TITAH
DI MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI ALMARHUM
SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN
YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DENGAN PENUNTUT-PENUNTUT
DAN RAKYAT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND
BERTEMPAT
DI HOTEL INTER-CONTINENTAL, LONDON
PADA
HARI AHAD 22 ZULQA’EDAH, 1428
BERSAMAAN 2 DECEMBER, 2007
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat pula bersama-sama dengan para penuntut pada hari ini. Beta berharap perhimpunan kali ini akan mencetuskan semangat baru bagi penuntut-penuntut untuk memenuhi cita-cita mereka masing-masing.
Kehidupan selaku penuntut adalah kehidupan yang tersendiri. Matlamat mereka di peringkat ini cumalah satu saja: Bejaya dalam pengajian. Mereka bukan mencari wang tetapi mencari ilmu.
Mereka belum lagi terlibat dalam perjawatan, atau apa jua jenis pekerjaan, tetapi sepenuh masa dan tenaga menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Inilah ‘sikap’ yang betul. Tetapi apakah semua penuntut memiliki sikap ini?
Pada hemat Beta, sikap begini hanya akan wujud apabila kita mempunyai kesedaran terhadap
masa depan. Namun kesedaran itu bukanlah dating dengan mudah, melainkan kita mesti terlebih dahulu menyiapkan diri untuk menjadi manusia pemikir.
Hanya pemikiran yang tinggi dan matang sahaja yang mampu membawa seseorang itu keambang kejayaan. Janganlah dianggap kejayaan itu ibarat udara yang kita hirup, di mana semua orang dapat menikmatinya dengan percuma, tetapi adalah kejayaan adalah memerlukan pencarian dengan usaha gigih serta titik peluh.
Jadi berasaskan ini, Beta mahu, supaya penuntut-penuntut semuanya menjadi generasi pemikir.
Janganlah turun ke bawah dalam berfikir tetapi naik dan meningkatlah selalu sehingga mencapai taraf pemikir yang baik.
Negara Brunei Darussalam mesti dibangun oleh tenaga-tenaga pemikir untuk memperolehi nilai ‘Negara Baik’ dalam makna yang seluas-luasnya. Negara yang runtuh adalah Negara yang
ketandusan daya berfikir, sekalipun ia kaya dan besar. Kerana apabila daya berfikir merosot, maka sudah pasti, yang akan menggantikannya ialah hawa nafsu.
Definisi ‘Negara Baik’ itu disebut oleh Allah sebagai “Baidatun Thayyibatun”, yakni Negara yang aman, sejahtera lagi makmur. Tanpa adanya unsure-unsur ini bermakna bukanlah itu ‘Negara Baik’ atau “ Baidatun Thayyibatun” menurut perspektif al-Qu’ran.
Kemudian ‘Negara Baik itu pula dilengkapi dengan ungkapan berikutnya, “Warabbun Ghafuur”, yakni yang berdiri kukuh di bawah kerdhaan dan keampunan Allah.
Alhamdulillah, Negara kita Brunei Darussalam telah turut menampakkan cirri-ciri ‘Negara Baik’ itu dengan keamanan dan kemakmuran menjadi identitinya.
Ini tidak syak lagi adalah satu kurnia istimewa kepada Brunei yang jarang-jarang terjadi atau
terdapat di mana-mana jua. Maka oleh itu, peliharalah ia sebaik-baiknya.
Dengan apakah kita memelihara nikmat yang agung ini? Tidak lain, kecuali dengan mensyukurinya.
Beta ingin mengingatkan bahawa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran bukanlah dengan ‘asyik bersenang-lenang dan bermewah-mewah saja, tetapi hendaklah jangan lupa siapa yang ampunya nikmat itu.
Jadi janganlah lupakan Allah. Kita tatang keamanan dan kemakmuran sambil mengingat Allah dengan sebanyak-banyaknya. Orang yang mengingat Allah tidak akan melakukan sesuatu yang
boleh merosakkan keamanan san kemakmuran itu.
Khusus kepada para penuntut, Beta ingin berpesan, supaya terus memelihara ‘sistem nilai’ yang baik dimana saja mereka berada. Bawalah ia kemana-mana jua, insya Allah selamat. Sistem nilai paling luhur adalah ta’at kepada Allah, kepada Rasul-Nya dan kepada Ulil Amri, termasuk juga ibu bapa. Jangan dianaikan semua ini, letakkan ia dilubuk hati masing-masing biar melekat.
Inilah caranya mensyukuri nikmat-nikmat Allah itu. Kita kena jaga semuanya dan kena buat, barulah Allah akan mengekalkan nikmat-nikmat tersebut.
Beta penuh yakin, jika benar penuntut-penuntut kita terdiri daripada ahli-ahli fakir dan kaum cendikiawan sejati, maka mereka tentu saja akan dapat memahami perkara ini, lebih dari apa yang mampu difahami oleh orang lain.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
No comments:
Post a Comment