Friday, 28 June 2013

Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI


 Pada
 1 Syawal 1427 / 25 Oktober 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, allahuakbar, Walillahilhamd.

1 Syawal adalah ‘Hari Besar’ yang disambut dengan segala kemeriahan dan keriangan. Pada hari ini kita bebas makan dan minum. Sebelum ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya, kita lebih dahulu disunatkan untuk merasa atau menikmati sedikit juadah yang ada. Bahkan pada hari ini, kita adalah dilarang berpuasa.

Hari Raya adalah hari bersukaria, hari kita memakai pakaian yang elok-elok serta baru. Namun ini, bukanlah bermakna kita disuruh untuk berlebih-lebihanan atau membazir.

Buatlah apa yang layak, sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Di dalam perkara pakaian, makanan dan minuman, kita tidaklah wajar berlumba bagi mengatasi antara satu dengan yang lain. Perlumbaan di sini sangatlah dilarang, kecuali berlumba untuk mendapatkan seberapa banyak kebajikan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Begitu juga perlumbaan bagi mempelbagaikan kemudahan dan perhiasan sehingga membawa orang berhutang, adalah juga satu amalan yang perlu dihindari. Kerana risiko hutang itu sungguh membebankan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Di dunia, jika kita sarat dengan hutang, ia boleh mendatangkan bermacam-macam ketidak-tenteraman, sementara di akhirat pula, jika hutang itu tidak dibayar, ia akan membawa kepada keperitan dan kesusahan.

Oleh itu, carilah kebahagiaan melalui ‘gaya hidup’ sederhana. Jimatkan wang untuk masa depan keluarga. Jalan kita dan anak-anak adalah masih panjang. Ia meminta perancangan yang bijak daripada kita.

Masa depan itu, tidak siapapun yang tahu. Dan anak-anak pula adalah pelaburan masa depan tersebut.

Maka oleh itu, utamakanlah asuhan dan didikan untuk mereka, sambil berusaha mengelakkan kesilapan-kesilapan yang mungkin terjadi.

Hari ini kita bolehlah berkata, bahawa kita selamat dan makmur. Tetapi hari esok bukan kita lagi yang mengucapkan ungkapan itu, melainkan sekadar turut ketawa ataupun menangis.

Itu gambaran hari muka yang penuh dengan teka-teki. Oleh itu, jangan tanya apa yang akan berlaku esok, tetapi berfikir dan merancanglah untuk hari esok yang lebih baik.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Jika ibadat puasa boleh menimbulkan kesedaran tentang betapa peritnya lapar dan dahaga yang dialami oleh orang-orang susah dan melarat, maka Hari Raya juga boleh mendatangkan keinsafan serupa, betapa kita adalah dituntut untuk mensyukuri nikmat kemewahan yang ada pada kita, di samping juga tidak melupakan, bahawa di serata dunia, masih terdapat golongan yang tidak mampu untuk membeli pakaian baru dan juga yang tidak cukup makan.

Fenomina ini, segera pula mengingatkan kita kepada rahsia zakat, yang bertujuan bagi melepaskan golongan yang berhak menerimanya dari kesusahan-kesusahan yang menekan atau menghimpit mereka.

Kerana itu, beta berharap, supaya pihak yang berkenaan dengan pengendalian zakat, akan dapat benar-benar menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Beta yakin, kutipan zakar kita adalah mempu untuk mengatasi permasalahan yang patut ditangani. Inilah kelebihan kita.

Pengagihan yang teratur lagi sempurna, tentu saja akan membawa imej yang baik serta keberkatan kepada negara.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua golongan rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana juga mereka berada. Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepada kita semua dengan beroleh petunjuk serta pemeharaan-Nya yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabilllahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




No comments:

Post a Comment