Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita baru saja meninggalkan dekad pertama, kurun kedua puluh satu. Sekarang kita memasuki tahun baru Masihi 2011 yang memulakan dekad kedua bagi kurun ini.
Tahun Masihi 2010 telah melakar untuk kita kejayaan dan cabaran. Usaha bagi mengukuhkan masa depan ekonomi kita, telah menampakkan hasilnya dengan bermulanya pengeluaran methanol untuk eksport. Ini ditambah lagi dengan usaha-usaha meningkatkan penanaman padi yang berterusan, di samping langkah mempromosi dan menghasilkan produk-produk makanan di bawah jenama ‘Brunei Halal’, juga semakin menggalakkan.
Namun dengan prospek ini, tidaklah akan melalaikan kita dari terus memantapkan langkah-langkah pencegahan dan perlindungan dari impak pelbagai krisis, antaranya krisis kewangan, harga minyak, makanan, kesihatan dan cuaca.
Bagi kepentingan ini, kita juga sentiasa membuat penilaian ke atas dasar-dasar kerajaan, perancangan pembangunan jangka panjang, tatacara untuk memenuhi keperluan orang ramai dan kemudahan pelaburan, demi kesejahteraan dan kestabilan negara.
Menyentuh mengenai kestabilan ini, kita insya-Allah akan memulakan dekad baru dengan penubuhan sebuah organisasi yang sangat penting iaitu Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) pada esok hari, 1 Januari 2011. Autoriti ini akan sentiasa memastikan sektor monetari dan kewangan negara berfungsi dengan stabil dan teratur. Ini termasuklah mengekal dan meneruskan Perjanjian Kesalingbolehtukaran matawang Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, yang dilihat sebagai banyak mendatangkan kemanfaatan kepada kedua-dua buah negara.
Beta juga berharap usaha-usaha akan diteruskan lagi untuk merealisasikan visi kita menjadikan negara ini sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam terkemuka di dunia.
Dalam bidang kesihatan, kerajaan beta, selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan di peringkat pakar, usaha-usaha kesihatan secara intensif juga adalah diambil, melalui pencegahan dan kesedaran.
Ini termasuklah, menguatkan lagi usaha membanteras tabiat merokok yang amat berbahaya itu, melalui pindaan duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau.
Kerajaan beta juga memperkenankan Skim Baru Perkhidmatan Kedoktoran pada 9 Oktober 2010, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan doktor-doktor berkualiti tinggi dari dalam dan luar negeri. Bagi anak-anak tempatan pula, skim baru ini diharapkan mampu untuk menyuntik semangat mereka menceburi pelbagai bidang perubatan sehingga ke peringkat kepakaran.
Turut termasuk, ialah usaha bersepadu kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan kita bebas dari pencemaran racun dan bahan-bahan yang membahayakan, demi semata-mata untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk jua.
Termasuk juga untuk kesejahteraan ini, kerajaan beta telah pun merebiu Peraturan Cuti Beranak, yang baru-baru ini ada beta timbulkan, iaitu sebagai langkah menyelaras keperluan dan kepentingan kesihatan bagi ibu-ibu, sebelum dan selepas mereka itu melahirkan.
Mulai 1 Januari 2011, kerajaan beta akan mula menguatkuasakan peraturan baru, yang diberi nama Peraturan Cuti Beranak 2011, yang pada pokoknya, menaikkan cuti beranak bagi kesemua pegawai dan kakitangan wanita di dalam Perkhidmatan Awam dari 56 hari kepada 105 hari.
Peraturan ini adalah juga dilaratkan kepada pekerja wanita di sektor swasta yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap sebagai tambahan dan pindaan kepada Perintah Pekerjaan 2009 yang ada pada masa ini.
Di samping kita bersyukur atas segala nikmat yang ada, kita juga perlu berpijak di bumi nyata untuk tidak leka dari bersiap siaga bagi menangani sebarang kesulitan dan cabaran yang tidak diduga.
Beta adalah menghargai serta gembira, dengan sifat keprihatinan rakyat dan penduduk negara ini terhadap pihak-pihak yang kurang bernasib baik, khasnya mereka yang ditimpa musibah-musibah berat.
Beta memuji sifat murah hati dan ringan tangan menghulurkan bantuan-bantuan bersesuaian kepada pihak-pihak negara sahabat yang ditimpa musibah, seperti banjir besar, gempa bumi, tsunami, gunung berapi dan seumpamanya.
Ini semua merupakan nilai-nilai positif yang perlu dikekalkan sehingga bila-bila.
Akhirnya, beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2010.
Beta dan kaum kerabat beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2011 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Marilah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya berupa kemakmuran dan perlindungan kepada kita semua dan negara.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment