Tuesday, 28 May 2013

Majlis Penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat Kepada Asnaf Fakir Miskin dan Al-Gharimin

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena  Majlis Penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat Kepada Asnaf Fakir Miskin dan Al-Gharimin pada Hari Rabu, 17 Syawal 1430 / 7 Oktober 2009

TITAH


KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
 SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

MAJLIS PENYERAHAN DOKUMEN AGIHAN BAKI WANG ZAKAT
KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN DAN AL-GHARIMIN

PADA

HARI RABU, 17 SYAWAL 1430/7 OKTOBER 2009

BERTEMPAT

DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen.  Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen.  Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een.  Waba’du.

Beta sangatlah bersyukur di atas berlangsungnya Majlis Penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat Kepada Asnaf Fakir Miskin dan Al-Gharimin pada hari ini.

Beta melihat, majlis ini bukan sahaja indah pada tujuannya, malahan juga merupakan satu ‘sejarah’ penting lagi penuh bermakna kepada kita semua dan kepada negara.

Pada hari ini, lembaran sejarah negara sedang ditulis dengan tinta emas, bahawa kita sekarang sedang bergerak ke arah pembebasan diri dari kemiskinan.

Ini bukanlah satu kemujuran, tetapi perancangan dengan memerah otak, serta juga ditambah lagi dengan keyakinan, bahawa kita adalah mampu untuk berbuat demikian.

Beta berpendapat, sekiranya apa yang akan dilaksanakan sebentar lagi benar-benar menepati senarai rasmi Asnaf Fakir Miskin, maka apabila beta telah menyempurnakan penyerahan dokumen agihan baki wang zakat kepada mereka itu, maka negara, dari saat tersebut adalah wajar untuk dilabel sebagai bebas dari kemiskinan.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengiktirafnya sebagai satu kenyataan dan bukan impian.  Allah Taala mengetahui niat kita, dan begitu juga dengan kehendak-Nya, akan menyampaikan niat kita itu, lebih dari apa yang diduga.

Kalau ada individu-individu yang masih tercicir, sedang mereka menganggap diri mereka juga berhak, maka perkara itu perlulah dirujukkan kepada pihak berkenaan untuk diteliti.  Pihak yang berkenaan akan melihat sama ada mereka menepati kategori fakir miskin ataupun sebaliknya.

Jika masih ada selepas majlis ini dakwa-dakwi oleh individu-individu seperti di atas, maka itu adalah perkara biasa, dan tidaklah akan jadi dakwat hitam untuk memadamkan sejarah baru yang sedang kita tempuh ini.

Dalam pada itu, pihak berkuasa yang menangani kutipan dan agihan zakat, hendaklah bersikap lebih peka dan proaktif dalam memantau dan menilai keadaan masyarakat yang dianggap berhak kepada zakat.

Bukanlah setakat menunggu pemohon-pemohon datang, kerana bukan semua orang mampu untuk datang, atau setengahnya itu mungkin sahaja tidak tahu siapa dan di mana hendak dituju.

Ini, tentulah akan turut pula mencabar peranan dan kepimpinan para pemimpin masyarakat, seperti Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik, Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung.

Kepada mereka yang dipantau dan dinilai pula, sama ada yang datang sendiri memohon ataupun bukan, perlulah mematuhi dan menerima setiap penilaian oleh pihak yang berwajib, kerana penilaian yang dibuat itu adalah berasaskan kepada sukat-sukat atau garis panduan yang sempurna.

Kepada bakal-bakal penerima Dokumen Agihan Baki Wang Zakat yang berjumlah lebih 4,000 orang pula, diharapkan akan memanfaatkan bahagian mereka masing-masing dengan bijaksana dan berhemah, dengan mengelakkan gaya hidup boros atau membazir.

Bahagian masing-masing itu boleh membantu mereka untuk mengatur kehidupan yang lebih baik lagi selesa.

Mereka sekarang bukan lagi di bawah label fakir miskin, sekurang-kurangnya untuk beberapa tempoh tertentu.

Dan tidaklah mustahil, dari jumlah seramai itu, akan ada juga mereka yang tidak mahu lagi untuk berpaling ke belakang, tetapi dengan azam kuat serta disertai dengan ikhtiar-ikhtiar bijaksana, akan terus bertahan di bawah label ‘tidak lagi memerlukan agihan zakat’.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama merafakkan syukur serta doa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga kita dan negara sentiasa berada dalam pemeliharaan-Nya, hidup dalam aman, selamat dan makmur, berhias dengan keimanan dan ketaqwaan buat selama-lamanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment