Tuesday, 28 May 2013

Titah Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432 pada Hari Isnin, 1 Muharram 1432 / 6 Disember 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki Tahun Baru Hijrah 1432 dengan penuh selesa dan bahagia.
Hijrah turut membawa perubahan, sedang perubahan pula tiada penghujungnya.

Hari ini kita berubah, dan esok juga masih mahu berubah.  Bahkan sampai bila-bila pun, kita tetap ingin berubah.

Inilah dia naluri terhadap perubahan itu.

Pendeknya, perubahan adalah daya tarikan yang luar biasa.
Namun kita orang-orang Islam, bukanlah setakat ingin berubah, tetapi perubahan itu hendaklah kepada ‘yang lebih baik’.

Inilah dasar yang kita pakai.  Bukan asal berubah semata-mata, tetapi perubahan itu perlulah bermatlamatkan kepada yang lebih baik.

Agama Islam memang mendorong kepada perubahan.  Ia tidak mahu kita menunggu perubahan, tetapi menggalakkan untuk berlumba merebut perubahan.

Dalam makna, apa yang Islam mahu ialah supaya kita ini berada paling ke depan untuk menjana perubahan, sebagaimana Al-Qur’an menyebutnya dalam Surah Al-Waqiah ayat 10 mengenai orang-orang berjaya dalam perlumbaan untuk kebaikan di dunia dan sekali gus akan berjaya pula menjadi pendahulu bagi menerima ganjaran di akhirat.

Inilah cara kita berlumba melakukan perubahan demi perubahan.

Misalnya cara kita berubah dalam ekonomi:  Bulan ini kita cuma menabung $5.00 sahaja, tetapi pada bulan hadapan – kita berubah – mampu menabung sebanyak $10.00, bukan dari $5.00 turun kepada $2.00.

Begitulah dengan lain-lain perkara, khasnya dalam kehidupan beragama, kita adalah dituntut untuk melakukan perubahan-perubahan yang meningkat, bukan menurun.  Dalam makna, menambahkan amalan, bukan mengurangkannya.

Inilah antara rahsia dan tujuan hijrah itu, untuk melahirkan perubahan-perubahan besar, bukannya sekadar perubahan biasa.

Kalau kita mahu lebih jelas lagi, sejarah bolehlah dirujuk, apa sebenarnya yang terjadi, dan apa pula perkara yang dapat diperolehi daripadanya?

Hijrah adalah pengorbanan hebat, kerana orang yang berhijrah itu meninggalkan segala-galanya:  Tinggal keluarga, tinggal harta benda dan tinggal tempat tumpah darah.  Namun  mereka tidak kisah, demi untuk mencapai tujuan teragung hijrah.

Apa dia tujuan teragung hijrah?  Iaitulah untuk menyelamatkan akidah dan menyebarkan Islam, sebagaimana yang dituntut oleh Allah.

Sekarang kita wajib bersyukur, kerana kedua-duanya, akidah dan agama Islam, telah pun menjadi milik kita.  Namun tanggungjawab kita belum berakhir untuk terus memelihara dan melaksanakannya.
Andainya kita merasa masih kurang, atau masih lemah dalam pelaksanaan dan pemeliharaan ini, lalu kemudian kita bangun memperlengkapkannya, maka inilah dia perubahan yang sebenar-benarnya dituntut, yang menepati konsep hijrah.

Demikian pendekatan yang mesti kita fahami dan hayati, barulah sambutan hijrah itu dilihat sebagai mempunyai matlamat-matlamat besar untuk membawa ummah kepada perubahan-perubahan lebih bermakna.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan sukacita dan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijrah 1432.  Semoga di sepanjang tahun ini, kita akan menjalani kehidupan beragama yang lebih telus, demi mengharapkan reda Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment