Friday, 28 June 2013

Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI

 Pada
9 Zulhijjah 1427 / 30 Disember 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Kita sepatutnya membanyakkan syukur kerana menjadi orang Islam.

Di dalam Islam, banyak hari dan peristiwa yang kita peringati. Hari-hari dan peristiwa-peristiwa tersebut masing-masing dengan nama dan munasabahnya yang tersendiri, seperti Hari Raya Aidiladha, Tahun Hijrah, Peristiwa Israk dan Mikraj dan lain-lain.

Semua hari dan peristiwa itu pula rata-rata mengandungi nilai pengajaran dan tarbiah. Sasarannya yang utama, supaya jiwa kita sentiasa jinak kepada Islam, atau dengan kata lain, supaya kita kuat berpegang kepada akidah.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Menyebut tentang akidah, ia sering dikaitkan dengan ajaran yang diamalkan. Jika ajaran itu betul, maka dikatakan akidahnya betul. Sebaliknya jika salah, maka akidahnya juga dianggap salah dan menyimpang. Lalu dari sinilah timbulnya istilah popular : “Ajaran Sesat”.

Beta amat bersyukur, kerana negara kita tidak menampakkan tanda-tanda adanya virus ajaran sesat. Jika ini benar, maka bermakna ia adalah satu kelebihan kepada kita.

Namun begitu, ini tidak bererti kita tidak perlu berwaspada. Kerana virus ajaran sesat itu mudah hidup dan berkembang.

Di akhir-akhir ini, kita telah turut membaca dan mendengar tentang satu ajaran yang telah diharamkan, tetapi sedang dicuba untuk dihidupkan semula.

Olah itu beta ingin mengingatkan, supaya setiap pintu kita dikawal dan diamati-amati, sehingga virus yang merbahawa ini tidak dapat menerobos masuk ke dalam negara kita.

Allahuakbar, Allauakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Beta berharap negara kita akan terus kebal dari sebarang virus ajaran sesat. Dan untuk itu, tentu saja kita memerlukan usaha.   

Di antara usaha paling efektif kearah ini ialah, melalui pendidikan. Terutama pendidikan awal mesti jelas, bahawa subjek agama tidak akan diabaikan.

Usaha-usaha lain termasuklah penyibaran dakwah, khutbah, ceramah dan tulisan. Kita perkemas semua ini untuk memberikan kefahaman beragama sebaik mungkin.

Insya-Allah, dengan usaha-usaha berterusan seperti itu, akan dapat menyelamatkan kita dan negara daripada sebarang ‘anasir akidah’ yang tidak diingini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Bersukut dengan hari berkat lagi agung, Aidiladha ini, beta turut merafakkan doa, semoga para Jemaah haji kita khasnya, yang sedang menjalani kemuncak ibadat mereka, akan sentiasa mendapat pemeliharaan Allah Subhanahu Wataala, sihat afiat dan beroleh haji yang mabrur.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam pula, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, semoga kita semua mendapat perlindungan Allah, dikekalkan di dalam iman, beroleh kesejahteraan dan kemakmuran yang diredai oleh Allah.

Tidak ada yang lebih selamat dari berada di bawah inayah Allah, dan tidak ada yang lebih nyaman serta dari rahmat Allah Taala.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



No comments:

Post a Comment