Tuesday, 11 June 2013

Di Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara


TITAH
DI PERSIDANGAN PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM PERMESYUARATAN KEDUA MAJLIS MESYUARAT NEGARA

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
15 Safar 1427 / 15 Mac 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana mengizinkan kita berhimpun di perasmian Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Mesyuarat yang akan berlangsung ini membawa mesej terbuka bahawa Kerajaan dan rakyat adalah berganding bahu memelihara elemen-elemen penting dalam sistem yang kita ada.

Cara ini telah banyak mendatangkan kebajikan. Melalui permesyuaratan, kita sebenarnya adalah membuka jalan untuk lebih kaya dengan idea-idea baru dan pengalaman.

Ini wadah yang amat beta sukai. Dari semangatnya Alhamdulillah, beta telah mendapat banyak inspirasi untuk mengadakan siri-siri lawatan kepada seluruh lapisan rakyat. Di daerah-daerah mahupun di kampung-kampung.

Dengan cara ini, dapatlah beta mendampingi mereka, dan juga berkongsi pengalaman serta harapan.

Majlis Mesyuarat Negara adalah seperti Majlis-Majlis Mesyuarat yang lain juga. Ia berperanan sebagai badan penasihat kepada beta dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan kepentingan rakyat dan Negara.

Pandangan atau buah fikiran yang diberikan oleh Ahli-ahli adalah secara ‘constructive’ untuk mencapai ‘consensus’.

Pada hari ini adalah merupakan sesi pertama permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang baru dilantik. Ia terdiri daripada 29 ahli. 5 ahli telahpun beta lantik daripada daerah-daerah.

Beta tidak lupa mengucapkan tahniah dan selamat bersidang.

Penambahan ahli adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan dan juga hasrat beta sendiri untuk memberikan peluang yang luas kepada rakyat dalam memberikan pandangan.

Beta yakin, Ahli-ahli yang dilantik akan dapat memainkan peranan ini dengan baiknya.

Pada sidang hari ini, majlis buat pertama kalinya akan membincangkan Peruntukan Belanjawan Negara.

Inilah peluangnya untuk ahli-ahli memberikan pandangan masing-masing. Beta yakin, mereka adalah mampu untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Sebagai ahli, mereka tidaklah perlu takut-takut, tetapi sebaliknya meletakkan diri masing-masing untuk menangani kepentingan negara dan rakyat.

Jika mereka dapat berbuat yang demikian itu, maka inilah satu kejayaan besar untuk negara, dan juga untuk masa depan majlis yang ditunggu-tunggu.

Oleh itu, harapan adalah sangat tinggi, supaya Ahli-ahli bukan sahaja menjadi penyampai yang baik bagi Kerajaan dan rakyat, malahan juga turut dituntut ialah menjadi ahli fikir yang dapat dicontohi oleh masyarakat.

Rakyat dan penduduk-adalah sentiasa fokus kepada mereka, siapa selaku wakil bagi perpaduan kebangsaan dan nilai-nilai etika yang luhur.

Mereka juga adalah berada paling depan untuk mendukung dan menghormati agama, undang-undang dan juga adat resam bangsa.

Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara,

Perkembangan Perlembagaan adalah merupakan proses yang memerlukan penilaian dari masa ke semasa, disamping melaksanakannya dengan teratur.

Beta sendiri juga mahu sama-sama mengawasi proses ini.

Beta juga akan menentukan arah tuju serta kesahihan Perlembagaan menurut yang semestinya.

Tentang Majlis Mesyuarat Negara, beta sendiri ingin memerhatikan perjalanannya, disamping turut menilai kesan-kesannya ke atas kehidupan rakyat dan penduduk.

Salah satu agenda utamanya ialah untuk membahaskan Peruntukan Belanjawan Negara, yang akan dilihat dari banyak sudut, terutama perancangan, kewangann dan sumber pendapatan Negara.

Dari segi sumber pendapatan, Negara kita telah mendapat nikmat menjadi sebuah negara pengeluar minyak, yang dengannya juga menjadikan kita beroleh kemakmuran yang wajib disyukuri.

Namun ini, janganlah ianya menjadikan kita bersikap leka dan membazir, tetapi sebaliknya perlu sentiasa waspada dan jimat.

Langkah mempelbagaikan ekonomi juga amatlah penting, memandangkan perkembangan dunia yang tidak menentu. Selain minyak dan gas, sumber-sumber lain juga seperti pertanian turut membawa kita terpanggil untuk menerokanya lebih jauh. Kerana kita tidaklah boleh selama-lamanya bergantung kepada pihak luar, dan malah, adalah menjadi satu kesilapan yang ketara jika kita tidak mengambil kira faktor-faktor alam dan politik yang mendatang.

Jadi sehubungan ini, semua sektor Kerajaan mahupun swasta mestilah sama-sama mendukung usaha Kerajaan bagi mempelbagaikan sumber ekonomi negara ini.

Kita tidak mampu lebih jauh tertinggal ataupun tercicir. Kita mesti berani menerokanya, serta berazam untuk mengelakkan kelembapan yang merugikan.

Akhirnya beta mengharapkan supaya Ahli-ahli akan dapat berbincang dengan bersungguh-sungguh serta penuh himmah, supaya nanti semua keputusan dapat dicapai sebagaimana semestinya.

Demikianlah juga beta berdoa semoga dengan bimbingan bijaksana dari Yang Amat Mulia Yang Di-Pertua, persidangan ini akan dapat berjalan dengan lancar lagi sempurna.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayat Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment