Monday, 24 June 2013

Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Tahun 1427H / 2006M




TITAH
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ALAIHI WASSALAM
TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI

Pada
12 Rabiulawal 1427 / 11 April 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Adalah wajar untuk kita bersyukur banyak-banyak, kerana dapat pula menyambut dan merayakan Maulid Ar –Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam.

Peristiwa ini adalah peristiwa sungguh penting, kerana itu ianya tidaklah boleh diabaikan. Kita melihatnya sebagai keperluan asasi untuk mengihlami kita meraih berbagai kebaikan.

Di antara kebajikan itu, mendorong kita untuk membalik-balik semula lambaran perjuangan Baginda yang mengandungi pelbagai aspek. Tanpa ini semua, kita akan berjalan ibarat ‘si buta kehilangan tongkat’.

Itulah dia rahsia besar di sebalik membuka dan muthala’ah sejarah hidup Nabi dan Pemimpin agung ini.

Baginda bukan sahaja memimpin akidah kita, malah juga memimpin bagaimana untuk sihat, untuk bersih dan untuk indah.

Sampai ke situ pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu.

Di zaman yang dinamakan zaman kemajuan ini, usaha untuk mencapai tahap kebersihan yang maksima adalah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan satu-satu wabak yang amat ditakuti.

Agama Islam, bukan sahaja melabelkan ‘bersih’ itu untuk kesihatan dan keselamatan, malahan lebih jauh lagi sebagai sebahagian daripada iman.

Demikianlah juga, Allah menghubungkan perkara ‘kasih sayang’ dengan kebersihan atau kesucian. Dian sendiri mengisytiharkan diri-Nya, sebagai siapa yang mengasihi orang-orang bertaubat dan juga orang-orang yang membersih atau menyucikan diri mereka.

Perkara ini dapat kita rujuk di dalam Surah Al-Baqarah ayat 222.

Dari petunjuk hadis dan ayat Al-Quran itu, nyatalah perkara kebersihan tidak boleh lagi diabaikan.

Kita tidak mampu membiarkannya dipandang ringan, tetapi mesti dikawal dan diurus dengan sempurna.

Sekarang sudah terbukti, bahawa wabak-wabak penyakit adalah turut berkaitan dengan faktor kebersihan. Kerana itu, dimana juga terdapat pencemaran atau kotoran yang teruk, di situlah amat berpotensi untuk menyebabkan wabak-wabak penyakit.

Berasaskan ini, maka adalah wajar, kita di Negara Brunei Darussalam ini turut melihat perkara kebersihan itu sebagai perkara yang diberikan keutamaan.

Barangkali, terdapat pihak yang memandang perkara ini remeh dan tidak perlu dibesar-besarkan. Pada hemat beta, ia bukanlah remeh tetapi asasi dan merupakan satu ciri revolusi sosial yang mendesak.

Biasanya, kebersihan itu sangat ditekankan untuk tempat-tempat awam, seperti pasar-pasar, kaki-kaki lima di kedai-kedai, jalan raya, tempat-tempat membeli-belah, termasuklah kedai makan dan restoran.

Sesebuah Negara yang dianggap bersih, imejnya adalah sangat tinggi dan indah. Namanya juga akan disebut baik serta diminati untuk dikunjungi. Apakah ini bukan hebat namanya?

Oleh itu, beta sangatkah gembira apabila terdapat langkah-langkah tegas oleh pihak-pihak berkenaan dalam perkara ini, termasuk perkara kebersihan di tempat-tempat makan minum seperti kedai makan dan restoran.

Menyebut kedai makan dan restoran ini, pihak agensi penguatkuasa adalah berkewajipan untuk melihat, bukan sahaja kebersihan zahir, malahan juga kebersihan dari sudut hukum syarak, di mana tempat makan minum orang Islam dan di mana pula yang bukan, semuanya itu perlu ditangani dan dikemaskinikan.

Mengenai perkara ini, bukanlah tidak penting, memandangkan pertumbuhan pesat perniagaan, termasuk tempat-tempat makan di Negara ini.

Ini juga adalah berkait rapat dengan masalah kesejahteraan ummah. Tempat-tempat makan minum yang bersih, turut menyumbang kepada kesihatan dan keselamatan. Begitu juga secara khusus, kebersihan dari segi hukum syarak, turut menentukan kebersihan ibadat seseorang Islam serta pembinaan jasmani mereka yang sihat lagi berkat.

Maka bersukut dengan hari yang berkat ini, amat wajarlah kita menghayati salah satu pengajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam iaitu mengenai kebersihan. Kebersihan itu disifatkan oleh Baginda sebagai sebahagian daripada iman.

Jadi komitmen kita mengenainya adalah bermakna satu dukungan dan penghayatan kita terhadap ajaran tersebut. Mendukung serta menghayati ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu, tidak diragukan lagi adalah menjadi punca rahmat dan keselamatan untuk semua.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments:

Post a Comment