Tuesday, 28 May 2013

Majlis Sambutan Hari Guru Ke-19

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-19 bagi tahun 1430 Hijrah / 2009 Masihi pada hari Khamis 17 Zulkaedah 1430 / 5 November 2009


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur kerana dapat berkumpul pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang ke-19.

Pada kesempatan ini, beta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru di negara ini.

Tema pada tahun ini berbunyi: ‘Guru Berkualiti Teras Kecemerlangan Pendidikan’.

Guru berkualiti memanglah diperlukan untuk mendididk dan memperkaya para pelajar dengan ilmu serta kemahiran melalui cara-cara penyampaian yang menarik lagi berkesan.

Guru adalah ejen yang melahirkan insan-insan inovatif yang mempunyai daya fikir yang hebat lagi tinggi serta serba boleh. Guru seperti inilah yang kita harapkan untuk membawa perubahan sehingga tercapainya Wawasan Negara 2035.

Guru seperti inilah yang kita perlukan untuk menghadapi dunia yang banyak berubah dan akan terus berubah.  Guru pada hari ini adalah digital immigrants, manakala para pelajar pula adalah digital natives.  Dalam makna, guru-guru itu perlulah bekerja lebih keras serta mendepani segala perkembangan.

Seterusnya, guru-guru perlu sampai kepada satu standard yang diperlukan.  Sudah tiba masanya kita mempunyai standard guru, yang boleh dijadikan penyukat selaku guru berkualiti, sebagaimana jua negara-negara maju yang lain memilikinya.

Hari ini, negara-negara maju dan membangun di seluruh dunia sentiasa memikirkan cara-cara terbaik untuk sistem pendidikan mereka, dan majoriti negara-negara tersebut telah membuat reformasi pendidikan masing-masing.

Alhamdulillah, kita juga sedang di landasan yang sama apabila kita membuat anjakan paradigma dalam sistem pendidikan kita.  Sebagai sebuah negara walaupun kecil, kita juga tidak boleh mengasingkan diri daripada terlibat dalam arus perubahan yang menuju ke arah kemajuan itu.  Sebaliknya kita perlu terus memfokuskan perhatian dan usaha untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, serta mengorak langkah untuk menjadikannya realiti, kerana masa tidak akan menunggu kita.

Walau bagaimanapun, dalam kepantasan dan keghairahan kita mengejar kemajuan, beta ingin berpesan supaya segala perancangan dan perlaksanaan pendidikan itu, kita hendaknya tidaklah akan tergelincir dari tunggak kekuatan kita, iaitu falsafah Melayu Islam Beraja.  Elemen-elemen yang terkandung dalam falsafah ini amatlah penting dipelihara sebagai paksi kita mempersiapkan generasi berilmu, beriman dan bertaqwa.

Semua ini, pada hemat beta, di samping ia tertakluk kepada sistem pendidikan yang betul, peranan guru juga adalah paling utama.  Jika ini diabaikan, maka sukarlah untuk kita mencapai sasaran-sasaran negara secara optima.  Oleh itu, usaha-usaha ke arah menyediakan guru-guru yang berkualiti adalah langkah tepat dan wajar.

Menyentuh kualiti keseluruhan pendidikan negara, alhamdulillah, beta telah menyaksikan negara kita mencapai satu kedudukan yang sangat baik di arena antarabangsa.

Pada misalnya, kejayaan negara melaksanakan tanggungjawabnya bagi memberikan Pendidikan Untuk Semua atau Education For All (EFA). Di dalam EFA GLOBAL MONITORING REPORT 2009, yang dikeluarkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO), menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam berada dalam kelompok negara yang mencapai High EFA Development Index (EDI), dan berada di kedudukan teratas di antara negara-negara ASEAN, dan di tempat yang ke-36 daripada 129 negara di dunia.

Kejayaan kita dalam melaksanakan EFA di negara ini telah memastikan penduduk negara menjadi penduduk yang berpendidikan.  Ini, membawa negara berada di kelompok negara yang mempunyai Very High Human Development bersama-sama dengan negara-negara maju, seperti Jepun dan Amerika Syarikat.  Kenyataan ini dimuatkan dalam Human Development Report 2009, yang disediakan oleh United Nations Development Programme (UNDP), dan negara kita berada di tempat ke-30 di antara 182 buah negara di dunia.

Kejayaan-kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha satu pihak sahaja, malah usaha semua pihak daripada kita, dan yang pastinya, sebahagian daripada pihak tersebut ialah para guru sekalian.

Akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.  Kita berharap anugerah ini akan memberi motivasi dan sumber ilham kepada semua warga guru, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan, dan semoga para guru akan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala jua hendaknya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment