Tuesday, 25 June 2013

Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI


PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

Pada
27 Rabiulakhir 1427 / 25 Mei 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Negara kita Brunei Darussalam adalah Negara yang benar-benar memuliakan Al-Quran. Kita memuliakannya dengan cara mempelajari dan membacanya. Dari dahulu sampai sekarang, kita tidaklah pernah mengabaikan Al-Quran itu. Mempelajarinya adalah merupakan budaya kita turun-temurun.

Di Negara ini, jalan untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran adalah terbuka luas. Ia wujud melalui institusi pendidikan, masjid dan balai ibadah, serta juga tidak ketinggalan pejabat-pejabat dan rumah-rumah persendirian.

Beta sendiri pernah menasihatkan supaya Al-Quran dibaca oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan, sebelum lagi mereka itu memulakan sebarang tugas atau pekerjaan.

Mengapakan beta menghendaki demikian? Kerana tidak lain, ialah untuk mendapatkan keberkatan.

Adalah keberkatan itu insya-Allah, mampu membuahkan usaha yang baik serta akhlak yang mulia. Kerana bukankah Al-Quran itu suluh dan petunjuk ke jalan lurus?

Kita perlu berusaha sebanyak mungkin untuk memperolehi manfaat daripada Al Quran. Disamping membacanya, kita juga patut menambah dengan memahami sama kandungan ayat-ayatnya.

Usaha lanjut ini, beta rasa, bolehlah dibuat oleh institusi-institusi pendidikan serta juga setiap kementerian atau jabatan menurut cara-cara yang bersesuaian.

Beta mahu semua ini dilihat sebagai satu amanah, selaku tugas dan kewajipan besar. Begitu juga dengan lain-lain tugas dan pekerjaan, semuanya adalah amanah. Sementara pegawai dan  kakitangan yang dilantik atau diberi jawatan pula adalah pemegang-pemegang amanah itu.

Isu amanah adalah isu universal. Ia bukan terbatas kepada umat Islam sahaja, malah dibincang dan diperkatakan oleh semua bangsa tanpa mengira pegangan agama mereka.
Bagi kita umat Islam, ia adalah jelas merupakan satu suruhan Allah. Kerana kita dituntut supaya amanah, sama ada dalam pelajaran atau pendidikan, dalam pekerjaan, dalam ibadat, dalam menjaga rahsia, dalam urusan harta benda dan lain-lain.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam selaku penghulu kita, sangat terkenal dengan sifat amanah, sehingga Baginda digelar ‘Al-Ameen’, yakni orang yang selama-lamanya lurus dan benar.

Meringan-ringankan amanah samalah dengan meringan-ringankan iman, sebagaimana maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, riwayat Imam Ahmad daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh menjelaskan :

“Tidak ada iman bagi siapa yang tidak ada amanah padanya, dan tidak ada agama bagi siapa yang tidak memegang janji.”

Ini dikuatkan lagi oleh amaran Allah sendiri dalam Al-Quran Surah Al-Anfal ayat 27, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.”

Begitulah agama Islam dan Al-Quran mewajibkan kita supaya bersifat amanah. Dari amalan amanah itu, akan menghasilkan kebahagiaan serta kasih sayang Allah dan juga manusia.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments:

Post a Comment