Monday, 3 June 2013

Sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1427


TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1427

PADA
1 MUHARRAM 1427 / 30 JANUARI 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana mengizinkan kita dapat melangkah ke tahun baru 1427H.

Tahun ini akan kita jadikan tahun ‘kerja keras’, sebagaimana di masa yang sudah-sudah. Kerja-kerja itu pula didasarkan kepada dua tuntutan besar, iaitu : Untuk kebaikan di dunia dan keselamatan di akhirat.

Kita akan bekerja dengan hidayat sambil menjauhi kemurkaan Allah. Dengan cara ini kita dapat menghasilkan program-program kemajuan seperti yang dihajati.

Kita juga tahu bahawa kita adalah berasa di tengah-tengah suasana dunia yang sering berubah. Isu-Isu serantau dan global juga terus menghambat pada setiap masa. Ini, tentu sahaja memerlukan kita bersikap lebih bijak dan berhati-hati.

Kita juga tidak boleh menyisihkan diri, baik secara aktif atau perlahan. Kita perlu menyertai usaha-usaha  serantau dan global untuk menangani pelbagai isu, seperti isu alam sekitar, membanteras jenayah dan kawalan wabak penyakit.

Penyertaan kita ini, tidak sahaja kerana menunaikan tanggungjawab selaku anggota masyarakat antarabangsa, tetapi juga didorong oleh rasa keagamaan yang suci.

Agama Islam, agama pegangan kita turun-temurun adalah merupakan agama rahmat untuk seluruh alam, yang menganjurkan supaya saling menghormati di antara manusia, bukannya permusuhan atau penyisihan diri.

Kita perlu menterjemahkan rahmat ini ke dalam dasar-dasar kerjasama serantau dan antarabangsa, seperti jika kita melaksanakan program-program keagamaan dam negeri, ianya adalah bertujuan menyebarkan rahmat itu kepada semua, iaitu rahmat berupa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Salah satu di antara beberapa program terpenting ialah program persekolahan dan pendidikan agama pada keseluruhannya.

Kerajaan beta telah memperkenalkan sistem persekolahan agama semenjak hampir setengah abad yang lalu. Menerusinya, rakyat negara ini telah dapat mempelajari ilmu-ilmu agama, khasnya ibadat dan Al-Quran. Beberapa tahun sesudah ia dimulakan, pelajaran dewasa agama pula dilaksanakan.

Semenjak daripada itu, persekolahan agama telah mencorakkan hidup kita selaku orang-orang Islam. Daripadanya terpancar sinar agama menyinari kehidupan ini.

Brunei adalah dikenali dengan sifatnya mengamalkan agama menurut landasan yang sihat. Ia tidak pernah mencetuskan sebarang kekecohan, berkat fahaman yang kita pakai adalah menepati acuannya.

Beta rasa, pendekatan ini sudah serasi dengan Brunei. Oleh itu, hayati dan pertahankanlah ia.

Beta juga yakin, peranan persekolahan dan pendidikan agama bukan setakat untuk memperelok keadaan, malahan juga mesti meningkat kepada membangun atau membina tamadun dan kehidupan. Tanpa peranan seumpama ini, tamadun dan kehidupan boleh sahaja ibarat kapal tanpa muatan, tidak ada apa-apa yang boleh diambil manfaat daripadanya.

Kerana itu beta inginlah melihat peranan ‘besar’ itu dilaksanakan secara berkesan. Dan untuk ini, penyusunan semula atau pengemaskinian semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama hendaklah dibuat, termasuk juga menyemak sukatan dan kurikulumnya.

Objektif kita, ialah supaya rakyat mendapat pendidikan agama yang sempurna. Jangan siapa yang mengelak atau berkecuali. Kerana ia adalah ‘jalan selamat’ yang telah disediakan oleh negara. Maka kerana itu, tidak siapa pun yang patut menolaknya.

Setiap kanak-kanak Brunei Muslim adalah wajib diasuh menyempurnakan fardu ain mereka. Sekurang-kurangnya sembahyang mereka sempurna dan bacaan Al-Quran lancar. Kerana itu, kesesuaian sukatan dan kurikulum perlulah diteliti.

Rumusan semua objektif di dalam pendidikan ialah melahirkan rakyat yang taat beragama, di mana mereka akan menjadi pelita ummah yang mempunyai fahaman dan pegangan yang betul.

Oleh itu beta turut berharap, yang mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam atau Islamic Religious Knowledge (IRK) dalam persekolahan umum mestilah juga turut dikemaskan.

Kita perlu ingat, bahawa anak-anak kita adalah menghadapi masa depan yang tidak sama lagi dengan apa yang kita alami. Cabaran yang mereka akan hadapi setelah dewasa, menghendaki mereka itu berilmu dan berkemahiran. Malah belum mencukupi setakat itu, mereka juga diperlukan beriman untuk membolehkannya menjadi orang salih. Ciri-ciri salih ini tidak dapat diabaikan, memandangkan dunia hari ini lebih menjurus kepada kebejatan moral.

Sehubungan dengan itu, beta percaya, program pengembangan sumber tenaga manusia yang baru-baru ini diluluskan dengan dana sejumlah $250 juta itu akan sama melihat aspek ini. Yakni manusia yang dirancang dan akan lahir daripada program tersebut ialah manusia Brunei  yang berilmu, mahir dan beramal salih.

Akhirnya, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baru 1427 Hijrah, semoga kedatangannya akan membawa keberkatan dan kebahagiaan kepada kita dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments:

Post a Comment