu, namun dalam masa yang sama juga mereka tidak duduk diam tetapi mengambil langkah dengan menggubal peraturan-peraturan atau akta-akta tertentu untuk menangani gejala merokok itu.

lni pada hemat Beta, elok jugalah dilihat dan difikir-fikirkan. Kita sebenamya sudah banyak mendepani masalah, dan bahkan, sudah banyak wawasan kita mampu mendahului orang lain, tetapi dalam mencari penyudahnya kita sering terlambat.

Jadi mengambil sukut Tahun Baru Hijrah yang mulia ini, maka wajarlah kita melihat mana-mana yang mustahak untuk kita membuat atau membawa perubahan itu, terutama oleh agensi-agensi kerajaan.

Banyak benar isu penting yang minta ditangani, di antaranya ada yang mustahak disegerakan, seperti isu banjir kilat atau kawasan-kawasan yang mudah ditenggelami air.

Di sana ada pendapat, bahawa perkara tersebut turut berpunca daripada system perairan atau perlongkangan yang kurang diberikan perhatian, yang ditumbuhi oleh rumput-rampai yang menyebabkan air tersekat atau tidak lancar mengalir.

Jika ini betul, apakah ia tidak mustahak untuk diambil berat dan dibuat perubahan segera?

Atau banjir itu juga boleh berlaku disebabkan faktor pembangunan, seperti jika ada projek-projek yang tidak dikawal 'ketat' oleh sebarang peraturan atau akta, di mana kontraktor-kontraktor dengan sesuka hati boleh meruntuh bukit, mengorek dan memunggah tanah serta melonggok-longgok sampah, yang risikonya nanti boleh menjejaskan longkang dan parit dan alam sekitar.

Perkara ini kelihatannya seperti kecil saja, tetapi sebenarnya bukan. Ia berkait rapat dengan pelbagai kepentingan, seperti perundangan, pengurusan, etika dan disiplin. Manakala semua ini ada pada kita, sudah barang tentu segala masalah akan dapat ditangani.

Jadi ingin beta tegaskan di sini, supaya kita bersikap lebih maju tanpa mengabaikan ‘langkah-langkah perlu’ untuk mengatasi masalah. Jika terdapat isu yang memadai hanya dengan pengurusan biasa, maka bolehlah kita mengurusnya dengan cara biasa. Ataupun, ada isu yang memerlukan ‘peraturan-peraturan khas’ atau akta, maka mengapakah tidak diluruskan pengurusannya dengan kuat kuasa peraturan atau akta tersebut?

Ataupun, jika kita belum lagi mempunyai peraturan atau akta mengenainya, maka apakah salahnya jika kita menggubal peraturan dan akta yang berkaitan?

Begitulah caranya untuk merintis sebarang perubahan dan kemajuan tanpa terperangkap dengan fikiran-fikiran sempit atau jalan buntu.

Akhirnya, beta dan keluarga beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429. Semoga kehadirannya akan memarakkan lagi ‘kesedaran berbakti’ kepada Allah dan agama-Nya, maju jaya serta aktif membawa perubahan-perubahan bermakna bagi negara.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment