Tuesday, 28 May 2013

Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1431H/2010M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan  Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1431H/2010M pada hari Jumaat (Malam Sabtu) 17 Ramadan 1431/27 Ogos 2010 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, keberkatan Ramadan terus kita nikmati.  Di bulan inilah Al-Qur’an turun, yang disebut sebagai ‘Nuzul Al-Qur’an’.

Al-Qur’an adalah kepala mukjizat.  Mukjizat bererti perkara luar biasa, kurniaan daripada Allah kepada para Nabi dan Rasul.  Adapun Al-Qur’an ialah kurnia Allah kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sifat mukjizat terlalu hebat.  Ia tidak mampu dicabar atau dikalahkan oleh sebarang yang lain.  Khasnya Al-Qur’an, walaupun cuma sepotong ayat yang pendek, tiada siapa yang dapat mencipta sepertinya, mentelah pula untuk mengalahkannya.

Itulah dia Al-Qur’an.

Tidakkah ini satu tanda jelas, bahawa kita selaku pemiliknya, adalah umat yang paling beruntung di antara lain-lain umat.  Kerana Al-Qur’an bukan sahaja hebat tidak dapat dikalahkan, malahan juga ia suluh, perbendaharaan dan penyelamat kita, di dunia dan di akhirat.

Suluh, kerana ia mengandungi segala pedoman dan peraturan.  Semuanya datang dari Allah, bukan dari siapa-siapa.

Perbendaharaan, kerana ia adalah santapan rohani, ubat dan rahmat serta sumber rezeki berupa pahala.  Barangsiapa yang membacanya, akan memperolehi semua ini tanpa diragukan lagi.

Lagi banyak orang membacanya, lagilah kaya orang itu.

Penyelamat pula, tidakkah Al-Qur’an itu penawar, pelindung dan pemberi syafaat?  Di alam barzakh dan Hari Kiamat kelak, ia akan menjadi syafaat kepada mereka yang membacanya.

Jadi apakah lagi yang tidak ada pada Al-Qur’an itu?  Semuanya sudah cukup dan sempurna.

Tidakkah kita patut bersyukur selaku pewaris Al-Qur’an?  Tidakkah kita wajar sibuk dengan Al-Qur’an, dengan memberi penumpuan bagi mempelajari dan membacanya?

Inilah kewajipan kita terhadap Al-Qur’an.

Beta sungguh gembira dan bersyukur, kerana baru-baru ini, kerajaan beta telah memperkenalkan Kursus Diploma ‘Aaliah Qira-aat yang diungkayahkan oleh Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pengajian ini tidak syak lagi, adalah merupakan satu cabang dari ilmu Al-Qur’an dan menjadi fardu kifayah kepada kita.

Sehubungan itu, terdapat petanda baik dalam bidang kemajuan pembacaan Al-Qur’an.  Ini dapat dilihat dari kegiatan-kegiatan bertadarus di sepanjang bulan Ramadan, yang turut disertai oleh segenap peringkat masyarakat Islam di negara ini.

Baru-baru ini pula, qariah negara nyaris-nyaris menduduki tempat teratas di dalam Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Namun menjadi naib johan juga adalah masih unggul, nisbah perbezaan markah tidaklah seberapa, cuma kita ketinggalan 0.91 mata sahaja.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada qariah negara di atas kejayaan itu.

Ini semua adalah bukti pencapaian Brunei dalam bidang pembacaan Al-Qur’an itu.

Ditambah lagi, kita juga sejak akhir-akhir ini sudah berupaya tampil dalam pertandingan-pertandinga menghafaz Al-Qur’an peringkat serantau dan dunia, iaitu sesuatu yang belum pernah terjadi dalam tempoh dua tiga dekad yang lalu.

Pendeknya, Brunei setakat ini sedang menikmati perkembangan yang menggalakkan di bidang Al’Qur’an.

Beta berharap, supaya Brunei terus meningkat dan janganlah sekali-kali kita berhenti dari memperkaya diri dengan ilmu-ilmu Al-Qur’an.   Bukan hanya untuk tujuan pertandingan semata-mata, tetapi lebih penting lagi, pembelajaran di sekolah dan pusat pengajian mesti terus dikuatkan.

Kita garap Brunei, Negara Ziki, dengan kekuatan Al-Qur’an.  Biar ia jadi nadi dalam kehidupan kita, supaya terjelmalah satu ‘sejarah besar’ untuk bangsa.

Ini bukan retorik atau propaganda, tetapi satu azam bangsa yang bertuhan, yang mempercayai mukjizat dan keberkatan Al-Qur’an.

Dengan berkat Al-Qur’an, semua cita-cita kita yang baik, insya-Allah akan menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment