Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-65
Tahun pada 13hb Sya’ban, 1432 / 15hb Julai, 2011
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen,
Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa
Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita
bersyukur kerana dengan rahmat dan izin Allah jua, dapatlah istiadat
pada pagi ini berjalan dengan baik dan sempurna.
Mula-mula Beta
dengan gembira merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada para “tetamu khas” Beta yang sudi hadir diistiadat
meraikan ulang tahun Hari Puja Usia Beta yang ke-65.
Beta juga
merakamkan penghargaan yang sama, kepada mereka yang telah
menghantarkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga,
bersempena dengan sambutan ini.
Kita menyedari bahawa usaha
pembangunan di merata dunia berjalan dengan amat rancak. Ia ternyata
memberi tekanan yang luar biasa pada sumber-sumber alam semula jadi
yang terhad dan ekosistem.
Terdapat kesan negatif dari tekanan
ini dialami oleh dunia. Antaranya, ada kaitan dengan keadaan cuaca yang
tidak menentu, pemanasan global, kejadian banjir, kebakaran hutan,
kemarau dan pencemaran alam yang mengancam.
Ini ditambah lagi
dengan bencana alam lain seperti gempa bumi, tsunami dan tanah susur,
di samping isu-isu kesihatan berupa penyakit-penyakit kronik dan
epidemik.
Realitinya, dunia adalah benar-benar sedang menghadapi cabaran masa depan yang luar biasa.
Dalam
keadaan yang sedemikian ini, pilihan kita adalah jelas, perlu
meneruskan agenda pembangunan yang seimbang. Pertama, Rancangan Kemajuan
Negara, (RKN) perlu mendasari kehendak strategik dengan perlaksanaan
yang berkesan. Kedua, perancangan sumber tenaga manusia perlulah lebih
tersusun. Dan ketiga, penggubalan rangkaian undang-undang dan peraturan
yang secukupnya, juga diperlukan untuk menjaga kepentingan pembangunan.
Insya Allah, dengan cara ini, ekonomi kita akan terus tumbuh,
dengan negara juga dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang
lebih luas kepada generasi muda, serta kedudukan kewangan negara
bertambah mantap dan berdayatahan.
Sementara itu, pendekatan
pembangunan kita akan diteruskan dengan amalan hidup bermuafakat dan
sihat, ta’at berugama dan setia kepada Raja berlandaskan MIB atau
Melayu Islam Beraja.
Bagi memantapkan pendekatan tersebut, kita
perlu menyemai sikap suka membina diri, rajin dan gigih,
berjimat-cermat dan melabur untuk masa depan.
Kerana itu kita
mesti memberikan tumpuan kepada kemajuan pendidikan. Di bidang ini
alhamdulillah, kita telah banyak mencapai kemajuan. Pelaburan dan
infrastruktur pendidikan kita adalah antara yang terbaik. Secara
relatif, peratus rakyat kita yang mempunyai pendidikan tinggi adalah
antara yang tertinggi di dunia. Kadar celik huruf kita juga sangat
tinggi.
Namun ini, tidaklah membenarkan kita untuk mendiamkan diri dari melihat mana-mana yang masih kedapatan lemah.
Sebagai
misal, kadar keciciran penuntut di peringkat sekolah rendah dan
menengah, adalah di tahap yang membimbangkan. Tidakkah ini menunjukkan,
bahawa asas pendidikan kita masih perlu lagi diperbaiki?
Pada
masa ini juga kita mengalami kekurangan calon-calon yang mempunyai
kelulusan empat (4) kepujian GCE Peringkat ‘O’ atau lebih, untuk mengisi
jawatan-jawatan tertentu.
Ada pula setengah daripada mereka
mempunyai kelayakan di peringkat ‘O’ atau ‘A’, tetapi tidak mencukupi
untuk mendapat peluang mengikuti kursus di institusi-institusi teknikal
dan vokasional Kerajaan yang terhad. Pada waktu yang sama, mereka juga
tidak dapat melanjutkan pelajaran di institusi-intitusi sektor swasta
yang diiktiraf oleh Kerajaan kerana tidak mampu untuk membiayainya.
Beta
berpendapat, golongan ini perlulah dibantu untuk menjalani
latihan-latihan bersesuaian bagi meningkatkan peluang mereka untuk
mendapatkan pekerjaan.
Maka, sebagai langkah segera untuk
golongan ini, Beta telah memperkenankan tiga (3) skim dibawah Dana
Sumber Manusia, untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Pertama ialah pembaikan ke atas Skim Latihan dan Pekerjaan
yang berjalan sekarang dan memberikan insentif kewangan kepada
anak-anak tempatan yang telah dilatih dengan kemahiran, asalkan mereka
itu terus berkerja di sektor swasta.
Kedua, Skim Pembangunan Keupayaan Sumber Tenaga Di Sektor Swasta,
iaitu berupa biasiswa untuk membolehkan anak-anak tempatan yang
bekerja di sektor swasta melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar
negeri, bagi meningkatkan kelayakan dan kemahiran.
Ketiga, Skim Biasiswa Dalam Negeri bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional Di Institusi Pengajian Swasta,
khusus untuk penuntut-penuntut lepasan sekolah di peringkat ‘O’ atau
‘A’ yang layak, tetapi tidak mendapat peluang yang terhad untuk belajar
di institusi-institusi teknikal dan vokasional Kerajaan.
Dan
sebagai tambahan kepada skim-skim di atas, Beta juga memperkenankan
perubahan elaun pelajaran kepada pegawai dan kakitangan Perkhidmatan
Awam, khusus untuk anak-anak mereka yang belajar di institusi-institusi
swasta di dalam negeri yang diiktiraf oleh Kerajaan, yang mengikuti
kursus-kursus tertiary seperti persijilan, pre-diploma, diploma, diploma
tertinggi dan ijazah.
Elaun Pelajaran bagi kursus peringkat
tertiari ini juga dilaratkan kepada anak-anak rakyat dan penduduk tetap
Negara ini yang berkerja di sektor swasta, yang menjadi ahli aktif
Tabung Amanah Pekerja. Pemberian elaun ini akan bermula dari 1 Januari,
2012.
Beta berharap, langkah-langkah ini akan dapat meningkatkan
kapasiti serta mengukuhkan lagi sektor swasta, terutamanya bagi
menghasilkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak
tempatan.
Menyebut Perkhidmatan Awam pula, adalah penting, untuk
mengetahui akan keperluan tenaga manusianya serta mempastikan
keupayaannya sentiasa sejajar dengan keperluan semasa.
Ke arah
ini, Beta mahu supaya perkhidmatan skim-skim dimantapkan. Mana-mana skim
yang tidak lagi sejajar dengan dengan keperluan semasa perlulah
direbiu, supaya ianya releven dan menepati kepeluan semasa. Sebagai
sifatnya skim-skim perkhidmatan, ia perlu menekankan aspek-aspek
kelayakan, kemahiran dan latihan-latihan. Skim juga perlu, untuk
menunjukkan laluan-laluan kemajuan kerjaya, dengan pensyaratan yang
perlu dipenuhi.
Di bidang perguruan dan perubatan, kita
Alhamdulillah, telahpun menyediakan skim-skim perkhidmatan baru, yang
bertujuan bagi prospek kerjaya, serta untuk menarik lebih ramai lagi
mereka yang berminat bagi menceburi bidang-bidang ini. Beta penuh yakin,
skim-skim baru seperti ini akan menyumbang kepada kemajuan modal
insan, dengan syarat, ia digunakan dengan baik dan tidak
disalahgunakan.
Bagi tujuan penyelarasan keistimewaan kepada
warga Perkhidmatan Awam, Beta telah memperkenankan perubahan keatas
elaun tambang, termasuk melaratkannya kepada semua pegawai dan
kakitangan perempuan di dalam perkhidmatan awam. Perubahan ini akan
berkuasa pada 1 Januari, 2012. Dan sebagai salah satu keistimewaan yang
masih lagi dihulurkan kepada warga perkhidmatan awam pada masa ini,
elaun tambang ini juga akan terus direbiu dari masa kesemasa, tertakluk
kepada kemampuan sumber Kerajaan.
Satu lagi faktor penting
menuju pembangunan yang berdayatahan ialah, peningkatan produktiviti di
dalam sektor awam dan swasta dengan penggunaan teknologi terkini dan
pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi.
Melalui penyelidikan
dan inovasi, banyak gagasan dan pemikiran boleh dimajukan. Kerana itu,
penyelidikan dan inovasi ini, biarlah ia bertapak kukuh untuk mendasari
ekonomi kita, selaras dengan saiz penduduk kita yang kecil.
Kita
mesti mengukuhkan institusi dan infrastruktur yang diperlukan. Ke arah
ini, Kerajaan adalah sedang menyediakan perlindungan undang-undang
hakcipta, dalam bentuk, Perintah Patent atau Hakcipta, yang insya
Allah akan dikuatkuasakan tidak berapa lama lagi. Kerajaan juga akan
menyediakan peruntukan kewangan yang bersesuaian dalam Rancangan
Kemajuan Negara yang akan datang, untuk tujuan penyelidikan dan
inovasi.
Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan, penggunaan sumber-sumber negara akan tetap dilaksanakan secara berhemat.
Pada
misalnya, penggunaan gas asli tempatan sebagai bahan bakar adalah
sentiasa meningkat. Penggunaan tenaga per kapita negara juga, adalah
yang paling tinggi di ASEAN. Dalam waktu yang sama, tunggakan pembayaran
elektirk bagi sektor rumah kediaman dan perniagaan juga terus
meningkat.
Sementara subsidi Kerajaan keatas produk petroleum
telah meningkat lebih dari 45% pada tahun lepas, berbanding tahun
sebelumnya.
Maka oleh itu, negara adalah perlu untuk menjimatkan
sumber-sumber asli tersebut, sebagai usaha mengelakkan dari
terjejasnya pendapatan negara dari ekspot dan penggunaan untuk industri
hiliran.
Ini, termasuklah meningatkan effisiensi pemakaian tenaga meneroka penggunaan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui atau ‘renewable’.
Dalam
perkara ini, Kerajaan Beta sedang meneliti satu tarif baru, yang
antara lain bertujuan, untuk membantu golongan yang berpendapatan
rendah, dan dalam masa yang sama, untuk mendorong orang ramai supaya
mengelakkan pembaziran. Tarif baru ini, insya Allah akan berkuatkuasa
pada 1 Januari, 2012.
Bagi mengatasi masalah tunggakan pula, Beta telahpun memperkenankan bagi penggantian post-paid meter kuasa elektrik kepada pre-paid meter di rumah-rumah persendirian, yang akan dilaksanakan secara percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.
Ini sama juga dengan perumahan untuk rakyat. Program pembinaan, bukan sahaja dilaksana dengan lebih cepat, tetapi juga ‘sustainable’ dari segi penggunaan tanah, kos pembinaan dan pemberian subsidi Kerajaan, serta
keupayaan pemilik untuk membayarnya.
Mengenai
keupayaan pemilik ini, Beta telahpun memperkenankan satu pengkajian
dijalankan untuk mengenalpastikan satu sistem tabungan, dimana pemohon
perumahan akan dapat menabung untuk perumahan seawal yang boleh. Insya
Allah sistem tabungan ini akan dikenalkan sebaik-baik sahaja pengkajian
selesai nanti.
Beralih kepada bidang kesihatan, kita tidak ada pilihan melainkan menukarkan fokus perkhidmatan daripada rawatan (cure) kepada pencegahan (prevention) supaya ianya dapat berdayatahan dalam jangka panjang.
Ini
dapat dilaksanakan dengan cara meningkatkan kesedaran orang ramai,
betapa pentingnya mengamalkan cara hidup sihat secara inklusif atau “Health in All Policies” di dalam semua tindak-tanduk mereka seharian, sebagai sifatnya kunci kepada pencengahan yang efektif.
Di
bidang kemasyrakatan, alhamdulillah, Beta sangat gembira dan
menghargai sikap prihatin di kalangan rakyat dan penduduk dalam
sama-sama membantu kumpulan-kumpulan orang-orang berkeperluan khas
melalui usaha-usaha yang dilaksanakan oleh organisasi-organisasi bukan
kerajaan (NGOs).
Bagi membolehkan NGOs tersebut memberikan
sumbangan yang lebih berkesan, Beta telah memeperkenankan satu bantuan
khas kepada NGOs dalam bentuk penyediaan tapak tanah, rekabentuk dan
kebenaran untuk mereka membina bangunan dan kemudahan-kemudahan utama
bagi kebajikan termasuk infrastruktur yang tidak bertentangan dengan
peraturan.
Di samping itu, Beta juga memperkenankan bantuan
kewangan tahunan pada jumlah yang bersesuaian untuk menampung
sebahagian kos operasi masing-masing.
Dalam ehwal antarabangsa,
kita akan terus mengamalkan prinsip berbaik-baik dengan negara-negara
luar dan hormat menghormati di antara satu dengan yang lain. Hubungan
antarabangsa yang sudah kita jalin, insya Allah akan tetap dipelihara
dan diperkukukan.
Khusus di dalam pakatan ASEAN, kerjasama
untuk mewujudkn dan menjaga kestabilan serantau adalah salah satu
keutamaan. Kestabilan ini penting, bagi membolehkan kerjasama
meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi diantara negara-negara ahli, dan
menjadikan ASEAN sebuah pakatan serantau yang disegani dunia,
lebih-lebih lagi rakan dialog.
Kerajaan, adalah tidak
sekali-kali akan mengabaikan hal-ehwal keselamatan. Kerajaan sangat
peka dengan cabaran-cabaran keselamatan, tradisional dan bukan
tradisional, Kita akan terus mengukuhkan kemajuan institusi keselamatan
di dalam negara dan mengukuhkan kerjasama serantau dan antarbangsa
untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan semua.
Akhirnya di
saat yang berbahagia ini, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan dan ucapan terima kasih kepada seluruh
lapisan rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan Awam,
pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor
swasta dan sekalian yang hadir ataupun tidak, atas sumbangan dan
sokongan serta khidmat bakti mereka kepada Kerajaan Beta. Penghargaan
yang setinggi-tingginya juga Beta ucapkan kepada seluruh Ahli
Jawatankuasa Perayaan, diperingkat daerah dan kebangsaan, atas segala
khidmat usaha yang gigih pada menjayakan peryaan ini.
Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.