Friday, 28 June 2013

Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI

 Pada
9 Zulhijjah 1427 / 30 Disember 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Kita sepatutnya membanyakkan syukur kerana menjadi orang Islam.

Di dalam Islam, banyak hari dan peristiwa yang kita peringati. Hari-hari dan peristiwa-peristiwa tersebut masing-masing dengan nama dan munasabahnya yang tersendiri, seperti Hari Raya Aidiladha, Tahun Hijrah, Peristiwa Israk dan Mikraj dan lain-lain.

Semua hari dan peristiwa itu pula rata-rata mengandungi nilai pengajaran dan tarbiah. Sasarannya yang utama, supaya jiwa kita sentiasa jinak kepada Islam, atau dengan kata lain, supaya kita kuat berpegang kepada akidah.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Menyebut tentang akidah, ia sering dikaitkan dengan ajaran yang diamalkan. Jika ajaran itu betul, maka dikatakan akidahnya betul. Sebaliknya jika salah, maka akidahnya juga dianggap salah dan menyimpang. Lalu dari sinilah timbulnya istilah popular : “Ajaran Sesat”.

Beta amat bersyukur, kerana negara kita tidak menampakkan tanda-tanda adanya virus ajaran sesat. Jika ini benar, maka bermakna ia adalah satu kelebihan kepada kita.

Namun begitu, ini tidak bererti kita tidak perlu berwaspada. Kerana virus ajaran sesat itu mudah hidup dan berkembang.

Di akhir-akhir ini, kita telah turut membaca dan mendengar tentang satu ajaran yang telah diharamkan, tetapi sedang dicuba untuk dihidupkan semula.

Olah itu beta ingin mengingatkan, supaya setiap pintu kita dikawal dan diamati-amati, sehingga virus yang merbahawa ini tidak dapat menerobos masuk ke dalam negara kita.

Allahuakbar, Allauakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Beta berharap negara kita akan terus kebal dari sebarang virus ajaran sesat. Dan untuk itu, tentu saja kita memerlukan usaha.   

Di antara usaha paling efektif kearah ini ialah, melalui pendidikan. Terutama pendidikan awal mesti jelas, bahawa subjek agama tidak akan diabaikan.

Usaha-usaha lain termasuklah penyibaran dakwah, khutbah, ceramah dan tulisan. Kita perkemas semua ini untuk memberikan kefahaman beragama sebaik mungkin.

Insya-Allah, dengan usaha-usaha berterusan seperti itu, akan dapat menyelamatkan kita dan negara daripada sebarang ‘anasir akidah’ yang tidak diingini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Bersukut dengan hari berkat lagi agung, Aidiladha ini, beta turut merafakkan doa, semoga para Jemaah haji kita khasnya, yang sedang menjalani kemuncak ibadat mereka, akan sentiasa mendapat pemeliharaan Allah Subhanahu Wataala, sihat afiat dan beroleh haji yang mabrur.

Kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam pula, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, semoga kita semua mendapat perlindungan Allah, dikekalkan di dalam iman, beroleh kesejahteraan dan kemakmuran yang diredai oleh Allah.

Tidak ada yang lebih selamat dari berada di bawah inayah Allah, dan tidak ada yang lebih nyaman serta dari rahmat Allah Taala.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1427H / 2006M


TITAH
SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 1427 HIJRAH / 2006 MASIHI


 Pada
 1 Syawal 1427 / 25 Oktober 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, allahuakbar, Walillahilhamd.

1 Syawal adalah ‘Hari Besar’ yang disambut dengan segala kemeriahan dan keriangan. Pada hari ini kita bebas makan dan minum. Sebelum ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya, kita lebih dahulu disunatkan untuk merasa atau menikmati sedikit juadah yang ada. Bahkan pada hari ini, kita adalah dilarang berpuasa.

Hari Raya adalah hari bersukaria, hari kita memakai pakaian yang elok-elok serta baru. Namun ini, bukanlah bermakna kita disuruh untuk berlebih-lebihanan atau membazir.

Buatlah apa yang layak, sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Di dalam perkara pakaian, makanan dan minuman, kita tidaklah wajar berlumba bagi mengatasi antara satu dengan yang lain. Perlumbaan di sini sangatlah dilarang, kecuali berlumba untuk mendapatkan seberapa banyak kebajikan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Begitu juga perlumbaan bagi mempelbagaikan kemudahan dan perhiasan sehingga membawa orang berhutang, adalah juga satu amalan yang perlu dihindari. Kerana risiko hutang itu sungguh membebankan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Di dunia, jika kita sarat dengan hutang, ia boleh mendatangkan bermacam-macam ketidak-tenteraman, sementara di akhirat pula, jika hutang itu tidak dibayar, ia akan membawa kepada keperitan dan kesusahan.

Oleh itu, carilah kebahagiaan melalui ‘gaya hidup’ sederhana. Jimatkan wang untuk masa depan keluarga. Jalan kita dan anak-anak adalah masih panjang. Ia meminta perancangan yang bijak daripada kita.

Masa depan itu, tidak siapapun yang tahu. Dan anak-anak pula adalah pelaburan masa depan tersebut.

Maka oleh itu, utamakanlah asuhan dan didikan untuk mereka, sambil berusaha mengelakkan kesilapan-kesilapan yang mungkin terjadi.

Hari ini kita bolehlah berkata, bahawa kita selamat dan makmur. Tetapi hari esok bukan kita lagi yang mengucapkan ungkapan itu, melainkan sekadar turut ketawa ataupun menangis.

Itu gambaran hari muka yang penuh dengan teka-teki. Oleh itu, jangan tanya apa yang akan berlaku esok, tetapi berfikir dan merancanglah untuk hari esok yang lebih baik.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Jika ibadat puasa boleh menimbulkan kesedaran tentang betapa peritnya lapar dan dahaga yang dialami oleh orang-orang susah dan melarat, maka Hari Raya juga boleh mendatangkan keinsafan serupa, betapa kita adalah dituntut untuk mensyukuri nikmat kemewahan yang ada pada kita, di samping juga tidak melupakan, bahawa di serata dunia, masih terdapat golongan yang tidak mampu untuk membeli pakaian baru dan juga yang tidak cukup makan.

Fenomina ini, segera pula mengingatkan kita kepada rahsia zakat, yang bertujuan bagi melepaskan golongan yang berhak menerimanya dari kesusahan-kesusahan yang menekan atau menghimpit mereka.

Kerana itu, beta berharap, supaya pihak yang berkenaan dengan pengendalian zakat, akan dapat benar-benar menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Beta yakin, kutipan zakar kita adalah mempu untuk mengatasi permasalahan yang patut ditangani. Inilah kelebihan kita.

Pengagihan yang teratur lagi sempurna, tentu saja akan membawa imej yang baik serta keberkatan kepada negara.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua golongan rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana juga mereka berada. Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepada kita semua dengan beroleh petunjuk serta pemeharaan-Nya yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabilllahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al Quran Peringkat Negara Tahun 1427H


TITAH
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QURAN PERINGKAT NEGARA TAHUN 1427 HIJRAH


PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

 Pada
 17 Ramadan 1427 / 9 Oktober 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kerana dapat hadir di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran ini. Al-Quran adalah wahyu Allah yang mengandungi pelbagai pengajaran dan ilmu.

Al-Quran sangat memandang tinggi kepada orang-orang yang berilmu. Nabi Adam ‘Alaihissalam dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai ilmu, sehingga menjadikannya dihormati oleh para Malaikat dengan izin Allah. Kemudian baginda juga telah diberikan tugas selaku khalifah di muka bumi.

Inilah kehebatan ilmu.

Sebagaimana Nabi Adam ‘Alaihissalam memiliki ilmu, maka keturuan Baginda juga adalah semestinya begitu. Anak-anak kita orang Islam, lebih-lebih lagi perlu berilmu. Kerana hanya dengan ilmu sahaja, kehidupan besar dan maju, baru akan menyerlah.

Umat yang kurang ilmu adalah umat yang layu.

Jadi menyedari kepentingan ilmu ini, kerajaan beta telahpun menyediakan pelbagai kemudahan dan galakan. Janganlah disia-siakan kemudahan-kemudahan itu.

Capailah kejayaan sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya. Pilihlah jurusan yang sesuai dengan  bakat dan kebolehan. Tingkatkan kualiti dengan banyak berlatih dan beramal.

Kita semua tahu, Al-Quran adalah wahyu Allah. Ia menerangi segalanya. Sesiapa jua yang membaca, yang menghafal atau yang beramal dengannya akan mendapat cahayanya.

Cahaya Al-Quran sama sekali tidak sama dengan lain-lain cahaya. Cahaya Al-Quran hanya akan runduk di hati yang bersih dan di jiwa yang luhur. Kerana itu umat Islam perlulah memiliki hati yang bersih dan jiwa yang luhur.

Sehubugan dengan para peserta Peraduan Menghafas Ayat-ayat Suci Al-quran dan Surah-surah Pilihan, mereka itu pada khususnya adalah lebih utama untuk menghayati prinsip bersih dan luhur ini, kerana hafalan yang mantap dan rakat adalah  banyak bergantung kepada faktor bersih dari segi syarak. Termasuklah makan minum yang bersih yakni halal.

Lebih jauh lagi mengenai kebersihan ini, ialah ‘niat yang bersih’ atau yang baik. Ia adalah mahkota segala pekerjaan.

Kerana itu, kita usahlah terlibat dengan sebarang ‘niat buruk’ terhadap sesiapa juga, walaupun orang lain ada berniat tidak baik kepada kita.

Agama kita yang suci telah menyuruh membalas kejahatan dengan kebajikan, dengan harapan, kebajikan itu dapat mengubati kejahatan.

Apabila kita berpegang kuat kepada prinsip kebajikan ini, insya-Allah kita akan dikasihi oleh Allah, sebgaimana ditegaskan-Nya dalam surah al-Maa-isah , ayat 13, tafsirnya :

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berusaha membuat kebajikan.”

Kita di Brunei, sudahpun nampak kasih sayang Allah itu melimpah-ruah. Kita telah menikmatinya semenjak sekian lama lagi berupa keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Semua ini adalah berkat kebajikan yang terbit daripada niat baik semua peringkat, terutama ddi kalangann orang tua-tua kita yang menjadi pengasas kepada kebajikan-kebajikan yang ada.

Mereka itu dikenang, dan akan terus dikenang. Kerana di antara sekian ramai warga tua itu, tentu sahaja terdapat sekian ramai pula mereka yang berjasa kepada negara.

Oleh itu, sebagai mengenang jasa ini serta juga sebagai tanda, yang kita tidak pernah melupakan mereka, maka satu skim pencen telah diperkenalkan sejak sekian lama, yang diberi nama ‘Pencen Tua’.

Negara tidaklah pernah merasa rugi atau kekurangan dengan pengurniaan pencen ini, malah sebaliknya, menjadi sumber berkat memantapkan lagi kemakmuran negara.

Maka kerana ini, sebagai tanda bersyukur kita dan negara, beta dengan sukacita mengumumkan kenaikan bagi kadar-kadar pencen umur tua dan elaun-elaun yang dibayar di bawah Akta Pencen Tua dan Hilang Keupayaan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai pada 1 haribulan Oktober 2006.

Butir-butir mengenainya akan dimaklumkan melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri yang akan dikeluarkan tidak berapa lama lagi.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Wednesday, 26 June 2013

Sempena Hari Guru Yang Ke 16 Tahun 2006


TITAH
SEMPENA HARI GURU YANG KE-16 TAHUN 2006


PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

Pada
28 Syaaban 1427 / 21 September 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat menyambut Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang ke-16 pada pagi ini.

Sambutan Hari Guru bukan sahaja untuk menghargai jasa-jasa para guru, malahan juga merupakan satu forum bagi menilai semula keberkesanan dan profesionalisme perguruan.

Ini, adalah selaras dengan peranan guru, selaku pencorak dan pembentuk masyarakat serta juga membawa perubahan.

Guru perlulah terus relevan, menguasai alam perguruan dengan sebaiknya. Paksi perguruan itu adalah guru yang efektif dan berwibawa.

Guru bukan sahaja mampu mengajar, malahan juga mendidik, sehingga melahirkan generasi gemilang.

Para guru adalah tulang belakang kepada sistem pendidikan. Berjaya atau gagalnya sistem ini, turut ditentukan oleh mereka. Sebab itulah, guru yang cemerlang adalah mereka yang mampu menghadapi pelbagai cabaran sambil dapat memenuhi ekspektasi bangsa dan negara.

Pelaburan kita yang besar ialah pendidikan. Ia mesti diberi nilai, sejajar dengan tuntutan zaman.

Setakat ini, kita menganggap, pencapaian kita sudahpun sama setanding dengan negara-negara maju, berdasarkan, hampir semua matlamat Millennium Development Goals (MDG) Bangsa-Bangsa Bersatu dan matlamat Education for All (EFA) UNESCO sudahpun kita capai. Namun ini tidak bermakna usaha-usaha lebih ke hadapan akan kita hentikan.

Pendidikan tidak ada noktahnya. Ia menuntut supaya terus dipertingkat. Ia adalah aset yang hidup untuk perubahan. Jika ia tidak meningkat, bermakna perubahan, tidak akan sehebat yang diharapkan.

Sebab itu jangan lambatkan proses peningkatan. Peningkatan adalah kemajuan. Melambat-lambatkan kemajuan adalah perkara yang sia-sia.

Beta ingin mengingatkan, bahawa pendekatan kepada kemajuan bukan dibuat berasaskan apa yang individu mahu, tetapi hendaklah mengambil kira apa yang negara anggap perlu, sama ada kita suka ataupun tidak, kepentingan negara adalah tetap utama.

Inilah etika yang betul di dalam pekerjaan. Terutama sekali dalam bidang pendidikan, etika ini adalah perlu untuk mencepatkan proses peningkatan. Jika hari ini kita memang layak meningkat, maka apakah lagi perlunya untuk kita menunggu sampai besok ataupun lusa?

Beta sudahpun menimbulkan tentang masa. Ia sungguh pantas dan tajam. Kalau kita tidak cepat memotongnya, ia pasti memotong kita. Dan sehubungan ini, kita juga sedia maklum bagaimana sikap bangsa-bangsa yang maju terhadap masa, mereka itu sangat menghargai masa, iaitu salah satu faktor yang menjadikan mereka maju.

Apakah kita, selaku bangsa yang sedang membangun ini, masih belum tergerak untuk mencontohi mereka?

Jika mengambil perkara yang baik, walau dari siapapun, adalah sifat terpuji. Yang kita tidak mahu ialah mendatangkan yang tidak baik untuk merosakkan diri sendiri.

Inilah diantara strategi pendidikan yang kita mesti ada, dengan matlamat, ianya dapat menimbulkan rasa bangga terhadap nilai-nilai sendiri, di samping juga dalam masa yang sama, mampu menjana semangat ingin maju yang tinggi.

Akhirnya, khusus kepada warga pendidik di negara ini, beta berharap mereka itu akan terus mempertingkatkan kualiti kecekapan dan ilmu, demi masa depan anak bangsa dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.