Tuesday, 28 May 2013

Titah Perasmian Kompleks Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah sempena Perasmian Kompleks Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah, pada hari Khamis, 22 Zulkaedah 1432H / 20 Oktober 2011M bertempat di Kompleks Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur dapat hadir di Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah pada pagi ini.  Beta amat terharu bercampur gembira, dialu-alukan oleh kanak-kanak generasi termuda yang mempamerkan semangat tinggi lagi suci kerana ugama.

Beta terbayang, bahawa daripada semangat inilah, terpancarnya rahmat.  Kerana Allah Subhanahu Wataala sendiri memang menyayangi kanak-kanak, sehingga mereka itu disifatkan sebagai wali-Nya yang utama,

Selaku wali Allah, mereka mempunyai minda dan jiwa yang bersih, tidak berdosa dan doa mereka juga amat mustajab.

Itulah kedudukan kanak-kanak.  Kalau kita benar-benar tahu kedudukan ini, sudah barang tentu tidak ada siapa yang tidak akan menyayangi kanak-kanak.

Kerana itulah, beta pun turut hairan, bagaimana boleh berlaku orang menganiaya kanak-kanak, tergamak mendera dan malah membunuh mereka?  Sesungguhnya perbuatan seperti ini tidak syak lagi, adalah perbuatan amat terkutuk. Berbalik kepada Sekolah Al-Falaah.  Beta sebelum ini telah banyak mendengar mengenainya, dan malah pernah berpeluang untuk melihatnya sendiri secara lebih dekat.  Beta berkeyakinan, sekolah ini mempunyai potensi untuk maju, bukan sahaja mampu memajukan dirinya sendiri malahan juga memajukan ugama.

Di segi pembelajaran ugama, khasnya jurusan Al-Qur’an dan Bahasa Arab, sekolah ini dilihat sebagai lebih ke hadapan mendahului sekolah-sekolah lain yang setaraf dengannya.

Beta difahamkan, sekolah ini bukan sahaja menguatkan Al-Qur’an dan Bahasa Arab, malahan Bahasa Inggeris, Matematik dan lain-lain adalah juga turut diajarkan sebagaimana di sekolah-sekolah yang lain.

Ini tentu sahaja menjadi satu kelebihan baginya, dan bahkan boleh membantunya untuk lebih menyerlah lagi.

Misalnya, dalam persaingan untuk memasuki Sekolah Menengah Arab, calon-calon daripada sekolah ini tentu sahaja mempunyai keupayaan yang lebih, berdasarkan kelebihan mereka dalam subjek-subjek tertentu yang diperlukan, seperti Al-Qur’an dan Bahasa Arab.

Cara sekolah ini dikendalikan cukup meyakinkan.  Ia tidak mudah mengalah, walaupun melalui rintangan-rintangan.

Beta turut memaklumi, bahawa sekolah ini belum pernah mempunyai bangunannya sendiri, melainkan hanya dengan menyewa sahaja.  Bahkan pernah pula, kerana sebab-sebab tertentu, mengalami kejutan getir diminta mengosongkan bangunan dan berpindah ke tempat lain.  Ini, serba sedikit turut menjejaskan sekolah pada masa itu.

Kemuncak dari usahanya untuk mengatasi masalah bangunan ini ialah dengan memohonkan pinjaman kepada Baitulmal.  Tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, rancangan ini tergendala atau terlambat dilaksanakan, sehingga berbangkit pula masalah baru, iaitu kenaikan harga bangunan menjadi berlipat ganda.

Cerita ini amatlah menyedihkan, lebih-lebih lagi, jika dengan sebab ketiadaan prasarana, ia kan berkubur begitu sahaja, sedangkan misi dan visinya cukup jelas untuk menolong menegakkan ugama. Atas asas inilah, dan juga demi ‘ciri istimewa’ yang dimiliki oleh sekolah ini dalam perkara membantu perkembangan ugama, maka beta dengan niat semata-mata kerana Allah jua, menghadiahkan bangunan ini untuk kegunaan Sekolah Al-Falaah.  Beta berharap, ia akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya dan juga mampu untuk menampung keperluan-keperluan yang dihajati.

Kepada masyarakat Islam, khasnya para ibu bapa yang anak-anak mereka ada belajar di sekolah ini dan juga mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan, hendaklah menghulurkan kerjasama yang padu kepada pihak sekolah, bagi memastikan ianya berjalan dengan sebaik-baiknya.

Dengan bersyukur sambil bertabarruk dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Anbiyaai Wal Mursaleen Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, beta rasmikan Kompleks Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment