Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj
Peringkat Negara Tahun 1432H/2011M pada hari Rabu 27 Rejab 1432
bersamaan 29 Jun 2011 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir di majlis menyambut dan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh berkat ini.
Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah peristiwa hebat yang tidak ada tolok bandingnya. Ia merupakan mukjizat agung, yang khusus dikurniakan kepada Baginda. Ia mengandungi hikmah tertinggi serta pengajaran yang sungguh berharga.
Gambaran-gambaran yang diperlihatkan oleh Allah di dalam peristiwa ini, meliputi segala karenah manusia untuk menyedarkan mereka sendiri.
Di samping itu, Allah dengan segala kemurahan-Nya, juga telah mengurniakan satu ‘kurnia tertinggi’kepada Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu kewajipan Sembahyang Lima Waktu. Kewajipan ini kemudiannya dinobatkan sebagai tunggak dan tiang ugama kita.
Menyebut tentang sembahyang ini, beta tertarik dengan tema sambutan pada tahun ini, berbunyai: ‘Sembahyang Kunci Kebahagiaan’.
Beta melihat, maksud tema ini adalah luas dan malah mampu untuk mengesan rahsia sembahyang itu sendiri.
Apakah maksud ‘Kunci Kebahagiaan’? Tentu saja sesuatu yang luar biasa, yang mampu membuka segala kebaikan untuk dinikmati.
Bilakah kebahagiaan itu benar-benar menjadi milik kita? Jawabnya: Apabila segala kebajikan dapat diraih dan segala yang keji-keji serta mungkar dapat dihindari.
Semua ini mampu dicapai. Mari kita rujuk Surah Al-‘Ankabut ayat 45, tafsirnya: “Sesungguhnya ibadat sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
Bukankah apabila hidup ini bersih dan bebas daripada perbuatan keji dan mungkar, maka dengan sendirinya, kebahagiaanlah yang akan menjelma, sama ada kebahagiaan di dunia, mahupun lebih-lebih lagi kebahagiaan di akhirat.
Oleh itu, marilah kita pelihara sembahyang, jangan ia dicuaikan, tetapi penuhilah ia sepenuh-penuhnya, selaku tanggungjawab asasi kita kepada Allah, insya-Allah kita sekali-kali tidak akan dihampakan dari memperolehi keberkatan.
Sentiasalah memperbaiki sembahyang dengan cara belajar atau berguru, terutama bagi generasi muda dan kank-kanak.
Tugas mengajar dan memberi bimbingan pula turut dipegang oleh ibu bapa, di samping sedia dimaklumi, ianya menjadi tanggungjawab khusus kepada para asatizah.
Pada tahun ini buat julung-julung kalinya Sambutan Israk dan Mikraj akan diisi dengan Anugerah Asatizah Cemerlang, Asatizah Berjasa dan Anugerah Khas, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru ugama yang telah menyumbangkan khidmat cemerlang di dalam kepimpinan dan pengjaran di sekolah ugama, sekolah Arab, Ma’had Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK) di sekolah-sekolah rendah, menengah, teknikal, vokasional dan intitusi khas.
Beta berharap dengan adanya penganugerahan ini, akan mendorong guru-guru ugama untuk terus mempertingkatkan lagi kualiti kepimpinan dan pengajaran mereka masing-masing.
Syabas dan tahniah kepada mereka yang terpilih pada tahun ini.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment