TITAH
SEMPENA HARI GURU YANG KE-16 TAHUN 2006
SEMPENA HARI GURU YANG KE-16 TAHUN 2006
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Pada
28 Syaaban 1427 / 21 September 2006
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Kita bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala kerana dapat menyambut Hari Guru Negara Brunei Darussalam
yang ke-16 pada pagi ini.
Sambutan Hari Guru bukan sahaja untuk menghargai jasa-jasa para guru,
malahan juga merupakan satu forum bagi menilai semula keberkesanan dan
profesionalisme perguruan.
Ini, adalah selaras dengan peranan guru, selaku pencorak dan pembentuk
masyarakat serta juga membawa perubahan.
Guru perlulah terus relevan, menguasai alam perguruan dengan sebaiknya.
Paksi perguruan itu adalah guru yang efektif dan berwibawa.
Guru bukan sahaja mampu mengajar, malahan juga mendidik, sehingga
melahirkan generasi gemilang.
Para guru adalah tulang belakang kepada sistem pendidikan. Berjaya atau
gagalnya sistem ini, turut ditentukan oleh mereka. Sebab itulah, guru yang
cemerlang adalah mereka yang mampu menghadapi pelbagai cabaran sambil dapat
memenuhi ekspektasi bangsa dan negara.
Pelaburan kita yang besar ialah pendidikan. Ia mesti diberi nilai,
sejajar dengan tuntutan zaman.
Setakat ini, kita menganggap, pencapaian kita sudahpun sama setanding dengan
negara-negara maju, berdasarkan, hampir semua matlamat Millennium Development
Goals (MDG) Bangsa-Bangsa Bersatu dan matlamat Education for All (EFA) UNESCO sudahpun
kita capai. Namun ini tidak bermakna usaha-usaha lebih ke hadapan akan kita
hentikan.
Pendidikan tidak ada noktahnya. Ia menuntut supaya terus dipertingkat.
Ia adalah aset yang hidup untuk perubahan. Jika ia tidak meningkat, bermakna
perubahan, tidak akan sehebat yang diharapkan.
Sebab itu jangan lambatkan proses peningkatan. Peningkatan adalah
kemajuan. Melambat-lambatkan kemajuan adalah perkara yang sia-sia.
Beta ingin mengingatkan, bahawa pendekatan kepada kemajuan bukan dibuat
berasaskan apa yang individu mahu, tetapi hendaklah mengambil kira apa yang negara
anggap perlu, sama ada kita suka ataupun tidak, kepentingan negara adalah tetap
utama.
Inilah etika yang betul di dalam pekerjaan. Terutama sekali dalam bidang
pendidikan, etika ini adalah perlu untuk mencepatkan proses peningkatan. Jika
hari ini kita memang layak meningkat, maka apakah lagi perlunya untuk kita
menunggu sampai besok ataupun lusa?
Beta sudahpun menimbulkan tentang masa. Ia sungguh pantas dan tajam.
Kalau kita tidak cepat memotongnya, ia pasti memotong kita. Dan sehubungan ini,
kita juga sedia maklum bagaimana sikap bangsa-bangsa yang maju terhadap masa,
mereka itu sangat menghargai masa, iaitu salah satu faktor yang menjadikan
mereka maju.
Apakah kita, selaku bangsa yang sedang membangun ini, masih belum
tergerak untuk mencontohi mereka?
Jika mengambil perkara yang baik, walau dari siapapun, adalah sifat
terpuji. Yang kita tidak mahu ialah mendatangkan yang tidak baik untuk
merosakkan diri sendiri.
Inilah diantara strategi pendidikan yang kita mesti ada, dengan
matlamat, ianya dapat menimbulkan rasa bangga terhadap nilai-nilai sendiri, di
samping juga dalam masa yang sama, mampu menjana semangat ingin maju yang
tinggi.
Akhirnya, khusus kepada warga pendidik di negara ini, beta berharap
mereka itu akan terus mempertingkatkan kualiti kecekapan dan ilmu, demi masa
depan anak bangsa dan negara.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment