Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran
Peringkat Negara Tahun 1432H/2011M pada hari Rabu (malam Khamis), 17
Ramadan 1432/17 Ogos 2011 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa,
Berakas.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir di majlis memperingati Nuzul Al-Quran yang penuh berkat ini.
Telah terbukti dalam sejarah, bagaimana umat Islam pernah membina tamadunnya melalui ketaatan kepada Allah dan Al-Quran. Dengan ketaatan dan Al-Quran inilah mereka membina diri, membina sahsiah dan membina negara sehingga berdirilah daulah,yang kemudiannya berkembang menjadi empayar yang disegani.
Namun sayangnya, setelah sekian lama empayar Islam itu berdiri dengan teguhnya, tiba-tiba saja ia hancur akibat pelbagai krisis. Krisis yang paling menentukan sekali ialah krisis moral, yang berlaku di kalangan masyarakat Islam sendiri. Juga menjadi punca kehancuran itu ialah pendirian membelakangi ajaran-ajaran Al-Quran. Malah Al-Quran sendiri, pernah pada suatu ketika, ditukar tulisannya: dari huruf Arab kepada huruf lain, suatu tindakan, yang dianggap sangat menyalahi hukum syarak.
Ini semua adalah mengundang kepada azab Allah, sama ada kita menyedarinya ataupun tidak.
Oleh itu, kita umat Islam mahu balik semula bertamadun dan berdaulat, maka tidak ada cara lain, melainkan mereka mesti kembali kepada Al-Quran. Pelajarilah Al-Quran, baca ia, dan ambil intipati pengajarannya serta laksanakan.
Walaupun kegemilangan tamadun umat ini sudah pudar, namun ‘sumber asas’ yang kita miliki tidaklah turut pudar. Ia tetap masih asli dan akan selama-lamanya asli. Jika ia dipakai, insya-Allah, akan mampu mengembalikan semula kegemilangan itu.
Apakah dia ‘sumber asas’ tersebut? Iaitulah Al-Quran dan As-Sunnah.
Ajaran-ajaran Al-Quran dan As-Sunnah mesti ditegakkan. Termasuk hukum-hakamnya, jangan dilangkahi. Dari hukum berkaitan dengan ibadat dan kemasyarakatan, sampai kepada hukum makan minum pun, wajib dikalinga.
Jangan ia dianggap kurang penting. Malah ia adalah ‘terpenting’. Kerana sumber makanan itu sangat menentukan sekali: menentukan ibadat, sama ada ia diterima ataupun tidak, dan malah turut menentukan Syurga dan Neraka kita.
Bukankah terdapat maksud hadis: “Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik sahaja.” Termasuk pengertian ‘baik’ di sini ialah makanan yang halal serta amal ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.
Sementara, ada juga di sana maksud hadis lain: “Daging yang tumbuh daripada benda yang haram, Neraka adalah lebih berhak dengannya.”
Kerana itu kita digalakkan supaya lebih berhati-hati serta sensitif dengan perkara makan minum, bukannya dengan bermudah-mudah.
Oleh hal yang demikian, jika ada berlaku pihak berwajib bersikap lebih tegas dan lebih berhati-hati dalam menangani perkara pemakanan, maka itu adalah sesuatu yang amat wajar dan patut dipuji, kerana langkah tersebut merupakan usaha kerana Allah jua, bagi memelihara ibadat umat Islam serta menyelamatkan mereka daripada api Neraka.
Maka sehubungan ini, beta berharap supaya pihak-pihak yagn diberikan amanah akan terus bertegas dan mengambil langkah lebih berhati-hati, tidak hanya berpuas hati setakat usaha kecil-kecilan atau tindakan yang dibuat dengan gopoh-gapah. Kemuadian, menyangkut perkara kajian saintifik pula pada khususnya, mestilah dipastikan peralatan untuk menguji itu tidak bermasalah, tidak rosak dan pegawai-pegawai serta kakitangan yang menguji pula adalah benar-benar pakar.
Selama masih terdapat alasan sesuatu bahan makanan itu diragui atau ada unsur syubhah padanya, maka selama itulah ia wajib dijauhi, tidak boleh dimakan atau digunakan.
Halal dan haram itu sudah jelas, dijelaskan oleh nas, tetapi di antara keduanya (hala dan haram itu), terdapat pula perkara-perkara ‘musytabihat’, yakni yang masih samara-samar yang belum tentu halal atau haramnya. Maka dalam kedudukan seperti ini, hukum syarak menetapkan mesti dijauhi.
Beta berpendapat dengan berlakunya isu mentega kontroversi baru-baru ini, adalah penting untuk kita melakukan ujian ke atas semua bahan produk makanan yang diimpot. Tidak ada salahnya jika semua jenis mentega misalnya diuji untuk mendapatkan kepastian, bukan dengan menunggu kecoh dahulu baru kita hendak membuka makmal. Kalau kita melakukan budi bicara seumpama ini, insya-Allah keberkatan akan berpihak kepada kita.
Akhirnya, beta mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada para pemenang dalam Pertandingan Menghafaz Al-Quran pada malam ini, yang juga turut disertai oleh peserta daripada negara-negara MABIMS: Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment