Wednesday, 29 May 2013

Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-17 Tahun 2007

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-17 Tahun 2007

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL
BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI
SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
KALI KE 17 BAGI TAHUN 2007
PADA
HARI SABTU
15HB. SYAWAL, 1428
27HB. OKTOBER, 2007

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita meraikan sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke 17 pada pagi ini.

Walaupun tarikh sebenar sambutan Hari Guru ialah pada 23 September, namun belumlah terlambat rasanya untuk Beta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang berkenaan.

Hari guru adalah salah satu ‘Hari Negara’ yang kita raikan pada setiap tahun. Ia membawa erti tersendiri kepada kebangkitan bangsa. Tidak akan ada kebangkitan itu tanpa guru. Gurulah pencetus mutlak semua kebangkitan.

Dengan guru, pendidikan terus berkembang. Tanpa pendidikan, tidak akan ada apaapa
yang boleh dipanggil kemajuan dan perkembangan.

Begitulah hebatnya guru. Guru adalah ‘bapa dan ibu didik’ kepada bangsa. Gurulah acuan yang berkesan.

Kerana itu guru, tidak mungkin dapat berpisah dari pendidikan.

Berasaskan inilah, beta pernah menyebut mengenai pentingnya mengadakan satu Skim Perkhidmatan Perguruan untuk memastikan yang para guru berkaliber akan terus kekal bertugasdi sekolah. Dengan skim ini juga akan memberikan ruang bagi guru-guru mencapai tahap gaji yang lebih tinggi, sejajar dengan sumbangan mereka yang besar itu.

Beta berharap, supaya Skim Perkhidmatan ini akan segera direalisasikan.

Apapun jua yang berbangkit mengenai ‘pembaikan’, adalah ia berkait rapat dengan Sistem Pendidikan.

Kita perlu mempunyai sistem pendidikan yang sentiasa relevan dengan tuntutan zaman. Kita tidak mahu tercicir dibelakang sambil kebekuan membelenggu kita.

Kerana itu Beta amat gembira bilamana Kementerian Pendidikan sedang mengemaskinikan Sistem Pendidikan Negara, yang dikenali sebagai Sistem Pendidikan Negara Abad 21, atau SPN 21. Langkah ini wajar, demi menyedari, bahawa arus proses globalisasi tidak akan menunggu sesiapa pun.

Sisitem pendidikan tidak hanya untuk melahirkan insan terpelajar, tetapi juga lebih penting, mesti mampu menjadi acuan menghasilkan generasi pemikir. Terpelajar sahaja belumlah menjadi jaminan apa-apa. Tetapi terpelajar yang pemikir, itulah pencorak masa depan Negara yang ditunggutunggu.

Beta sungguh mengingini sistem yang berjaya melahirkan tenaga-tenaga pemikir, demi keyakinan, jika kita ketandusan mereka itu, maka Negara akan mengalami kelemahankelemahan yang ketara disemua sudut.

Oleh itu, sampailah masanya kita memiliki ‘tapak semaian’ berupa Sistem Pendidikan: Menghasilkan generasi terpelajar Lagi Pemikir, selaku wawasan kita mengharungi abad ke21
ini.

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima
anugerah Hari Guru pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment