Tuesday, 28 May 2013

Hari Raya Aidilfitri Tahun 1430 Hijrah/2009 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hssanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1430 Hijrah/2009 Masihi


TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 1430 HIJRAH/2009 MASIHI


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillailhamd.

Apa pun keadaan dan suasana yang ada, Syawal tetap kita rayakan.  Kita sambut ia dengan takbir dan tahmid.  Takbir dan tahmid adalah ucapan kemenangan.

Tidak ada yang lebih hebat dari takbir dan tahmid.  Takbir membesarkan Allah, sementara tahmid memuji keagungan-Nya.

Walaupun pada tahun ini, sambutan Hari Raya ditakdirkan berbeza dari tahun-tahun yang lalu, namun semangatnya tetap tidak pudar, malah terus hidup dan subur di sanubari setiap individu.

Tempat-tempat ibadat akan terus meriah di pagi Hari Raya, sebagaimana lazimnya.  Umat Islam tua muda, dengan keimanan di dada, akan melakukan Sembahyang Sunat Aidilfitri di masjid-masjid dan surau-surau.

Inilah dia puncak kemeriahan dan keberkatan.  Jika ini dapat dibuat dengan sempurna, maka itulah kepuasan yang sebenar-benarnya.  Kita puas, kerana telah dijanjikan dengan ganjaran berupa pahala.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd.

Resam orang beriman pandai membawa diri.  Jika terjumpa nikmat disambutnya dengan syukur.  Kalau bertemu musibah diterimanya dengan sabar.

Apa pun keadaan, nikmat masih saja mengatasi segalanya.  Khusus di sepanjang bulan Ramadan ini, ramai orang berkeadaan sihat sehingga mampu berpuasa, mampu membaca Al-Qur’an, mampu berterawih dan mampu qiamullail.  Kemudian apabila menjelang Syawal, mampu pula ke masjid untuk Sembahyang Hari Raya.

Apakah ini bukan nikmat namanya?  Sudah tentulah ia nikmat.  Dan kita pun menjawatnya dengan syukur.

Di masa yang sama, kita juga hingga sekarang masih lagi berjaga-jaga terhadap musibah H1N1.  Musibah ini jelas merupakan satu ujian kepada kita.  Lalu kita pun menerimanya dengan sabar.

Kesabaran kita tidak kosong, tetapi berpaksikan ikhtiar.  Kita menanganinya dengan pelbagai cara:  Dengan doa, dengan Qunut Nazilah dan dengan Sembahyang Hajat, di samping juga, tidak mengabaikan nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai juga boleh menyumbang mengurangkan risiko, dengan memahami langkah-langkah pencegahan yang mudah, iaitu dengan mengelakkan diri daripada mana-mana individu yang mempunyai simptom influenza-like illness serta menjauhi kawasan-kawasan sesak yang tidak perlu.  Atau jika mustahak juga, orang akan memakai penutup mulut dan hidung.

Inilah mustahaknya ikhtiar itu.  Malah ugama kita juga menyuruh berikhtiar.

Maka berlandaskan inilah, beta sendiri mengambil langkah ke hadapan untuk tidak membuka Istana pada tahun ini kepada rakyat dan penduduk, bagi membolehkan mereka berziarah kepada beta dan ahli kerabat, demi semata-mata sebagai satu ikhtiar jua, ke arah melindungi kepentingan dan keselamatan orang awam daripada risiko jangkitan wabak H1N1.

Walupun setakat ini alhamdulillah, kita berada di tahap yang baik, namun sampai sekarang, belum ada lagi pihak-pihak yang berani menjamin bahawa keadaan sudah pun pulih, melainkan kegelisahan dan keraguan masih saja terdapat di mana-mana.

Kerana itu, beta berharap, pihak-pihak yang berkenaan janganlah lalai, apatah lagi berhenti, dari menyedarkan orang ramai dengan nasihat-nasihat pencegahan dan menghindarkan daripada wabak yang ditakuti ini.

Insya-Allah, dengan berkat doa dan munajat kita yang berterusan serta lain-lain usaha, Allah Subhanahu Wataala akan menyelamatkan kita dan negara.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd.

Dengan hati yang tulus ikhlas lagi jernih, beta dan keluarga beta dengan seakrab-akrabnya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat dan pendudul, khasnya mereka yang berugama Islam di mana saja mereka berada.

Semoga kita dengan izin Allah, akan bertemu pula di tahun mendatang, dengan penuh bahagia dan muhibah, serta negara dalam keadaan makmur dan selamat, bebas dari sebarang wabak dan malapetaka.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment