Wednesday, 29 May 2013

Hari Raya Aidiladha 1429 Hijrah/2008 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidiladha 1429 Hijrah/2008 Masihi
TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

HARI RAYA AIDILADHA 1429 HIJRAH/2008 MASIHI


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulullahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nastaeenu ‘Ala Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen.  Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen.  Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Dengan takbir kita membesarkan Allah, dan dengan tahmid kita memuji-Nya.  Allah Maha Besar dan segala puji adalah bagi-Nya.

Inilah kalimat-kalimat suci yang sedang memenuhi alam maya ini.  Dengan tidak mengira di mana-mana jua, ia tetap diucapkan oleh sesiapa saja yang bernama Muslim.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Amat nyata kepada kita, bahawa hari ini keberkatan adalah melimpah ruah.  Bibir-bibir sedia basah dengan zikrullah.  Hati-hati khusyuk serta tunduk kepada-Nya.  Hanya Dia jua, satu-satunya, yang disembah.  Hanya Dia jua, satu-satunya, tempat munajat, bagi memohonkan berkat dan rahmat.

Berhadapan dengan kebesaran dan kekayaan Allah, kita semua adalah kerdil dan miskin.  Siapa saja yang bernama makhluk adalah miskin.  Hanya Allah jua Yang Maha Kaya.

Selaku hamba yang kerdil lagi miskin, kita semua perlu memiliki sifat kasih sayang sesama kita sendiri, sambil bertolong-tolongan secara timbal balik.  Yang tua menyayangi yang muda, yang muda mengasihi yang tua.  Yang lebih kuat menolong yang lemah, yang lemah pula membalasnya, walau dengan doa.

Inilah prinsip Islam, khasnya yang berkaitan dengan komuniti sosial dan kehidupan.

Kerana itulah, Islam itu dinamakan agama rahmat, sebab, daripadanya tumbuh simpati dan mencurah ihsan.  Sehingga, kalau ada seseorang yang makan kenyang sedang jirannya lapar, maka Islam adalah mengutuknya.

Kita sebut perkara ini bersukut dengan Aidiladha yang mulia.  Pada hari ini syiar Islam bergemerlapan dengan alunan takbir dan tahmid oleh umat Islam di seluruh dunia, lebih-lebih lagi, secara khusus, oleh jutaan jemaah haji di Tanah Suci.

Allah memang Maha Kaya.  Di tengah-tengah krisis kewangan global yang melanda masyarakat antarabangsa pada ketika ini, umat Islam masih saja mampu untuk menyahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci dengan penuh semangat, seperti mereka tidak merasakan langsung sebarang kesan dari krisis yang merunsingkan ini.

Begitulah, Allah merahmati para hamba-Nya yang taat, dengan rezeki mereka yang menakjubkan.  Sepatutnya, operasi haji itu boleh saja terganggu, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu disebabkan krisis yang dahsyat ini.  Tetapi kenyataannya tidak!  Kerana rezeki itu adalah di tangan Allah, tidak siapa yang boleh menahannya kalau Dia memberi.

Kerana itu jangan takut, jika itulah perintah Allah, maka kewajipan kita ialah melakukannya.  Seperti juga suruhan berzakat, jangan ingkar dan jangan tahan zakat kerana takutkan habis.  Kalau inilah yang dikehendaki oleh Allah, maka apa perlunya lagi takut?  Lebih-lebih lagi Allah sendiri juga sudah menjamin untuk menambahnya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Berbalik lagi kepada prinsip Islam dalam mengurus kehidupan sosial.  Pada Hari Raya Aidiladha ini, umat Islam digalakkan berkorban.  Pada setiap tahun, nampaknya semakin ramai umat Islam berkorban, iaitu suatu tanda menggalakkan bagi kebaikan dunia dan akhirat kita.

Cuma ada sedikit pemikiran, iaitu adakah pengagihan daging-daging korban itu sudah benar-benar menepati sasaran?  Maksud beta, yang utama diutamakan, sementara yang kurang utama tidak pula diabaikan.

Walaupun hukum syarak turut membenarkan pengagihan daging korban kepada orang kaya seperti juga kepada fakir miskin, namun pada hemat beta, keutamaan adalah lebih wajar difokus kepada fakir miskin.  Kerana beta khuatir, ada di antara fakir miskin itu yang mungkin tercicir dalam pembahagian, disebabkan misalnya, mereka jauh terpencil, atau tidak mempunyai kemudahan untuk menerima bahagian mereka, sedangkan orang yang kaya atau orang senang lebih mudah mendapatkan bahagian di majlis-majlis korban yang mereka hadiri sendiri.

Mengapakah perkara ini beta timbulkan?  Kerana kita ingin melihat masyarakat berlaku adil kepada orang-orang daif yang lebih memerlukan.  Manakala mereka ini dilayan dengan adil, sudah barang tentu akan menambahkan lagi keberkatan kepada orang-orang yang berkorban dan malah juga negara.

Apabila beta katakan demikian, bukalah bererti beta melarang orang-orang kaya dan senang dari mendapat bahagian mereka.  Cuma secara wajarnya, orang-orang susah dan daif itu perlu mendapat perhatian yang lebih khusus dan adil.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan semangat muhibah dan tulus ikhlas, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana saja mereka berada.  Tidak dilupakan juga mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah pada ketika ini.  Semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran.  Amin.

Sekian.  Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment