Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2009
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajma’een. Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mentakdirkan kita dapat memasuki Tahun Baru Masihi 2009 dalam suasana tenteram.
Memperingati Tahun Baru Masihi pada umumnya ialah wadah bagi membuat ‘penilaian’ semula mengenai kemajuan ‘perjalanan’ negara dan sejauh mana perjalanan itu mengikut jalur arah tuju yang dihajati.
Pada waktu yang sama, kita juga mesti meningkatkan usaha ke arah perkhidmatan dan pencapaian yang lebih cemerlang.
Kita sekarang masih menyaksikan kejadian-kejadian seperti krisis kewangan, kemelesetan ekonomi, kepincangan sosial, kemusnahan alam sekitar dan ketidakstabilan politik yang sedang melanda sebahagian besar negara-negara di dunia ini.
Dengan rahmat dan izin Allah Yang Maha Berkuasa jua, negara kita terlepas dari sebarang kemelut, malah dapat menikmati keamanan dan ketenteraman bernegara.
Dalam jangka waktu yang penuh cabaran ini, beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mengekalkan kerjasama dan sama-sama menjana semangat membangunkan negara.
Kita akan terus mengadakan permuzakarahan dan perbincangan, bukan saja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di arena antarabangsa.
Kita juga akan sentiasa merancang dan berpandangan jauh dalam mendepani masa depan yang sukar diramal.
Sementara kita tidak mengetahui jawapan kepada cabaran-cabaran dunia yang sangat kompleks, kita perlu mempersiapkan diri bagi masa depan. Kerajaan beta insya-Allah akan sentiasa membuat penilaian dan pembaikan-pembaikan yang bersesuaian.
Kita memang tidak sunyi dari menghadapi pelbagai cabaran baru yang tidak siapa pun dapat menjangkakannya.
Tetapi selaras dengan pegangan kita, kita berusaha, di samping berdoa dan bertawakal, dengan penuh berani.
Ini semua, pada akhirnya, akan mewujudkan ketahanan nasional, yang berperanan besar untuk menjamin kemajuan dan kemakmuran negara.
Oleh sebab itulah kita telah merencanakan Wawasan Brunei yang munasabah sebagai warisan kewujudan bangsa.
Wawasan telah mencarta hala tuju masa depan negara, memandu perancangan yang lebih bersistematik bagi menuju kepada sebuah negara dan mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi lagi berjaya, berkualiti dan mempunyai ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan.
Selain dari ilmu, pengalaman kemahiran dan kewangan, masa juga adalah merupakan salah satu faktor utama dalam pembangunan dan produktiviti negara.
Penggunaan dan pengurusan masa adalah sangat penting dalam erti yang seluas-luasnya.
Sifat ‘masa’ adalah unik dan berlainan dengan sifat faktor-faktor ilmu, kemahiran atau kewangan.
Adalah lumrah bagi manusia mengejar ilmu pengetahuan dan harta kekayaan.
Tetapi tidak ramai orang yang melihat masa melebihi dari segala-galanya.
Sebab itu, pada perhitungan yang betul, masa adalah satu titik tolak utama dalam memikirkan peningkatan produktiviti negara dan lain-lain kemajuan.
Semuanya, mesti dilaksanakan dengan cepat dan dibuat pada waktunya.
Setiap perancangan diberikan sasaran waktu perlaksanaan masing-masing.
Inilah caranya menghargai masa, sayugia ia dijadikan budaya.
Kecepatan bertindak pada waktunya adalah antara ciri utama untuk berjaya.
Kecepatan membuat perubahan, pembaharuan dan pembaikan adalah amalan negara yang berjaya.
Namun sebagai hamba Allah yang serba kekurangan, biarlah kita juga dengan jujur mengakui akan kelemahan kita masing-masing, tetapi serentak dengan itu berusaha memperbaikinya mana-mana yang mampu diperbaiki. Kita perlu ingat, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib, sebelum perubahan dalaman kita lakukan. Antara benda dalaman itu ialah sikap kita.
Akhirnya, beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan juga kepada seluruh lapisan rakyat jelata, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan negara yang dicintai ini.
Beta dan keluarga beta, tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2009 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wasalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment