Tuesday, 25 June 2013

Sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ BAGI TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI

KOMPLEKS DEWAN KEMASYARAKATAN, TUTONG

Pada
27 Rejab 1427 / 21 Ogos 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kerana dapat hadir di majlis yang berkat lagi bersukut baik ini.

Dalam zaman yang penuh dengan penceroba, di mana amal kebajikan semakin merosot, maka ajaran-ajaran yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah perlu ditonjol dan dihayati.

Tidak syak lagi umat Islam juga sekarang turut sama menyaksikan kejutan ‘penyakit nilai’.

Nilai budaya, nilai amal salih dan nilai moral sedang tergugat teruk, berikutan dengan gelombang kemajuan yang tidak menentu.

Dunia dan manusia memang diakui maju. Kemajuan pada lazimnya disukat melalui ciptaan-ciptaan. Bertambah canggih ciptaan, maka bertambah pula dianggap maju.

Namun apa yang kelihatan, bertambah maju manusia ini, bertambah merosot pula nilai budi. Nyawa dan harta benda, yang tidak biasanya amat dipelihara dan dihargai, sekarang seperti tidak berharga lagi.

Lihatkah kepada peperangan era baru, siapa yang kuat, akan sesuka hati, boleh saja menggugurkan bom dan peluru berpandu ke sasaran-sasaran haram yang tidak sepatutnya disasari, seperti rumah-rumah dan bangunan-bangunan penempatan awam, pasar-pasar, lapangan-lapangan terbang, jambatan-jambatan, lebuh raya hatta ladang-ladang tempat orang mencari makan.

Ini semua, tidakkah ianya gara-gara kemajuan hebat di bidang persenjataan? Kemajuan jenis ini nampak-nampaknya sedang memangsakan tamadun dan manusia sendiri.

Kita umat Islam perlu melihat situasi ini dengan ‘mata-hati kesedaran’, bukannya dengan cara mengikut-ikut. Kita perlu bercermin kepada agama kita yang suci. Kerana agama ini telahpun menyediakan panduan yang cukup sempurna.

Agama Islam, melalui peristiwa Israk dan Mikraj, telah mengajar umat ini supaya lebih yakin dan sabar, walaupun sepahit mana yang datang. Ini boleh dilihat dari kisah Masithah yang mengagumkan itu.

Terhadap sesama Islam, dan malah walaupun  bukan Islam, yang dizalimi atau disakiti, kita adalah dianjurkan supaya memberi simpati.

Kita yang tidak sakit ini, wajiblah bersimpati kepada orang yang sakit. Kita yang terlepas daripada kezaliman, perlulah bersimpati, dan malah menolong orang-orang yang dilanda kezaliman itu.

Sebab itulah, beta telah turut menyakinkan kepada Ahli-ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), bahawa negara kita insya-Allah, bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan bagi menghentikan peperangan di Lubnan.

Begitu  juga, sebagai tanda simpati kita kepada umat Islam di mana saja, yang sedang dilanda musibah, apapun bentuk dan jenis musibah itu, beta baru-baru inii telah menitahkan supaya diadakan Sembahyang Hajat dan bacaan Qunut Nazilah pada hari Jumaat.

Apabila kita melakukan Sembahyang Hajah dan Qunut Nazilah, ini juga bererti faedahnya adalah untuk kita sendiri juga.

Bukankah, apabila kita misalnya, mendoakan keselamatan bagi orang lain, maka para Malaikat pula akan mendoakan kita supaya kita juga diberikan perkara yang sama ?

Inilah makanya, munajat kepada Allah dengan medoakan saudara-saudara kita sesama Islam itu, adalah satu akhlak yang terpuji dan cantik, yang barangkali juga, sudah banyak dilupakan orang.

Ajaran yang dibawa oleh peristiwa Israk dan Mikraj adalah cukup untuk membuat kita kaya dengan petunjuk-petunjuk ketuhanan yang kita perlukan.

Jiwa dan semangat keagamaan yang semakin menipis, adalah perlu disiram dengan ajaran-ajaran Israk dan Mikraj. Jika kita bersedia untuk menerima dan menghayati ajaran-ajaran itu, insya-Allah, kebangunan umat Islam serta tamadunnya, akan dapat diharapkan.

Oleh itu, kita bukan sahaja patut membaca dan mengulang kisah-kisah Israk dan Mikraj itu pada setiap tahun, tetapi lebih mustahak lagi ialah mengambilnya sebagai garis panduan untuk dipakai. Misalnya tentang sembahyang, tentang zakat, tentang keburukan seks haram dan lain-lain, di mana ajaran-ajaran tersebut jika dipatuhi, akan mendatangkan keselamatan dan kekuatan semula umat Islam.

Sekian sahaja untuk sama-sama direnungkan.

Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



No comments:

Post a Comment