Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulang
Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-49 pada hari Isnin, 17
Jamadilakhir 1431 Hijriah bersamaan 31 Mei 2010 Masihi bertempat di
Padang Kawad, Penanjong Garison, Tutong.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, kita dapat pula berkumpul pada pagi ini untuk meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Yang Ke-49.
Beta tidak lupa mengucapkan tahniah serta terima kasih di atas sumbangan seluruh warga ABDB dalam usaha mereka mempertahankan integriti negara serta mendukung perlembagaan dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Tugas utama ABDB ialah memelihara keamanan dan alhamdulillah, ia dilihat sedang menjadi kenyataan.
Namun perlu diingat, musuh utama yang sentiasa mengintai-intai ialah 'kelalaian'. Jika sedikit kita lalai, boleh mengakibatkan bencana atau musibah. Betapa tidak, bukankah di sebalik keamanan itu masih terdapat ketidakpastian berupa kemungkinan wujudnya anasir dan ancaman yang kita tidak sangka-sangka?
Jadi nyata, semua itu memerlukan kesedaran dan kewaspadaan yang berterusan, di samping kualiti juga ditingkatkan dengan menjalani latihan-latihan bersama di antara perkhidmatan-perkhidmatan ABDB di semua peringkat.
Ditambah lagi mesti menguasai semua kaedah tatapemerintahan, seperti kaedah Balanced Score Card, Performance Budgeting dan yang akan datang, Capital Budgeting. Semua ini, perlu dilaksanakan secara tepat dan konsisten.
Selain itu, penglibatan di dalam operasi-operasi luar negara, khasnya yang di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga perlu diteruskan, kerana manfaatnya adalah cukup besar, bukan saja bagi anggota yang terlibat dan ABDB sendiri, malahan juga bagi negara di bidang diplomasi pertahanan.
Sehubungan itu, beta mengambil peluang untuk mengucapkan syabas kepada ABDB dan khasnya anggota yang pernah dan sedang bertugas di dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Filipina dan di dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL). Sumbangan kita di dalam pasukan-pasukan ini meletakkan Brunei Darussalam selaku penyumbang terhadap keselamatan antarabangsa.
Peningkatan individu pula, beta mengambil maklum Kursus Maktab Turus, selaku komponen Akademi Pertahanan ABDB yang akan bermula pada bulan November 2010 adalah selaras dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat. Cara dan pendekatan seperti ini memang kita sokong dan galakan. Maka oleh itu, pujian patutlah diberikan kepada Kementerian Pertahanan dan ABDB di atas pencapaian tersebut.
Dengan sasaran peningkatan secara menyeluruh dan seimbang ini, insya- Allah, kita akan dapat melihat Kementerian Pertahanan dan ABDB mampu untuk menjalankan amanah yang dipikulkan kepada mereka.
Akhir kata, beta mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ABDB Yang Ke-49 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara serta keluarga masing-masing. Sama-samalah kita berdoa agar negara dan kita semua mendapat perlindungan Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Perkasa.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment