Monday, 3 June 2013

Tahun Baru Masihi 2006


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2006.

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya, sehingga dapat kita memasuki tahun baru Masihi 2006 dalam suasana aman dan sejahtera.

Keamanan dan kesejahteraan adalah kurnia paling berharga bagi sesuatu bangsa. Tanpa keamanan dan kesejahteraan, kehidupan akan menjadi tidak bermakna.

Sebab itu, usaha memelihara keamanan dan kesejahteraan ini hendaklah menjadi agenda kita yang utama.

Seperti lazimnya, setiap tahun baru itu akan menghidangkan berbagai cabaran, yang memaksa kita untuk menggandakan kewaspadaan. Dari tahun 2005 sampai membawa kepada tahun 2006, dunia akan terus dihantui oleh ancaman-ancaman wabak, khasnya wabak selesme burung.

Alhamdulillah, kita di Brunei ini telah terlepas daripada ancaman wabak tersebut. Ini adalah berkat doa rakyat di samping langkah-langkah biasa oleh pelbagai pihak.

Kita tidak wajar memandang ringan sebarang wabak, kerana ia datang adalah di luar dari kehendak manusia. Ia bukan terjadi hanya pada hari ini sahaja, malahan semenjak sekian lama lagi. Misalnya, virus influenza itu pernah menyerang dalam tahun 1918 yang membunuh sampai puluhan juta jiwa manusia di seluruh dunia.

Inilah makanya, beta sendiri amat mengambil terhadap ancaman ini. Beta mahu semua pihak mengambil langkah-langkah kehadapan sebagai persiapan  menghadapi apa jua kemungkinan.

Itulah juga yang mendorong Beta supaya satu Jawatankuasa Kebangsaan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Paduka Anakanda, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, khususnya untuk menangani ancaman tersebut.

Dari segi lain, seperti dunia keseluruhannya, kita juga di Brunei tidak terlepas dari menghadapi cabaran-cabaran perekonomian. Kerana itu sebagai menyahut cabaran tersebut, Kerajaan beta akan meneruskan langkah pada mempelbagaikan ekonomi negara, di samping berusaha menambahkan lagi sumber pendapatan sektor swasta.

Objektif aktiviti-aktiviti perekonomian sektor swasta bukan sahaja untuk menguatkan sektor berkenaan, tetapi juga adalah mampu untuk menyediakan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Menyebut mengenai pekerjaan ini, ia mengingatkan kita kepada soal pengangguran adalah musuh negara yang paling rumit dihadapi, di mana kesannya juga boleh menggugat kestabilan sosial.

Kerana itu, Kerajaan Beta tidak akan berhenti dari mencari jalan -  melalui pelbagai usaha - ke arah mengatasi pengangguran, termasuklah peluang-peluang pekerjaan baru. Dengan adanya peluang-peluang ini nanti, akan mengurangkan pula pergantungan kita kepada pekerjaan-pekerjaan di sektor awam.

Kita tidak boleh selamanya berada di takok lama. Kita mesti meneroka jalan-jalan baru, khasnya di bidang-bidang pekerjaan. Lagi banyak taburan pekerjaan dapat diceburi lagi baik, menandakan kita bangsa yang kreatif. Hanya bangsa yang kreatif sahaja yang layak mewarisi tamadun dan kemajuan.

Akhir kalam, Beta ingin mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk di atas sokongan dan ketaatan mereka kepada Kerajaan Beta.

Kepada semua peringkat dalam perkhidmatan awam Kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan sektor swasta, Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan di atas sumbangan tulus ikhlas mereka pada melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Dengan hati yang jernih, Beta serta keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2006 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Beta berdoa, semoga kita dan negara sentiasa mendapat perlindungan Allah, beroleh keselamatan, kemakmuran dan kebahagiaan.




1 comment:

  1. BetMGM Casino Review 2021 | Get up to $30 FREE for 2021
    BetMGM is an online sports betting and gaming platform 김천 출장안마 which has over 15,000 markets in the United States. Learn more about 익산 출장안마 BetMGM 메이피로출장마사지 casino 여수 출장샵 and 안산 출장안마 get the

    ReplyDelete