TITAH
SEMPENA MAJLIS ILMU HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE- 60 TAHUN
SEMPENA MAJLIS ILMU HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE- 60 TAHUN
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Pada
24 Jamadilakhir
1427 / 20 Julai 2006
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana Majlis Ilmu
Sempena Perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan beta diteruskan lagi.
Sudat ternyata, Majlis Ilmu adalah Berjaya menarik minat rakyat dan
penduduk negara ini, kerana hidangan ilmu dan maklumat yang dibawakannya adalah
sangat berguna.
Beta pula secara khusus melihat, bahawa Majlis Ilmu pada tahun ini telah
mengemukakan satu ‘tema besar’, berbunyi: Raja Berdaulat, Negara Berkat,
Rakyat Selamat.
Pada beta, kedaulatan itu adalah segala-galanya. Ia perlu dipelihara
oleh generasi demi generasi. Kedaulatan adalah kuasa tertinggi yang dikurniakan
oleh Allah Taala, bersifat kepimpinan yang benar dan sah, di mana rakyat dan negara
bernaung di bawahnya.
Dalam makna, kedaulatan raja adalah juga kedaulatan bangsa dan negara.
Ia merupakan lambang kewujudan bangsa dan negara itu sendiri. Ia adalah intan
yang berkilauan. Kata orang tua-tua : Dari manapun keluarnya, ia adalah intan,
dan di manapun letaknya, ia tetap berkilauan.
Itulah dia kedaulatan, suatu nilai luhur bagi raja dan negara.
Ketiga-tiga elemen ini dapatlah diumpamakan sebagai ‘satu tubuh’, yang tidak
boleh ada bersamanya walau satupun, anggota yang cacat. Ibarat maksud hadis
Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, jika satu anggota sakit, seluruh tubuh akan
turut mengalaminya.
Jadi kewajipan kita ialah, memelihara semuanya itu : Kedaulatan Raja dan
Negara, sama seperti kita memelihara tubuh badan kita sendiri, jangan ada yang
sampai cacat atau sakit, demi kelangsungannya selaku amanah Allah.
Dan selaku amanah, ia wajiblah dipelihara, dipupuk dan digilap.
Dengan apa?
Tentu saja dengan ketaatan terhadap siapa yang mengurniakannya sebagai
amanah, iaitulah : Allah Subhanahu Wataala.
Insya-allah, dengan cara ini, kita akan selamat dan bertambah maju serta
juga akan disegani oleh dunia.
Akhirnya, beta berdoa semoga Majlis Ilmu akan terus berperanan sebagai
wadah pembudayaan ilmu dan maklumat.
Pada tahun ini, disempenakan dengan perayaan Hari Keputeraan beta yang
ke-60 tahun, sebuah buku berjudul Balai Pameran Sultan Haji Hassanal Bolkiah
: Penjana Tamadun Islam telah diterbitkan. Beta sungguh gembira dengan
penerbitan ini.
Bersabit dengan itu, beta telah pula memperkenankan supaya buku ini
disebarkan secara meluas, terutama sebagai hadiah kepada perpustakaan-perpustakaan,
institusi-institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat penyelidikan yang tersohor
di dunia. Ia juga dijadikan cenderakata kepada para jemputan di Pembukaan
Rasmi Majlis Ilmu 2006 ini.
Maka dengan melafazkan Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Salli
‘Alaa Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihee Wasahbihee Ajma’een, beta
rasmikan Majlis Ilmu 2006 Sempena Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Beta Yang
Ke-60 Tahun.
Sambil itu juga, beta dengan sukacita melancarkan buku : Balai
Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah : Penjana Tamadun Islam atau
dalam judul Inggerisnya : Sultan Haji Hassanal Bolkiah Islamic Exhibition
Gallery : Revitalising Islamic Civilication.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment