Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1433 Hijrah /
2012 Masihi
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Maha Besar Allah, Maha Besar Allah, Maha Besar Allah, dan bagi-Nya adalah terpulang segala pujian.
Pujian terhadap Allah itu wajib, kerana Dia memang berhak dipuji.
Bertapa
tidak, bukankah Allah itu Maha Sempurna, serba serbi sempurna? Zat-Nya
sempurna, Ilmu-Nya sempurna, Sifat-Nya sempurna. Maka kerana itulah kita
para hamba ini dituntut supaya memuji-Nya.
Memuji Allah bukanlah
seperti memuji yang lain-lain. Memuji Allah bermakna kita mensyukuri
nikmat-Nya, semantara mensyukuri nikmat itu pula dihukumkan wajib.
Jika
kita mensyukuri nikmat Allah, Dia berjanji akan menambahnya lagi,
sebaliknya kalau kita tidak mensyukuri nikmat itu, maka berhaklah bagi
Allah menimpakan azab-Nya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mensyukuri
nikmat Allah tidaklah memadai setakat ucapan semata-mata, tetapi mesti
dibuktikan juga dengan amal perbuatan. Kita dikurniakan harta,
disamping lidah kita melafazkan “alhamdulillah”, Allah juga adalah
memerhatikan kita, dimanakah harta itu kita gunakan?
Kalau ia
digunakan dijalan yang hak, maka kesyukuran kita itu akan diterima.
Tetapi jika ia digunakan dijalan yang batil, maka kesyukuran kita itu
bukan saja ditolak, malah azab juga adalah sedang menunggu kita. Inilah
keadilan Maha Pencipta.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Kita
ini pada setiap hari dan detik menggunakan nikmat Allah. Udara-Nya yang
segar kita hirup. Tanpa udara, semua makhluk tidak mungkin hidup.
Bumi-Nya juga kita pijak dan air-Nya kita minum. Tanpa bumi dan air itu,
dimanakah kita dan apa nasib kita?
Pada masa ini, kita sedang memperingati 42 tahun pertukaran nama “Bandar Brunei” kepada “Bandar Seri Begawan”.
Bandar,
adalah bumi tempat kita berpijak dan berjalan-jalan. Tempat
membeli-belah, tempat bertugas dan malah tempat kita beribadat. Bukankah
disini ada masjid yang tersergam indah?
Demikianlah fungsi bandar itu.
Kita
wajib bersyukur diatas nikmat ini, dan perlu berazam untuk melihatnya
kekal, supaya dapat pula dinikmati oleh generasi turun temurun.
Disinilah
kita perlu memahami akan kehendak, siapa yang ampunya nikmat itu. Dia
menghendaki kita supaya terus bersyukur dan bertakwa serta tidak
mengambil ringan perintah-perintah-Nya.
Khusus dalam perkara bernegara termasuk berbandar,
kita adalah dituntut supaya sentiasa memelihara kesucian negara atau
bandar kita itu daripada segala macam bentuk mungkar. Ini adalah amanah,
dan termasuk juga selaku amanah itu ialah memberikannya imej yang baik
dan indah, maksud Beta, imej keislaman (Islamic image), lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku bumi MIB atau bumi Negara Zikir.
Salah
satu contoh paling tepat lagi mustahak untuk disegerakan dalam perkara
membaiki imej bandar dan malah negara seluruhnya ialah, pada Hari
Juma’at, diwaktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan
bisai tah ditutup buat sementara waktu, sehingga selesai menunaikan
sembahyang fardhu Juma’at.
Penutupan ini, selain ia sendiri
berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit “kuai-libai”
setengah kalangan pemuda atau belia di pusat-pusat membeli belah atau di
kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudahpun berada di masjid
atau sedang bergerak ke masjid.
Tidakkah, jika perkara ini dibiarkan sehingga berpanjangan, akan mencemarkan imej negara dan malah imej Islam sendiri?
Oleh
itu, langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan syara’
untuk dilaksanakan. Syara’ telah menggesa kita supaya segera menyahut
panggilan “Sembahyang Juma’at” dan meninggalkan sementara urusan
jual-beli sehinggalah selesai sembahyang tersebut. Manakala telah
selesai sembahyang, kitapun disuruh pula untuk bertibaran semula dimuka
bumi bagi menjalankan urusan masing-masing (lihat ayat 9 dan 10 surah
Al-Jumu’ah).
Dari perintah Allah ini, tidak siapa yang akan rugi
malah sebaliknya, dengan negara juga akan beroleh nama yang baik dan
imej yang baik serta keberkatan pula boleh kita tunggu daripada Allah
Subhanahu Wata’ala.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Beta
meminta dan berharap kepada pihak-pihak berkenaan, supaya dengan cara
sewajarnya, akan menangani perkara ini tanpa lama-lama bertangguh.
Beta bersyukur, kerana hidayat Allah ini datangnya pada “Hari Besar”, bersukut dengan kita menyambut ‘Idil Adha yang mulia.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan perasaan tulus ikhlas dan penuh muhibbah mengucapkan Selamat Hari Raya Adha Al-Mubarak
kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana
saja mereka berada, tidak terkecuali para jama’ah haji kita di Tanah
Suci, semoga mereka mendapat haji yang mabrur dan kembali ke tanah air
dengan selamat. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment