Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam sempena Majlis Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun
1433 Hijriah / 2012 Masihi bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa,
Berakas pada hari Ahad, 27 Rejab 1433 bersamaan 17 Jun 2012.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu,
‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi
memperingati serta membesarkan peristiwa Israk dan Mikraj Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam.
Peristiwa Israk dan Mikraj, diketahui
melalui Al-Qur’an dan Al-Hadits. Ia adalah mukjizat, di antara
mukjizat-mukjizat besar Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Di
antara agenda paling penting dalam peristiwa ini ialah, pensyariatan
sembahyang lima waktu kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi
Wasallam. Ia diterima secara langsung oleh Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam daripada Allah Subhanahu Wata’ala sendiri, iaitu suatu isyarat
jelas, bahawa ibadat sembahyang itu adalah ibadat paling utama di sisi
Allah.
Ia bukan saja jadi jaminan untuk memperolehi keberuntungan
di akhirat, malahan juga sebagai alat bagi menghias kehidupan dengan
akhlak yang baik lagi terpuji, lawan kepada keji dan mungkar,
sebagaimana terungkap dalam ayat 45 Surah Al-‘Ankabuut, tafsirnya “Baca
dan ikutlah (wahai Muhammad) apa yang diwahyukan kepadamu dari
Al-Qu’ran dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu
mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar."
Ibadat
sembahyang tidaklah lapok dalam peranannya. Jika 1,400 tahun lebih yang
lampau, ia dikatakan sebagai pencegah perbuatan keji dan mungkar, maka
sampai kinipun, sehingga Hari Kiamat, ia akan tetap berfungsi demikian
itu juga.
Peranan itu terus kekal, selaras dengan keperluan.
Fenomena
di sepanjang zaman menambahkan lagi keperluan itu. Lihat sajalah kepada
krisis-krisis moral di mana-mana, seperti saja dunia ini sudah tidak
mempunyai ruang lagi untuk kemuliaan dan keluhuran bertapak, selain
ianya sedang dicemari oleh kekejian dan kemungkaran belaka.
Maka
di dalam keadaan atau kedudukan seperti ini, tidakkah ibadat sembahyang
itu lebih-lebih lagi diperlukan untuk mengubati penyakit keji dan
mungkar tersebut? Dan umat Islam yang sembahyang adalah penyumbang utama
untuk itu.
Bayangkan, umat Islam yang berjumlah 2.1 bilion
sekarang, jika mereka itu benar-benar melaksanakan ibadat ini dengan
konsisten, tidaklah diragukan lagi, mereka adalah penyumbang kebajikan
yang tidak ada taranya kepada dunia, kerana bukankah dengan berlakunya
sembahyang orang Islam itu, kekejian dan kemungkaran dengan sendirinya
akan turut tercegah dan menipis, berdasarkan isyarat daripada Allah di
dalam firman-Nya di atas tadi.
Ertinya, kesan dari sembahyang
orang-orang Islam itu, adalah mampu untuk turut mengundangkan kekejian
dan kemungkaran daripada merebak dan bermaharajalela di dunia.
Agama Islam tidak syak lagi, adalah kaedah yang terbaik dengan ibadat sembahyang pula adalah sebagai terapinya.
Kehebatan
dan kebenaran ibadat ini sebagai pencegah mungkar, telah terungkap
dalam sebuah riwayat hadis : Bahawa Rasulullahi Sallallahu Alaihi
Wasallam pernah didatangi
oleh seseorang dan orang itu berkata : "Wahai Rasulullah, sifulan sembahyang pada sepanjang malam, tetapi di siang hari dia mencuri."
Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya : “Sembahyangnya akan mencegahnya (dari perbuatan mungkar itu).” - Hadis riwayat Ahmad dan Al-Bazzar.
Dari
maksud hadis ini, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tetap menekankan
bahawa hanya sembahyang jua yang mampu untuk menjadi ubat, dalam makna
yang tersirat, si pencuri ini mestilah terus sembahyang, sambil membaiki
dan menyempurnakan lagi sembahyangnya itu, insya-Allah kemungkaran akan
lungsur dari dirinya.
Oleh itu, sayangilah sembahyang dan jangan
ia dicuaikan. Mencuaikan sembahyang bermakna menolak rahmat, sedang
rahmat itu amatlah mahalnya, sehingga tiada sebarang angka yang dapat
menganggarkannya.
Pastikan dalam tiap-tiap rumah tangga kita,
semua orang adalah sembahyang : ibu bapa sembahyang, suami isteri
sembahyang, anak-anak sembahyang, sampailah kepada pembantu-pembantu
kita pun, semuanya sembahyang.
Jangan ada, walau seorang pun dari anggota keluarga yang tidak sembahyang.
Menyebut
tentang 'keluarga' ini, kita baru-baru ini telah pun menyambut 'Hari
Keluarga'. Tetapi sedikit pelik, semua acara, tidak adapun yang
mengimbas, berkaitan dengan ibadat satu-satu keluarga, misalnya
bagaimana sesebuah keluarga itu dilihat sedang sembahyang berjemaah di
rumah atau di masjid, melainkan semuanya hanya bercorak hiburan dan
permainan semata-mata.
Apakah ini memang calak bagi tiap-tiap keluarga di Brunei? Beta rasa bukanlah begitu.
Tetapi
kelemahan kita, kita mungkin saja kurang peka dengan perkara-perkara
besar, sebaliknya telah terbiasa untuk memilih jalan mudah suka
berseronok.
Untuk ini, beta ingin mengingkatkan, supaya kita
lebih serius dalam apa jua perkara yang menyangkut dengan kehidupan
beragama, bernegara dan berkeluarga.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment