TITAH
SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM KE – 18
SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM KE – 18
DEWAN CANSELOR, UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
Pada
1 Syaaban 1427 / 4 September 2006
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat menghadiri
Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta terlebih dahulu, dengan tulus ikhlas, mengucapkan tahniah kepada
para graduan dan penerima-penerima sijil di atas kejayaan mereka masing-masing.
Sebagaimana sedia dimaklumi, bahawa sektor pendidikan tinggi adalah
memainkan peranan amat penting dalam membina tamadun, sosial dan ekonomi negara.
Menyedari keperluan ini, beta difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan,
sedang merebiu semula sistem pendidikan kita, iaitu dari peringkat rendah
sehingga ke peringkat menengah untuk memastikan lagi kualiti pendidikan negara.
Selaras dengan keperluan yang sama, beta rasa, merebiu semula sektor pengajian
tinggi negara juga adalah baik dan penting. Dengannya kita akan dapat melihat
sejauh manakah tahap pencapaian institusi-institusi pengajian tinggi kita yang
ada.
Usaha seperti ini adalah merupakan tuntutan dunia global, yang kita
sifatkan sebagai reformasi kea rah mengemaskinikan sistem pengajian tinggi yang
lebih berpelbagai.
Sehubungan itu, untuk memenuhi kehendak ini, beta telah menubuhkan
Jawatankuasa Meneliti Pengajian Tinggi peringkat Menteri-Menteri Kabinet yang
akan menilai perkembangan dan pencapaian sektor pengajian tinggi negara dan
seterusnya mengenal pasti arah tuju pengajian tinggi tersebut. Jawatankuasa ini
akan membentuk strategi-strategi yang komprhensif yang kita-kira dapat
meletakkan sektor pengajian tinggi itu pada kedudukannya yang lebih mantap.
Institusi-institusi pengajian tinggi wajarlah mempunyai reputasi yang
dapat memberikan contoh-contoh berguna serta pendidikan yang berkualiti,
termasuk mempunyai pelbagai jenis pembelajaran yang mampu melahirkan
pelajar-pelajar berjaya serta berupaya membawa kepada perubahan.
Kita sentiasa berharap sambil memberi penekanan, supaya para garaduan
kita mempunyai ilmu yang luas serta kemahiran yang ‘marketable’. Ini, selain
bagi keperluan para garaduan itu sendiri, ia juga adalah turut ditunggu oleh
bakal-bakal majikan, pertubuhan-pertubuhan professional, pasaran buruh dan
masyarakat.
Menyentuh mengenai penubuhan sebuah lagi pusat pengajian tinggi yang pernah
beta titahkan, walaupunn ianya turut menjadi tanggungjawab bagi jawatankuasa
yang baru ditubuhkan ia untuk menelitinya namun ini bukanlah alasan untuk
melambat-lambatkannya. Kalau tidak silap beta, sehingga hari ini, sudah tiga
kali beta pernah menyebutnya.
Kita mahu, pusat pengajian yang bakal lahir itu, tidak mengapa, jika
sudut luarannya kurang glamour, tetapi ia mestilah benar-benar menepati
aspirasi negara, dapat membina generasi Muslim berilmu dan beraklak mulia.
Memanglah disedari, beberapa keperluan, kita mungkin masih kekurangan.
Tetapi kekurangan juga ada hikmahnya, iaitu boleh menjadi pendorong yang kuat
ke arah ‘usaha-usaha’ besar kita.
Yang merisaukan kita, masa itu adalah berjalan amat pantas. Ia akan terus
memotong kita. Manakala kita duduk diam tidak bergerak, bayangkanlah berapa
jauh kita akan tertinggal ditinggalkan oleh mereka yang terus menerus bergerak
dengan masa ?
Selain itu, beta juga ingin mengulangi di sini, bahawa matlamat kita
ialah sebuah pusat pengajian tertinggi Islam yang tulen, yang akan menjadi ‘landmark’
kita di dunia dan juga di akhirat, insya-Allah.
Akhir sekali, beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah
dan terima kasih kepada semua pihak yang berkenaan dengan UBD, yang meliputi
Pengerusi dan ahli-ahli Majlis serta Senat Universiti, Naib Canselor,
Pegawai-pegawai Utama, para ahli akademik dan pegawai serta kakitangan, di atas
segala sumbangan dan khidmat mereka yang tulus ikhlas. Semoga Allah jua yang
akan memberi ganjaran, taufik dan hidayat-Nya kepada semua. Amin!
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment