Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Semasa Keberangkatan Baginda Ke
Persidangan Majlis Ugama Islam pada 13hb Januari 2009 / 16hb Muharram
1430 bertempat di Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMASA
KEBERANGKATAN BAGINDA
KE PERSIDANGAN MAJLIS UGAMA ISLAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen Wabihie Nastaeenu ‘Ala Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen. Waba’du.
Mengambil sukut baik mengalu-alukan kehadiran Tahun Baru Hijrah 1430, beta sangat bersyukur kerana dapat hadir di Persidangan Majlis Ugama Islam pada pagi ini.
Majlis Ugama Islam, sebagaimana kita semua tahu, adalah berperanan besar dalam menangani segala permasalahan yang berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan. Peranan itu sungguhlah luas sehingga tiada batasnya.
Ia telah turut menjadi amanah kepada beta sendiri. Amanah yang mencabar ini, jika ia terabai, akan menjadi beban risiko yang berat di hadapan Allah Taala, siapa yang sebenar-benarnya ampunya amanah itu.
Kerana itulah, Majlis Ugama Islam ini tidak pernah luput dari ingatan beta. Ia sentiasa wujud dan hadir meminta pertanggungjawaban.
Di antara perkara yang diurus dan ditadbir secara langsung oleh Majlis Ugama Islam ialah ‘zakat’.
Kita semua sedia maklum, bahawa di antara fungsi zakat itu ialah untuk mengeluarkan asnaf-asnaf fakir miskin daripada kepompong kefakiran dan kemiskinan. Mereka ini telah diletakkan paling depan sekali dalam susunan asnaf-asnaf, suatu isyarat tentang kelebihutamaan mereka itu untuk ditangani dengan zakat. Begitu juga untuk menolong asnaf penanggung hutang keluar daripada cengkaman hutang yang menyusahkan yang dianggap menyamai kesusahan yang dirasai oleh fakir miskin.
Maka berasaskan inilah, beta telah terpanggil untuk mengetahui kedudukan beberapa perkara yang bersangkutan dengan asnaf fakir miskin dan orang-orang penanggung hutang (al-gharimin). Siapakah sebenarnya mereka itu? Di mana kedudukan mereka di segi hukum zakat? Bilakah mereka benar-benar berhak menerima zakat? Adakah zakat itu disegerakan pengagihannya atau boleh ditangguh-tangguh atau ditahan-tahan, sedangkan asnaf yang berhak adalah wujud dan masih memerlukan?
Demikian juga, adakah wang hasil kutipan zakat boleh dikembangkan, seperti dilaburkan dan seumpamanya, sedangkan asnaf fakir miskin dan penanggung hutang masih wujud dan memerlukan?
Yang turut jadi isu di sini ialah ‘kumpulan wang zakat’. Dari kumpulan tersebut, wang zakat yang berbaki setelah diagihkan kepada yang berhak, kelihatannya dalam jumlah yang besar, iaitu seperti yang telah disahkan oleh Juruaudit Agung bagi kunci kira-kira yang berakhir 31 Disember 2004, berjumlah sebanyak $239,631,073.56 (dua ratus tiga puluh sembilan juta enam ratus tiga puluh satu ribu tujuh puluh tiga ringgit lima puluh enam sen).
Beta ingin juga hendak mengetahui kedudukan baki ini, mengapakah ia wujud?
Adakah ini bermakna, semua asnaf, khasnya asnaf fakir miskin termasuk penanggung hutang telah semuanya dipenuhi hajat atau keperluan mereka? Adakah semua asnaf fakir miskin sudah dikayakan dengan wang zakat sehingga mereka tidak lagi berhak untuk menerima zakat dan makanya wujudlah cerita baki ini dalam jumlah seperti yang disebutkan?
Jika Brunei dalam kedudukan seperti:
1. Terdapat baki zakat, sedang asnaf-asnaf yang ada telah pun menerima bahagian masing-masing secukupnya, adakah baki zakat seperti ini boleh disimpan atau ditahan, atau ia boleh dipindahkan ke tempat lain yang berhampiran untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf yang layak menerimanya di tempat tersebut?
2. Atau terdapat baki zakat setelah diagihkan kepada asnaf-asnaf yang ada, khasnya asnaf fakir miskin, tetapi mereka itu ternyata masih kekal berkeadaan fakir miskin dan memerlukannya, adakah baki zakat seperti ini boleh disimpan atau ditahan, padahal asnaf fakir miskin itu masih lagi memerlukan, yakni belum berkecukupan (kaya) yang menjadikan mereka tidak lagi berhak untuk menerima zakat? Atau dalam situasi ini, bolehkah raja atau ketua negara memindahkan zakat daripada tempat wajib zakat ke tempat lain sedang di tempat wajib zakat itu masih ada asnaf yang berhak yang memerlukan?
Beta juga ingin mendapatkan penjelasan, berkenaan dengan baki wang zakat yang ditahan atau disimpan yang tidak diagihkan itu, pernahkah ia dikaji dan diambil kira tentang turun naik nilai mata wang? Jika sekiranya berlaku susut nilai seperti dalam keadaan sekarang, di mana dunia mengalami krisis ekonomi global, siapakah yang menanggung risiko dari kesusutan atau kerugian itu jika ada? Siapakah yang patut didenda atau menggantinya?
Selain fokus beta kepada asnaf fakir miskin, beta juga ingin mengetahui kedudukan asnaf penanggung-penanggung hutang (al-gharimin), bilakah mereka ini dianggap berhak untuk menerima zakat? Apakah syarat-sayarat mereka boleh menerima zakat dan bila pula tidak?
Pernahkah dibuat kajian tentang kedudukan penanggung-penanggung hutang yang tidak dapat membayar hutang-hutang mereka, seperti misalnya berhutang kerana membeli rumah kerajaan dan lainnya, melalui seperti Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Rancangan Perumahan Negara, Skim Perumahan Yayasan dan lain-lain seumpamanya?
Pada selama ini kita sudah biasa meluluskan bahagian al-gharimin kepada orang-orang tertentu yang berhutang untuk projek-projek bagi maslahat umum, seperti membuat masjid atau sekolah.
Dalam hubungan ini, apakah tidak munasabah dan relevan jika bahagian al-gharimin ini juga turut ditimbangkan untuk membayar hutang-hutang tertunggak, bagi penghutang-penghutang yang berhutang kerana maslahat asasi peribadi, jika sekiranya mereka itu layak atau berhak untuk menerima zakat bahagian al-gharimin?
Beta telah melihat secara kasar, baki wang zakat yang telah beta sebutkan tadi, jika diagihkan kepada fakir miskin, tidakkah ia mungkin mampu untuk menghapuskan kemiskinan dengan serta-merta?
Dari apa yang beta dapati dari perkara yang pernah dibawa ke Majlis Ugama Islam, mengenai baki bahagian fakir miskin, adalah dalam lingkungan melebihi 66 juta ringgit. Jika ini tidak mencukupi, apakah tidak boleh ditambah dengan baki bahagian asnaf-asnaf yang lain, kecuali bahagian asnaf al-gharimin?
Baki bagi bahagian asnaf al-gharimin pula adalah dalam lingkungan dari 46 juta ringgit. Beta percaya, mereka yang layak setakat ini untuk menerima bahagian al-gharimin bagi kategori penanggung-penanggung hutang yang telah beta sebutkan terdahulu, rasanya tidaklah akan melimpasi jumlah baki 46 juta ringgit itu.
Kalaulah perkiraan beta ini betul, alangkah bahagianya kita, jika dapat mengisytiharkan negara ini bebas dari kemiskinan, walaupun untuk sehari, sebagaimana ini pernah beta sebut ketika Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada Mac 2008 yang lalu. Beta telah menyebut tentang matlamat wawasan untuk menjadikan kadar kemiskinan di negara ini ke tahap sifar.
Dari jumlah keseluruhan baki zakat, kalaulah semua fakir miskin yang terdiri daripada kepala keluarga dan tanggungan mereka berjumlah, misalnya, seramai sepuluh ribu atau lebih sedikit, maka apakah tidak mungkin bagi tiap-tiap kepala keluarga untuk menerima dalam lingkungan 20an ribu ringgit bagi tiap-tiap seorang, sementara tanggungan pula bolehlah menurut selayaknya? Berasaskan data-data yang pernah dikeluarkan mengenai keramaian fakir miskin bersama tanggungan mereka di seluruh negara, didapati jumlah tanggungan adalah lebih ramai berbanding jumlah kepala keluarga.
Ini baru perkiraan berdasarkan Penyata Kewangan Akaun Zakat dan Fitrah bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2004 yang sudah diaudit, tidak atau belum termasuk lagi baki bagi tahun-tahun berikutnya yang belum diaudit, berapakah pula jumlahnya?
Persoalan juga mungkin timbul: “Orang takut zakat akan habis.” Kerana itu mesti ada yang disimpan dan bukan saja disimpan, malahan juga dikembangkan, dengan perkiraan, untuk menambahkan lagi pendapatan zakat.
Adakah ketakutan dan pendekatan begini berasas? Sama ada dari segi hukum mahupun perhitungan biasa?
Pada beta, zakat itu dikumpulkan adalah bagi maksud untuk disalurkan kepada asnaf-asnaf yang ada secara bersistem. Tidaklah timbul masalah takut habis, kerana selagi ada umat Islam dan mereka yang dilimpahi dengan rezeki, maka selama itulah akan ada zakat, dan malah jika masyarakat melihat zakat mereka telah disalurkan menepati tujuan dan sasarannya, maka insya-Allah kepuasan akan berlaku kepada pengeluar-pengeluar zakat itu, dan ini sudah setentunya akan mendorong mereka untuk lebih konsisten lagi memberikan zakat mereka kepada pengumpul zakat.
Adapun dari segi hukum pula biarlah beta butirkan beberapa soalan mengenainya, seperti berikut:
1. Adakah boleh zakat itu ditahan-tahan kerana takut habis, sedang penerima yang berhak masih wujud dan memerlukan?
2. Bolehkah zakat dikembangkan seperti dilaburkan, sedang penerima yang berhak masih wujud dan memerlukan?
3. Bolehkah pembahagian atau pengagihan zakat dilambat-lambatkan atau ditangguh-tangguhkan, ataupun sebaliknya disegerakan, dalam situasi penerima yang berhak masih wujud dan memerlukan?
4. Apakah tidak betul jika dikatakan bahawa konsep zakat itu dikumpulkan ialah untuk diagihkan walaupun sampai habis selama asnaf yang berhak masih wujud dan memerlukan?
Akhir sekali, beta juga ada menyebut tentang ‘masjid’ tadi. Apakah belum terlintas di fikiran ahli-ahli untuk membawa orang ramai yang beragama Islam di negara ini bertanam ‘saham pahala’ dengan mengajak mereka, khasnya para pegawai dan kakitangan kerajaan, untuk sama-sama turut menyumbang kepada pembinaan masjid-masjid di negara ini?
Caranya yang paling mudah ialah, misalnya, dengan meminta kepada mereka itu untuk menyumbang melalui potongan gaji masing-masing pada tiap-tiap bulan dengan kadar yang tidak membebankan mengikut kategori.
Beta rasa sudah sampai masanya untuk pihak yang berkenaan menunjukkan kepimpinan bermakna, agar umat Islam dapat turut menikmati ‘manfaat akhirat’ yang sangat-sangat dihajati.
Beta percaya, orang ramai tidaklah kurang semangat dan kemahuan, tinggal saja lagi masalahnya, kepimpinan dan galakan belum pernah dibuat.
Kalau bertanam modal di dunia ini orang mahu berebut, mengapakah bertanam saham di akhirat tidak?
Sekian sahaja, beta serahkan kepada ahli-ahli yang bijaksana di sini untuk membuat perhitungan.
Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment