Selasa, 4hb. Mac 2008 - Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Pembukaan
Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJIHASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN
HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
PEMBUKAAN PERSIDANGAN MUSIM
PERMESYUARATAN KE-4 MAJLIS MESYUARAT NEGARA
PADA HARI SELASA, 26 SAFAR 1428 / 4 MAC 2008
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJIHASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN
HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
PEMBUKAAN PERSIDANGAN MUSIM
PERMESYUARATAN KE-4 MAJLIS MESYUARAT NEGARA
PADA HARI SELASA, 26 SAFAR 1428 / 4 MAC 2008
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berkumpul di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara, dan ahli-ahli Yang Berhormat,
Hari ini kita mencipta sejarah dalam perkembangan Majlis Mesyuarat Negara, kerana permesyuaratan pada kali ini diadakan dalam bangunan baru Majlis Mesyuarat Negara.
Bangunan ini menjadi lambang kemegahan dan muafakat di antara kerajaan dan rakyat serta penduduk dalam memenuhi tanggungjawab mereka secara formal dan lebih teratur. Di sinilah wakil-wakil dapat memberikan sumbangan buah fikiran untuk pembangunan dan perkembangan negara.
Sejak penubuhan semula Majlis Mesyuarat Negara pada 25 September 2004, kita telah menerima ulasan dan maklum balas yang menggalakkan mengenainya.
Kita adalah mengambil berat semua pandangan yang diberikan itu.
Majlis ini kita sifatkan sebagai syura permuafakatan untuk melakar strategi-strategi yang bermanfaat bagi membantu kerajaan beta pada meneguhkan lagi sistem yang sedia ada, yang sudah kita warisi sejak turun-temurun.
Beta akan terus memerhatikan perjalanan permesyuaratan ini, di samping berharap, ia akan menjadi wadah mencetuskan pemikiran-pemikiran baru lagi kemas.
Ia juga dihasratkan dapat berlangsung dengan baik serta mampu mencapai semua objektifnya termasuk kewajipan membincangkan Anggaran Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2008-2009.
Oleh itu diharapkan kepada ahli-ahli supaya berpandangan jauh dalam perbincangan, dengan penjurusan ialah kepada isu-isu strategik yang bermanfaat bagi rakyat, selaras dengan hala tuju negara dalam tahun-tahun mendatang.
Mutu perbincangan adalah turut ditentukan oleh sifatnya yang substantive, membina dan berasaskan kepada kajian-kajian fakta yang teliti dan tepat.
Baru-baru ini, kita telah mengeluarkan Pelan Pembangunan Jangka Panjang yang dinamakan Wawasan Brunei 2035.
Pelan ini menggariskan dasar-dasar dan strategi-strategi pembangunan Negara bagi tempoh 30 tahun mendatang.
Beta berharap, dengan wawasan ini, tujuan kita untuk menjadikan orang-orang Brunei berpengetahuan tinggi lagi berkemahiran, akan berjaya dicapai. Demikian juga ekonomi yang berdaya tahan dan dinamik, yang menjadi matlamat utama kita, akan juga dapat dinikmati.
Dalam perkara ekonomi ini, wawasan adalah menekankan ke arah peningkatan yang ketara, di samping juga untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang diperlukan oleh negara.
Semenjak negara mencapai kemerdekaannya, pendapatan per kapita penduduk adalah memberangsangkan. Sepuluh tahun selepas merdeka, ianya terus meningkat. Ini, tidak diragukan lagi, dengan sendirinya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai contoh: Pada tahun 1994, pendapatan per kapita adalah sebanyak BND 23, 502 dan naik lagi pada tahun-tahun berikutnya sehingga mencecah kepada BND 47, 964 pada tahun 2006.
Bertolak dari sini, sepatutnya, kadar kemiskinan dengan sendirinya adalah menurun.
Maka berdasarkan ini, apakah tidak terlintas di ingatan kita untuk menetapkan salah satu matlamat wawasan ialah untuk menjadikan kadar kemiskinan di negara ini ke tahap sifar?
Beta yakin, Negara Brunei Darussalam adalah mampu untuk itu, dan Majlis Mesyuarat pula boleh memainkan peranannya sebagai penunjuk cara bagaimana mencapai hasrat ini.
Satu lagi matlamat kita ialah ke arah meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai projek dan program pembangunan, terutama yang melibatkan sosioekonomi.
Ekonomi itu dalam pengertiannya ialah sistem pengendalian sumber kekayaan, yang antaranya turut disumbangkan oleh pertanian.
Pertanian tidak syak lagi adalah satu bidang penting untuk mempelbagaikan ekonomi.
Semua negara di dunia adalah bergantung kepada pertanian, kerana peranannya menyediakan makanan, sama ada dengan cara menghasilkannya sendiri ataupun mengimport.
Matlamat pertanian adalah untuk memenuhi keperluan penduduk, di samping juga ia boleh diperniagakan secara local dan global, dalam makna Pertanian Komersil.
Isu kita, sejauh manakah pertumbuhan pertanian itu di negara kita ini? Adakah kita sedang mengalami pertumbuhan positif ataupun sebaliknya?
Sekali-sekala beta dapat menyaksikan melalui media, bahawa ada pemimpin dan lain-lain pegawai kerajaan bersama-sama dengan rakyat turun ke sawah padi.
Apakah rumusan kita dari pengalaman ini? Adakah misalnya prasarana pesawahan dan perladangan kita sudah mencapai piawaian standard persawahan dan perladangan yang maju?
Jika ya, sudah tentulah galakan perlu diberikan untuk kelangsungan dan peningkatannya, sementara jika belum, maka bimbingan atau tunjuk ajar adalah mustahak.
Beta percaya, ahli-ahli Yang Berhormat mampu melihat perkara ini untuk sama-sama dibincangkan.
Untuk akhirnya, beta berharap ahli-ahli Majlis Mesyuarat akan dapat mengadakan perbincangan dengan bersungguh-sungguh serta penuh dedikasi, dan dengan pimpinan Yang Amat Mulia Yang Dipertua, beta berkeyakinan sesi permesyuaratan pada kali ini akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna, serta membuahkan hasil yang kita harap-harapkan.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment