Tuesday, 28 May 2013

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi YSHHB

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah  Mu'izzaddin Waddaulah  ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Sabtu 11 Syawal 1432, bersamaan 10 September 2011 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,  Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat bersama-sama dalam Majlis Sambutan Hari Raya Fitrah Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi tahun ini.

Beta difahamkan, sambutan pada tahun ini melibatkan para pengusaha kecil dan sederhana termasuk syarikat koperasi.

Mereka ini dipilih sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan perusahaan dan perniagaan di dalam kehidupan. Ia adalah teras kepada ekonomi sesebuah masyarakat dan negara.

Melalui perusahaan dan perniagaan, manusia dituntut supaya sentiasa aktif dan produktif. Kerana itulah, Islam sampai menyifatkan orang berniaga itu sebagai berjihad di jalan Allah, kerana hasilnya mampu untuk membangunkan ummah.

Begitulah yang berkaitan dengan perkara ekonomi, agama Islam, tidak mengabaikannya. Malah memberikan perangsang konsisten untuk ianya terus diaktifkan.  Cuba kita lihat petunjuk Al-Qur'an sendiri, selepas menunaikan fardu Jumaat, kita pun disuruh supaya bertaburan di muka bumi untuk mencari kelebihan rezeki.

Ini adalah gambaran jelas, betapa Allah Ta'ala sendiri mahu, supaya ekonomi kita itu hidup, dinamik dan berkembang.

Ayat ini pada hemat beta, turut berkaitan dengan para pengusaha dan peniaga pada khususnya, dan malah seluruh umat Islam pada umumnya. Ia adalah satu motivasi untuk mereka.

Agama Islam, ternyata menggalakkan umatnya supaya aktif dalam bidang ekonomi, bukannya bermalas-malas atau berpeluk tubuh.

Sebab itu, beta sungguh gembira, kerana salah satu fokus utama kita dalam Rancangan Kemajuan Negara ialah mempertingkatkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia kita lihat sebagai turut merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Dan lebih menggembirakan lagi, apabila bilangan syarikat PKS yang berdaftar semakin bertambah, dengan beberapa buah
daripadanya pula, telah mampu menembusi pasaran serantau.

Selari dengan perkembangan positif ini, pihak PKS janganlah mengabaikan 'etika' berharga lagi asasi.

Apakah dia etika berharga lagi asasi itu?

Jawabnya ialah sifat amanah.

Di dalam mengendalikan sebarang perusahaan atau perniagaan, sifat ini adalah amat mustahak kerana tanpanya, perusahaan atau perniagaan itu boleh saja mengalami masalah.

Pengendali perusahaan atau perniagaan, manakala mereka itu tidak amanah, sudah pasti akan mengundang kepada pelbagai
masalah.

Di antara masalah itu, mungkin saja menyangkut perkara-perkara pengurusan yang tidak telus, atau penyelewengan kewangan dan seumpamanya. Jika ini berlaku, maka bukan saja PKS yang tidak akan mampu bertahan, malahan juga perusahaan gergasi sekalipun boleh hancur dan lebur.

Bagi pengusaha dan peniaga kecil atau sederhana, turut menjadi penting kepada mereka, ialah menunaikan amanah terhadap pelanggan-pelanggan mereka. Kita ambil satu contoh: Pengusaha restoran atau kedai makan, mereka ini berkewajipan untuk memastikan semua jenis makanan, bukan saja ia bersih dalam makna tidak kotor, malahan juga suci sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Oleh itu, pastikanlah setiap bahan itu dari sumber yang halal, dengan menjauhi yang sebaliknya, atau yang dianggap samar-samar, yang belum atau tidak jelas halal haramnya.

Jika ini ada, insya- Allah, perusahaan atau perniagaan kita akan diberkati oleh Allah. Dan inilah dia keramat amanah itu.

Dengan mengamalkan sifat amanah, kewibawaan syarikat PKS pasti menyerlah, dan dengan itu juga, akan menambahkan
lagi kemampuannya untuk bersaing.

Ke arah ini, kerajaan beta melalui beberapa agensi telah dan sedang menyediakan pelbagai strategi, termasuk bantuan perkhidmatan dan kemudahan yang boleh mengembangmajukan lagi sektor PKS, bukan setakat di peringkat tempatan, malahan juga sampai ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Sebagai sebuah organisasi  yang sentiasa mengambil berat kebajikan golongan kurang berkemampuan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tidak menolak untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkenaan dalam memikirkan program-program dan kaedah-kaedah praktikal bagi membantu golongan ini, melalui aktiviti-aktiviti perusahaan atau perniagaan, termasuk penyediaan latihan-latihan dan bantuan memulakan perniagaan.

Sehubungan itu, beta adalah menyambut baik inisiatif Yayasan di dalam merancang skim bantuan berniaga kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan, agar mereka itu lebih produktif, sehingga dapat sama-sama menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara.

Akhirnya, beta ucapkan selamat maju jaya kepada sektor PKS, serta tahniah kepada agensi-agensi yang memberikan perkhidmatan dan sokongan mereka kepada pertumbuhan PKS, seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, institusi-institusi kewangan dan agensi-agensi sektor swasta yang lain.

Sekiah, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wasslamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment