Showing posts with label 2010. Show all posts
Showing posts with label 2010. Show all posts

Tuesday, 28 May 2013

Titah Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432 pada Hari Isnin, 1 Muharram 1432 / 6 Disember 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki Tahun Baru Hijrah 1432 dengan penuh selesa dan bahagia.
Hijrah turut membawa perubahan, sedang perubahan pula tiada penghujungnya.

Hari ini kita berubah, dan esok juga masih mahu berubah.  Bahkan sampai bila-bila pun, kita tetap ingin berubah.

Inilah dia naluri terhadap perubahan itu.

Pendeknya, perubahan adalah daya tarikan yang luar biasa.
Namun kita orang-orang Islam, bukanlah setakat ingin berubah, tetapi perubahan itu hendaklah kepada ‘yang lebih baik’.

Inilah dasar yang kita pakai.  Bukan asal berubah semata-mata, tetapi perubahan itu perlulah bermatlamatkan kepada yang lebih baik.

Agama Islam memang mendorong kepada perubahan.  Ia tidak mahu kita menunggu perubahan, tetapi menggalakkan untuk berlumba merebut perubahan.

Dalam makna, apa yang Islam mahu ialah supaya kita ini berada paling ke depan untuk menjana perubahan, sebagaimana Al-Qur’an menyebutnya dalam Surah Al-Waqiah ayat 10 mengenai orang-orang berjaya dalam perlumbaan untuk kebaikan di dunia dan sekali gus akan berjaya pula menjadi pendahulu bagi menerima ganjaran di akhirat.

Inilah cara kita berlumba melakukan perubahan demi perubahan.

Misalnya cara kita berubah dalam ekonomi:  Bulan ini kita cuma menabung $5.00 sahaja, tetapi pada bulan hadapan – kita berubah – mampu menabung sebanyak $10.00, bukan dari $5.00 turun kepada $2.00.

Begitulah dengan lain-lain perkara, khasnya dalam kehidupan beragama, kita adalah dituntut untuk melakukan perubahan-perubahan yang meningkat, bukan menurun.  Dalam makna, menambahkan amalan, bukan mengurangkannya.

Inilah antara rahsia dan tujuan hijrah itu, untuk melahirkan perubahan-perubahan besar, bukannya sekadar perubahan biasa.

Kalau kita mahu lebih jelas lagi, sejarah bolehlah dirujuk, apa sebenarnya yang terjadi, dan apa pula perkara yang dapat diperolehi daripadanya?

Hijrah adalah pengorbanan hebat, kerana orang yang berhijrah itu meninggalkan segala-galanya:  Tinggal keluarga, tinggal harta benda dan tinggal tempat tumpah darah.  Namun  mereka tidak kisah, demi untuk mencapai tujuan teragung hijrah.

Apa dia tujuan teragung hijrah?  Iaitulah untuk menyelamatkan akidah dan menyebarkan Islam, sebagaimana yang dituntut oleh Allah.

Sekarang kita wajib bersyukur, kerana kedua-duanya, akidah dan agama Islam, telah pun menjadi milik kita.  Namun tanggungjawab kita belum berakhir untuk terus memelihara dan melaksanakannya.
Andainya kita merasa masih kurang, atau masih lemah dalam pelaksanaan dan pemeliharaan ini, lalu kemudian kita bangun memperlengkapkannya, maka inilah dia perubahan yang sebenar-benarnya dituntut, yang menepati konsep hijrah.

Demikian pendekatan yang mesti kita fahami dan hayati, barulah sambutan hijrah itu dilihat sebagai mempunyai matlamat-matlamat besar untuk membawa ummah kepada perubahan-perubahan lebih bermakna.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan sukacita dan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijrah 1432.  Semoga di sepanjang tahun ini, kita akan menjalani kehidupan beragama yang lebih telus, demi mengharapkan reda Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan Hari Raya Aidiladha 1431 Hijrah / 2010 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sempena Hari Raya Aidiladha 1431 Hijrah / 2010 Masihi 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Kita bersyukur, kerana dapat lagi menyambut Aidiladha yang mulia, hari yang penuh berkat lagi sarat dengan pengajaran ini.

Di mana saja umat Islam berada akan mengalami getaran takbir mengagungkan Ilahi.  Takbir pada hari ini, biasanya amat berpengaruh kepada hati, kerana ia diucapkan dengan beramai-ramai dalam suasana yang penuh harmoni.

Tempatnya pula di masjid, iaitu Rumah Allah yang suci, suatu faktor yang turut menambah lagi keakraban kita kepada-Nya dan kepada Islam.

Inilah yang sepatutnya berlaku kepada kita, iaitu sentiasa hampir kepada Allah dan kepada agama-Nya, Islam.

Tetapi dunia sekarang, tidak menyediakan lebih banyak ruang untuk manusia dapat bertaqarrub kepada Allah dan Islam, malah adalah sebaliknya.  Gejala-gejala kehidupan yang melekakan sahaja sudah cukup untuk memalingkan kita dari mendekati Allah, dan kerana itu pula, tidaklah hairan, jika dunia sering menangis dilanda bencana.

Mengapa bencana datang?

Ramai orang melihatnya dari sudut lahir semata-mata, tanpa mempedulikan sebarang hikmah di sebalik kejadian.  Apabila terjadi satu-satu bencana atau tragedi, orang akan menganggap, bahawa ini adalah kemujuran biasa sahaja, tidak lebih dari itu.

Apakah ini betul?

Tentunya tidak!  Kerana setiap kejadian itu adalah berlaku dengan kehendak Allah, bukan terjadi dengan sendirinya.

Menurut pendekatan Al-Qur’an, terjadinya kerosakan atau bencana di muka bumi ialah kerana dosa-dosa manusia.

Jadi, jika seseorang itu mendekati Allah, sudah barang tentu dia dapat memahami kedudukan ini.

Inilah pentingnya mendekatkan diri kepada Allah itu.  Orang yang dekat dengan Allah imannya subur, keinsafannya tinggi dan akhlaknya luhur.  Kalau ramailah orang-orang macam ini, insya-Allah, negara aman dan dunia pasti akan sentosa.

Itulah makanya, Allah sendiri telah melatih kita, bagaimana hendak mendekatkan diri kepada-Nya.  Di antara latihan itu ialah melalui ibadat korban.

Dengan melakukan ibadat ini, bererti satu langkah ke hadapan mendekati Allah.  Binatang yang kita sembelih, adalah untuk Allah, yakni semata-mata kerana Allah, kerana menjunjung titiah perintah-Nya, kerana mengharapkan reda-Nya.

Itulah dia ibadat korban.

Orang yang jauh dari Allah, tentu sahaja tidak komited dengan ibadat ini, kerana ia bersifat pengorbanan, dan setiap pengorbanan itu berat untuk dilakukan, kerana melakukannya ialah dengan tenaga, masa dan harta benda.

Tetapi jika hati dekat dengan Allah dan dengan Islam, maka semua yang berat akan menjadi ringan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Marilah kita sama-sama berazam untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan kepada Islam, serta berdoa semoga negara kita sentiasa diberkati dengan pemeliharaan-Nya, beroleh keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana sahaja mereaka berada.  Tidak lupa juga kepada mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah, semoga Allah mengurniakan kepada mereka haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-17 Tahun 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-17 Tahun 2010 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada Hari Khamis, 13 Zulkaedah 1431 / 21 Oktober 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta turut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-17 pada hari ini.

Perkhidmatan Awam tidak diragukan lagi adalah sangat penting untuk kelicinan pentadbiran kerajaan.  Ia berfungsi untuk mengetahui sejauh mana keupayaan dan kualiti pentadbiran kerajaan.

Hari Perkhidmatan Awam yang kita sambut ini adalah merupakan wadah untuk menilai atau mengesan kemajuan dan kekurangan di dalam Perkhidmatan Awam itu.

Beta yakin, tuntutan ke atas Perkhidmatan Awam, sampai bila-bila pun tidak akan berkurangan,  Lebih-lebih lagi dalam era pembangunan pesat seperti sekarang, tiada ruang untuk Perkhidmatan Awam itu tertinggal di belakang.

Beta suka mengingatkan bahawa apa pun rancangan untuk memajukan Perkhidmatan Awam, sama ada ia dalam bentuk pelan strategik atau pelan pembaikan berterusan, maka kita adalah mustahak untuk memastikan bahawa perkara-perkara yang asasi dan utama tidak diabaikan.

Di antara perkara-perkara tersebut ialah seperti kedatangan, komitmen, dedikasi, disiplin dan integriti.  Jika perkara-perkara ini tidak ada atau kurang mantap, maka apa pun usaha untuk pembaharuan pengurusan dan teknologi, tidak akan berhasil.

Inilah nilai-nilai yang mesti dimiliki dengan sempurna.  Kerana ia merupakan intipati pengurusan dan sumber tenaga manusia.  Dalam melakar kemahiran dan kepakaran sumber tenaga manusia, nilai-nilai ini tidak dapat dipinggirkan atau cuma dijadikan pilihan sahaja.

Tidak ada maknanya usaha dan ilmu, jika pemiliknya lemah jati diri, seperti disiplin dan integriti.  Kelemahan-kelemahan di sini, boleh membawa padah, menjadikan perkhidmatan kita buruk dan tidak berkesan.

Satu lagi nilai yang sangat-sangat diperlukan dalam perkhidmatan ialah sifat loyal atau setia.  Sifat ini suci, tidak boleh dijual beli, walau dengan harga setinggi mana sekali pun.  Ia mampu untuk mempengaruhi kerjaya seseorang menjadi indah dan disenangi.

Sama ada disedari atau tidak, dalam melaksanakan satu-satu tugas, orang kadang-kadang sanggup memilih jalan bengkok – tidak setia.  Sebagai contohnya, kita ambil perkara berkaitan dengan Surat Pekeliling Kerajaan, misalnya Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri telah mengarahkan sekalian pegawai dan kakitangan supaya melakukan sesuatu di dalam masa bertugas, tetapi arahan itu tidak dipatuhi.

Bukankah ketidakpatuhan ini sama ertinya dengan ‘tidak setia’?

Beta berharap, perkara ini hendaknya janganlah berlaku.  Kerana, selain ianya dilihat sebagai tidak amanah, juga boleh menjejaskan mutu perkhidmatan dan sekali gus, mencacatkan imej baik kerajaan sendiri.

Ini adalah persoalan jati diri.  Tidak setia dan kurang integriti dalam perkhidmatan, adalah merupakan perkara yang tidak boleh dibiarkan.  Kerana ia adalah penyakit, yang tidak sahaja boleh melemahkan perkhidmatan, malahan juga mungkin berisiko kepada pelakunya sendiri untuk menerima kerugian.

Selain kita perlu memperkasa sifat-sifat jati diri ini, warga Perkhidmatan Awam juga mustahak menguasai kemahiran-kemahiran pengurusan moden, seperti penggunaan scorecard, penggunaan teknologi maklumat, penyeliaan dan lain-lain.

Mengenai penggunaan teknologi maklumat, beta telah pun memperkenankan perlaksanaan Strategik E-Kerajaan semenjak dari tahun 2000 lagi, dengan budget sebanyak B$1 bilion.  Namun penggunaannya pada setakat ini, masih sahaja di tahap yang rendah.

Begitu juga aplikasi IT, untuk kemudahan orang ramai berurusan dengan kerajaan, adalah masih sahaja belum dapat dianggap memuaskan, jika dibanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

Sementara Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) pula, perlu lebih diaktifkan perlaksanaannya, kerana ia adalah merupakan agenda kerajaan beta.

Ini juga mustahak dipastikan, sama ada perkhidmatan TPOR berjalan dengan lancar dan memuaskan ataupun masih di tahap yang lemah?  Jika  di tahap lemah, apakah puncanya?  Mungkinkah berkaitan dengan kepimpinan?

Semua ini memerlukan kaji selidik atau penelitian semula.

Akhirnya, beta dengan ikhlas dan sukacita mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan pemenang-pemenang Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam bagi tahun 2010 di atas kejayaan mereka masing-masing.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam di Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri 2010 pada Hari Jumaat 28 Syawal 1431 / 8 Oktober 2010 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subahanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmatnya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang penuh berkebajikan ini.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Beta sangat gembira mendengar kebanyakan kegiatan Persatuan Pandu Puteri yang telah dirancang dapat dijalankan dengan jayanya.

Selaku Penaung Persatuan Pandu Puteri, beta menyarankan supaya ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri meningkatkan lagi kualiti berpersatuan, dengan memainkan peranan aktif di dalam menjalankan projek-projek di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri.

Beta telah difahamkan bahawa Projek Berbakti Kepada Bumi merupakan salah satu daripada aktiviti yang dikendalikan oleh persatuan ini, yang mana projek ini menumpukan perhatian terhadap tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan organik tempatan.

Pada hemat beta, projek ini akan dapat menjadi landasan ke arah menggalakkan ahli-ahli Tunas Puteri dan Pandu Puteri untuk meningkatkan tahap kesedaran mereka tentang peri mustahaknya untuk kita sama-sama memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar melalui aktiviti penanaman seumpama ini.

Melalui projek-projek seperti Projek Berbakti Kepada Bumi, Persatuan Pandu Puteri berpeluang untuk sama-sama membantu dan bekerjasama dengan pihak kerajaan, bukan sahaja dalam menangani isu alam sekitar, tetapi lebih penting dapat menangani isu-isu kesihatan seperti masalah kegemukan (obesity) di kalangan murid-murid sekolah.

Inisiatif seumpama ini secara tidak langsung diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini, terutamanya di kalangan ibu bapa untuk sentiasa memupuk dan mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat di kalangan generasi muda kita.

Beta penuh percaya dengan adanya semangat serta komitmen tinggi ahli-ahlinya, maka Persatuan Pandu Puteri akan dapat sentiasa berupaya melaksanakan projek-projek yang berkebajikan demi kepentingan persatuan pada masa-masa akan datang, di samping terus menjadikannya relevan dengan arus perubahan masa dan keadaan.

Mudah-mudahan usaha-usaha yang berkebajikan dan bermanfaat ini akan mendapat ganjaran pahala dan taufiq serta hidayah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Pada akhirnya, beta mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.
 
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Konvokesyen Ke-22 Universiti Brunei Darussalam

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Konvokesyen Ke-22 Universiti Brunei Darussalam Bagi Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi bertempat di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam pada 30 September 2010.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Ke-22 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta mula-mula sekali ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan dan penerima sijil di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Beta berharap, semua para graduan akan dapat menyumbangkan ilmu mereka dapat kepada pembangunan negara. Mereka perlu turut menghadapi apa jua cabaran, sama ada di tahap nasional mahupun global.

Tahun 2010, adalah merupakan tahun penuh bermakna, kerana pada tahun ini UBD akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Beta gembira mengetahui, bahawa pencapaian graduan UBD bukan saja dalam bidang akademik, malahan juga dalam bidang kokurikulum. Ini dapat dilihat pada penglibatan para pelajar dan graduan ketika mewakili Negara Brunei Darussalam di dalam pelbagai pertandingan seperti sukan, pidato, mencipta robot dan tilawah Al-Qur'an di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penglibatan ini penting untuk melahirkan insan yang holistik.

Sejak penubuhannya, banyak perkembangan telah dicapai, terutama berkaitan dengan sumber tenaga manusia, lanskap pengajian, peningkatan tahap penyelidikan dan pertumbuhan infrastruktur. Sehubungan dengan kematangan usia UBD, ia sudah dapat dilihat menjadi universiti pilihan.

Satu titik perkembangan yang membanggakan, kerajaan beta telah memperkenankan satu skim biasiswa kompetitif yang baru, yang dipanggil Graduate Research Scholarship Scheme untuk membolehkan UBD menarik graduan tempatan dan luar negeri bagi mengikuti program lepasan ijazah mereka di UBD.

Kita mengambil kira, kecemerlangan sesebuah universiti itu perlu memenuhi piawaian antarabangsa. Kalau UBD ingin dilihat sebagi sebuah universiti bertaraf dunia, maka kualiti penyelidikan, penerbitan, pengajian serta pengajarannya mestilah setaraf dengan apa yang dihasilkan oleh universiti-universiti terkemuka di dunia.

Penyelidikan di UBD masih memerlukan peningkatan dan perluasan. Beta difahamkan, UBD sedang melangka ke arah ini, langkah-langkah sedang diambil untuk meningkatkan mutu penyelidikannya. UBD pada setakat ini telah berjaya membuat kolaborasi dengan IBM, iaitu salah sebuah syarikat antarabangsa yang terkemuka di dunia untuk menubuhkan Pusat UBD-IBM bagi meningkatkan lagi mutu penyelidikan di UBD. Beta berharap, supaya pusat ini juga akan turut menarik minat agensi kerajaan dan swasta untuk bekerjasama bagi menghasilkan penyelidikan yang cemerlang.

Menyebut tentang pengajian di UBD, semenjak penubuhannya sehingga sekarang, pengajian dan pembelajaran Islam turut menjadi inti dan teras di dalam struktur organisasi dan program-programnya. Beta mengambil maklum, bahawa tahun ini, adalah merupakan penganugerahan ijazah terakhir bagi graduan dari Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien. Namun, penganugerahan terakhir ini bukan bermakna pembelajaran Islam di UBD sudah berakhir. Ia masih saja wujud dan untuk penyesuaian dengan fungsinya, ia beta perkenankan untuk memiliki nama barunya, sebagai : Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien atau Sultan Omar 'Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies di UBD. Ia akan menawarkan program-program lepasan ijazah dan penyelidikan, dengan harapan, ia juga akan turut melahirkan pakar-pakar Islam yang dapat menganalisis isu-isu semasa mengikut perspektif Islam.

Sehingga konvokesyen ke-22 ini, UBD telah berjaya melahirkan seramai lebih kurang 14,000 graduan. Ini adalah satu jumlah yang besar nisbah kepada penduduk Negara Brunei Darussalam. UBD akan terus bergerak ke hadapan demi mencapai visinya sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan dan penerima sijil pada hari ini dan semoga maju jaya hendaknya sampai berterusan.

Akhirnya, beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai-pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah juga yang akan mengurniakan ganjaran-Nya berupa rahmat dan kesejahteraan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Guru ke-20 Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru ke-20 Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 19 Syawal 1431H / 28 September 2010M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa ‘Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama meraikan sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali yang ke-20.

Mula-mula, beta ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di seluruh negara.  Sambutan ini akan memarakkan lagi semangat dan keazaman para guru bagi melahirkan model insan cemerlang, sesuai dengan tema sambutan:  ‘Guru Gemilang Pelajar Cemerlang’.

Kegemilangan disandarkan kepada guru yang berkualiti, berkemahiran dan berketrampilan.  Pengetahuannya luas, bijak menyampaikan ilmu serta memiliki akhlak yang mulia.

Sementara pelajar cemerlang pula ialah pelajar yang berjaya.  Pelajar diasuh untuk berjaya, sebelum bangkit membina bangsa.

Lagi mengenai guru gemilang, banyak dilihat kepada peranannya.  Jika peranan itu dimainkan sebaik mungkin, maka itulah tandanya gemilang.  Peranan guru menuangkan ilmu kepada anak didik serta sekali gus membawa perubahan bermakana kepada mereka.

Apabila angin perubahan diterima oleh pelajar, maka akan lahirlah individu-individu progresif yang sangat berguna kepada negara.

Ini adalah hukum alam, setiap perubahan itu akan membawa perkembangan.

Kerana itu, usaha mestilah digiatkan untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru yang baik, melalui program-program latihan perkembangan dan kemahiran yang ada disediakan.

Ke arah mengekalkan guru berkualiti ini, beta difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan telah pun mewujudkan Standard Guru Brunei iaitu Brunei Teachers’ Standard yang menggariskan kriteria dan standard am guru serta kompetensi profesional yang patut dicapai oleh seseorang guru.

Beta yakin, kepelbagaian usaha yang dilaksanakan dalam pelaburan pendidikan awal kanak-kanak, yang salah satu agenda utama kementerian ini, akan dapat meraih pulangan tinggi untuk Wawasan Brunei 2035.  Beta percaya, kecermelangan kanak-kanak di peringkat ini, penajanya, adalah guru-guru yang gemilang.

Akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.  Semoga anugerah ini turut mampu untuk menyuntik semangat para guru bagi meningkatkan lagi kegemilangan mereka dalam semua aspek pendidikan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri YSHHB 1431 Hijrah / 2010 Masihi

Titah  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 7 Syawal 1431 / 16 September 2010

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat meraikan Aidilfitri Al-Mubarak 1431/2010.  Lebih-lebih lagi kita meraikannya dalam suasana yang aman lagi selesa.  Kita merasa bertuah dikurniakan nikmat ini.

Bagaimanapun, kita turut bersimpati dengan nasib sebilangan warga dunia yang ditimpa musibah-musibah berat, yang tentunya membawa kesengsaraan kepada mereka.  Di antara mereka itu – dalam jumlah yang besar – ialah umat Islam.

Dalam perspektif Islam, musibah juga dikaitkan dengan kelakuan dan perbuatan manusia sendiri, seperti disebut oleh Al-Quran Surah Ar-Ruum, ayat 41, tafsirnya:  “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perlakuan tangan-tangan manusia…”

Perlakuan-perlakuan itu meliputi perbuatan maksiat secara peribadi dan perbuatan melanggar perintah, atau undang-undang, atau hukum-hakam Allah Taala.

Maka sehubungan ini, beta turut gembira dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi penguatkuasaan awam, yang memegang peranan memantau dan mengawal semua undang-undang dan peraturan di negara ini.

Mereka tidak syak lagi, adalah tunggak kerukunan dan benteng kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Peraturan dan undang-undang adalah ‘jiwa’ kepada masyarakat.  Tanpa peraturan dan undang-undang,masyarakat akan lemah dan tidak dihormati.  Oleh itu jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah.  Kerana jika ia lemah, negara dan masyarakat akan terjejas teruk.

Ada peraturan dan undang-undang sahaja belumlah cukup.  Ibarat qalam atau pensil, tanpa tangan yang menjalankannya, qalam dan pensil itu tidak berguna apa-apa.  Maka demikian itulah dengan peraturan dan undang-undang, mesti ada tangan dan kuasa melaksanakannya, barulah ia berguna.  Jika tangan atau kuasa itu lemah, maka akan jadilah ibarat qalam tanpa dakwat, atau pensil yang patah, tidak akan membawa makna apa-apa.

Pada masa ini atau akhir-akhir ini, perbuatan melangkahi peraturan atau undang-undang adalah lumrah.  Kerana itu, pihak penguatkuasa tidaklah boleh cuai atau berlonggar-longgar dengan peraturan atau undang-undang yang ada.  Mereka perlu lebih tegas dan berani, asal saja jangan bertindak di luar batas kuasa yang sah.

Ambillah perhatian di semua aspek yang mungkin berlaku, seperti penggunaan logo-logo palsu, penyelewengan, penyeludupan, pelanggaran akta berkaitan tanah dan lain-lain oleh pihak-pihak tertentu.  Tangani semuanya dengan peraturan atau undang-undang secara berhemah dan profesional.  Jangan biarkan ada yang terlepas, kerana mereka adalah kudis berjangkit yang perlu dirawat.

Di akhir-akhir ini, jenayah rompak dan mengikat mangsa juga berlaku.  Tangani pelaku yang terlibat dengan undang-undang tanpa tolak ansur.  Pastikan mereka berhadapan dengan undang-undang dan mahkamah.  Mereka jangan sekali-kali diberi peluang untuk mengulangi lagi perbuatan keji itu bagi kedua kalinya.  Jika mereka itu berasal dari luar Brunei, maka pastikan supaya mereka faham, bahawa di Brunei tidak ada tempat bagi orang-orang yang seperti itu.

Pihak penguatkuasa keselamatan, tidak ada peluang lagi untuk memperlahankan langkah, tetapi perlu lebih ligat dan cepat untuk menumpas dan mencegah jenayah yang terkutuk itu.

Beta berharap, orang ramai juga kenalah lebih berhati-hati serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang padu kepada pihak-pihak penguatkuasa, tanpa perlu didesak-desak atau diminta.

Ingatlah, tanggungjawab kepada negara dan undang-undang adalah tanggungjawab bersama.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi.

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihie Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayidina Muhammad Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Kita, zaman dan keadaan terus saja berubah, tetapi agama tidak berubah. Jika seribu lebih tahun dahulu, umat Islam menyambut Aidilfitri, maka sekarang pun ia terus disambut.

Itulah agama. Ajarannya tidak mengalami sebarang perubahan. Jika seribu lebih tahun dahulu orang menyambutnya dengan takbir, maka sekarang pun kita menyambutnya dengan takbir juga dan malah, ungkapan takbir itu tidak berubah.

Kalau seribu lebih tahun dahulu diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, maka sekarang pun hukum itu berjalan terus.

Inilah namanya ketentuan hukum syarak. Mari kita amalkan ia, dengan semangat ketaatan yang tidak pernah padam.

Hanya sekarang saja kita ada peluang untuk beramal, iaitu sementara hayat dikandung badan. Jika sudah datang ajal, maka peluang itu tidak akan ada lagi.

Janganlah mogok dari melakukan ketaatan kepada Allah Ta'ala.

Ada orang, menjadikan Hari Raya penuh dengan kegiatan-kegiatan anti taat, seperti tidak atau cuai untuk melakukan sembahyang, disebabkan oleh terlampau sibuk dengan aktiviti-aktiviti hiburan dan seumpamanya. Atau setengahnya itu, ada yang sampai berbelanja dengan berlebihan sehingga ke tahap boros atau membazir.

Ini semua bukanlah Hari Raya, tetapi hari mengundang dosa.

Ingatlah, kita baru saja keluar dari 'perjuangan besar' selama sebulan genap. Kita telah berjaya menundukkan musuh besar kita yang bernama hawa nafsu. Kita juga telah dijanjikan dengan pahala berlipat ganda dari perjuangan ini, tetapi kemudian, mengapakah kita harus mengakhirinya dengan menghadiahkan kemenangan percuma kepada musuh yang telah ditewaskan itu?

Ubaya-ubaya, para iblis syaitan sekarang sudah bebas semula setelah sebulan dibelenggu. Mereka itu dengan hati yang amat sakit menyaksikan kita mengaut pahala dengan berpuasa, membaca Al-Qur'an dan bertarawih. Lalu apabila mereka bebas, tidakkah kerja tradisi mereka akan bermula pula untuk memperdaya umat Islam supaya menderhakai Allah?

Penderhakaan itu boleh saja berlaku dengan mudahnya, khasnya apabila kita terlampau asyik atau leka dengan bersuka ria.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Mari kita sama-sama berdoa, semoga ibadat kita di sepanjang bulan Ramadan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, serta juga lain-lain ibadat di luar Ramadan.

Hanya inilah saja harapan kita untuk bekalan ke akhirat.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Untuk dunia yang fana ini pula, kita juga sentiasa bergantung kepada rahmat Allah, semoga dengan kemurahan-Nya jua, kita dan negara, akan terus dilimpahi dengan nikmat dan inayah-Nya berupa keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Diharapkan juga, kita semua, akan berterusan kekal beroleh kekuatan dan petunjuk, supaya dapatlah kita mempertahan dan memelihara segala kurniaan yang ada.

Akhirnya, dengan hati yang tulus ikhlas, beta dan keluarga beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat jelata dan penduduk, khasnya mereka yang beragama Islam, di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1431H/2010M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan  Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1431H/2010M pada hari Jumaat (Malam Sabtu) 17 Ramadan 1431/27 Ogos 2010 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, keberkatan Ramadan terus kita nikmati.  Di bulan inilah Al-Qur’an turun, yang disebut sebagai ‘Nuzul Al-Qur’an’.

Al-Qur’an adalah kepala mukjizat.  Mukjizat bererti perkara luar biasa, kurniaan daripada Allah kepada para Nabi dan Rasul.  Adapun Al-Qur’an ialah kurnia Allah kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sifat mukjizat terlalu hebat.  Ia tidak mampu dicabar atau dikalahkan oleh sebarang yang lain.  Khasnya Al-Qur’an, walaupun cuma sepotong ayat yang pendek, tiada siapa yang dapat mencipta sepertinya, mentelah pula untuk mengalahkannya.

Itulah dia Al-Qur’an.

Tidakkah ini satu tanda jelas, bahawa kita selaku pemiliknya, adalah umat yang paling beruntung di antara lain-lain umat.  Kerana Al-Qur’an bukan sahaja hebat tidak dapat dikalahkan, malahan juga ia suluh, perbendaharaan dan penyelamat kita, di dunia dan di akhirat.

Suluh, kerana ia mengandungi segala pedoman dan peraturan.  Semuanya datang dari Allah, bukan dari siapa-siapa.

Perbendaharaan, kerana ia adalah santapan rohani, ubat dan rahmat serta sumber rezeki berupa pahala.  Barangsiapa yang membacanya, akan memperolehi semua ini tanpa diragukan lagi.

Lagi banyak orang membacanya, lagilah kaya orang itu.

Penyelamat pula, tidakkah Al-Qur’an itu penawar, pelindung dan pemberi syafaat?  Di alam barzakh dan Hari Kiamat kelak, ia akan menjadi syafaat kepada mereka yang membacanya.

Jadi apakah lagi yang tidak ada pada Al-Qur’an itu?  Semuanya sudah cukup dan sempurna.

Tidakkah kita patut bersyukur selaku pewaris Al-Qur’an?  Tidakkah kita wajar sibuk dengan Al-Qur’an, dengan memberi penumpuan bagi mempelajari dan membacanya?

Inilah kewajipan kita terhadap Al-Qur’an.

Beta sungguh gembira dan bersyukur, kerana baru-baru ini, kerajaan beta telah memperkenalkan Kursus Diploma ‘Aaliah Qira-aat yang diungkayahkan oleh Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pengajian ini tidak syak lagi, adalah merupakan satu cabang dari ilmu Al-Qur’an dan menjadi fardu kifayah kepada kita.

Sehubungan itu, terdapat petanda baik dalam bidang kemajuan pembacaan Al-Qur’an.  Ini dapat dilihat dari kegiatan-kegiatan bertadarus di sepanjang bulan Ramadan, yang turut disertai oleh segenap peringkat masyarakat Islam di negara ini.

Baru-baru ini pula, qariah negara nyaris-nyaris menduduki tempat teratas di dalam Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Namun menjadi naib johan juga adalah masih unggul, nisbah perbezaan markah tidaklah seberapa, cuma kita ketinggalan 0.91 mata sahaja.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada qariah negara di atas kejayaan itu.

Ini semua adalah bukti pencapaian Brunei dalam bidang pembacaan Al-Qur’an itu.

Ditambah lagi, kita juga sejak akhir-akhir ini sudah berupaya tampil dalam pertandingan-pertandinga menghafaz Al-Qur’an peringkat serantau dan dunia, iaitu sesuatu yang belum pernah terjadi dalam tempoh dua tiga dekad yang lalu.

Pendeknya, Brunei setakat ini sedang menikmati perkembangan yang menggalakkan di bidang Al’Qur’an.

Beta berharap, supaya Brunei terus meningkat dan janganlah sekali-kali kita berhenti dari memperkaya diri dengan ilmu-ilmu Al-Qur’an.   Bukan hanya untuk tujuan pertandingan semata-mata, tetapi lebih penting lagi, pembelajaran di sekolah dan pusat pengajian mesti terus dikuatkan.

Kita garap Brunei, Negara Ziki, dengan kekuatan Al-Qur’an.  Biar ia jadi nadi dalam kehidupan kita, supaya terjelmalah satu ‘sejarah besar’ untuk bangsa.

Ini bukan retorik atau propaganda, tetapi satu azam bangsa yang bertuhan, yang mempercayai mukjizat dan keberkatan Al-Qur’an.

Dengan berkat Al-Qur’an, semua cita-cita kita yang baik, insya-Allah akan menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 21 Syaaban 1431/2 Ogos 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa AalihieWasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Sempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua golongan belia di negara ini, terutama mereka yang turut terlibat menyumbang kepada pembangunan dalam apa pun bidang, khasnya bidang keusahawanan.

Masa depan negara tidak syak lagi, banyak bergantung kepada golongan belia.  Kerana itu mereka perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran, semangat jati diri serta aqidah yang mantap.

Beta melihat, golongan belia kita perlu dirancang, bagaimana untuk menjadikan mereka itu berjiwa besar dan bercita-cita tinggi bagi pembangunan sosial dan ekonomi yang berjaya.

Penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan perlu terus digalakkan melalui latihan-latihan atau pendidikan, sama ada yang bersifat formal ataupun tidak, yang telah kerajaan beta sediakan.

Kefahaman yang mendalam mengenai bidang keusahawanan ini sangatlah penting, kerana daripadanya akan tercetus pelbagai kegiatan keusahawanan dan sekali gus mampu untuk mengurangkan pengangguran di kalangan belia.

Bidang ini bukanlah mudah, ia termasuk salah satu bidang yang penuh dengan saingan dan cabaran.  Oleh itu, untuk mencapainya, para belia perlu mempunyai kekuatan dalaman, iaitu ‘jiwa yang besar’.

Jiwa besar ini akan mendorong mereka lebih rajin berusaha, sanggup ‘berbasah berkering’ dan ‘tahan lasak’.  Inilah belia yang kita dan negara impikan.  Belia seperti ini, tidak akan melihat kesukaran sebagai penghalang kejayaan, malah sebaliknya akan menjadikannya lebih gigih dan berdaya saing.

Ke arah itu, belia-belia perlu kita bekalkan dengan kemahiran bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi persaingan dan cabaran ini.

Sebab itulah, beta sering menekankan supaya program-prigram latihan belia khususnya di bidang keusahawanan perlulah diperkukuhkan terutamanya dalam bidang-bidang pengurusan perniagaan dan kewangan, teknikal dan juga pemasaran.

Hanya dengan kemahiran ini, belia-belia akan dapat berdikari tanpa mengharapkan sebarang bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Ini adalah selaras dengan Dasar Belia Negara yang inginkan para belia menyertai segala macam kegiatan, khasnya kegiatan-kegiatan ekonomi.  Semua ini dihasratkan, untuk kita sama-sama dapat menjana pembangunan ekonomui yang lebih dinamik, sehingga tercapainya Wawasan 2035.

Dalam pada itu, jangan lupakan garis panduan syarak, yang terimbas di dalam etika keusahawanan dan perniagaan Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Baginda itu menangani semua ini dengan penuh tabah, berani dan amanah, yang dengannya, menjadikan perusahaan dan perniagaan Baginda berjalan bersih mendapat kejayaan.

Etika ini, sama sekali jangan diabaikan, barulah Allah Subhanahu Wataala  akan membantu kita dengan rahmat kurnia-Nya berupa pahala dan keuntungan, insya-Allah.


Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalmu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan KDYMM Ke-64

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-64 pada Hari Isnin, 14 Syaaban 1431/26 Julai 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Beta sangat sukacita, yang Majlis Ilmu kekal menjadi salah satu acara utama Perayaan Sambutan Hari Keputeraan beta.  Dalam penelitian beta, sejak beberapa tahun Majlis Ilmu diungkayahkan, perayaan ini semakin bermakna dan cantik.

Ini dapat difahami, kerana objektif Majlis Ilmu itu ialah untuk menjulang ilmu, sedang ilmu, memanglah ia indah dan malah agung.

Beta difahamkan, pada tahun ini, Majlis Ilmu berjaya menghimpunkan lebih ramai lagi para ilmuan daripada dalam dan luar negara, untuk membincang dan bercakap mengenai ‘Melayu’.

Ini wajar, selaras dengan situasi dalaman dan persekitaran, yang meminta kita untuk berfikir dan bercakap mengenai siapakah Melayu itu?

Dengan ilmu, jawapan akan kita perolehi.  Berdasarkan daripada jawapan itu pula, pengetahuan kita tentang bangsa dan tentang sejarahnya akan dapat dikenal pasti.

Ini adalah penting.

Sejarah adalah lidah kebenaran: lidah yang paling petah.  Kita tidak boleh kunci lidah ini, melainkan, biarkan saja ia  berkata-kata, kerana kata-katanya itu sangat telus dan amat berharga.

Sejarah tidak boleh dibisukan.  Bangsa yang membisukan sejarahnya adalah pengecut.  Oleh itu, wajar bagi kita menjadi bangsa yang berani: berani menyoal serta menyuluh ke dalam diri sendiri.

Ini caranya kita belajar dari sejarah dan berguru kepada sejarah.  Bangsa yang suka berguru kepada sejarah adalah bangsa besar.

Daripada sejarah kita bermula, dan daripada sejarah juga kita melakar nama.  Demikianlah hebatnya sejarah itu.

Sejarah Brunei Darussalam, sedia terisi dengan satu ‘nilai besar’, Melayu Islam Beraja (MIB).  Ia bukanlah pilihan tetapi anugerah.  Anugerah daripada Allah Subhanahu Wataala.  Selaku anugerah, nilainya tentulah lebih tinggi daripada apa yang dihasilkan oleh tangan sendiri.

Ia menuntut kepada tanggungjawab, dan tanggungjawab itu pula bernama ‘amanah’.

Siapakah yang bertanggungjawab itu?  Jawabnya ialah kita semua, selaku bangsa dan rakyat.  Kita jawat anugerah ini, dan berikutnya kita pelihara ia, kita pakai dan kita pupuk terus, sebagai kebanggaan dan warisan.

Jangan biarkan ia pudar atau dipudarkan oleh sebarang pengaruh, sama ada pengaruh ideologi atau sistem, MIB, mungkin saja ada yang tidak sebulu.

MIB jiwa raga Brunei.  Ia tidak boleh dilihat dengan kaca mata biasa, tetapi perlu ditanggapi dengan kefahaman dan kesedaran.

Setiap orang perlu faham dan sedar, bahawa MIB bukan ‘jalan sempit’, tetapi sebuah lebuh raya yang panjang dan luas.  Ia menjanjikan keselesaan dan kebajikan untuk semua.

Beta berharap, Majlis Ilmu, dengan program-program ilmunya, akan turut mengubah sebarang kefahaman sempit tentang MIB itu.

Dengan Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas Penghulu sekalian Nabi dan Rasul, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, beta rasmikan Majlis Ilmu 2010.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Sempena Hari Keputeraan KDYMM Yang Ke-64 Tahun

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-64 Tahun pada Hari Khamis 3hb Sya’aban, 1431 15hb Julai, 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, istiadat pada pagi ini, dapat berlangsung dengan baik dan sempurna.
Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tetamu-tetamu khas Beta, yang dapat meluangkan masa untuk sama-sama hadir meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang Ke-64.

Kita juga bersyukur kerana Allah telah mengurniakan kepada negara dan rakyat serta penduduk dengan pelbagai nikmat, berupa keamanan dan kemakmuran.
Ini semua, memerlukan kita menanai dan memeliharanya dengan konsisten.
Bagaimanakah kita menanai dan memelihara itu? Tentu saja dengan berusaha, demi kelangsungan dan kemantapannya.

Keamanan yang bertahan lama dan mantap adalah segala-galanya. Demikian juga kemakmuran yang berterusan adalah menjadi idaman kepada semua.
Kedua-dua ini adalah asasi, akan menentukan rebah-bangun negara. Negara yang aman adalah negara yang selesa : selesa untuk berkembang dan membangun. Ditambah lagi kalau ia makmur, akan menjadikannya lebih mudah pula untuk melakar kemajuan.

Inilah rahasia keamanan. Kerana itu, adalah menjadi kewajipan utama bagi agensi-agensi yang berkaitan untuk menggambil tanggungjawab penuh terhadapnya. Sementara rakyat pula, hendaklah memberikan kerjasama yang padu.

Didalam usaha untuk mengekalkan kemakmuran pula, kita boleh memakai dasar dan kaedah-kaedah biasa. Kalau orang lain bersaing, kita pun juga bersaing. Orang lain melabur, kita juga melabur. Orang lain mempelbagaikan ekonomi, kita juga mempelbagaikan ekonomi. Pendeknya, kita boleh saja mengharung apa jua cara yang sesuai untuk kelangsungan kemakmuran itu.

Tetapi dalam pada itu, elakkan cara dan tabi’at yang tidak sihat, seperti tabi’at suka berhutang, tanpa menghiraukan risiko bebanan hutang.

Tahukah kita, ada kajian menunjukkan, bahawa krisis kewangan dunia turut dilihat sebagai berpunca daripada bebanan hutang. Satu fenomena yang menggerunkan telah dapat dikesan, bahawa bukan saja individu, keluarga dan syarikat perniagaan menanggung beban hutang, malah terdapat juga negara yang membuat pinjaman berlebihan, sehingga menjadikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara tersebut tergugat, dan bahkan kestabilan ekonomi dan kewangan dunia juga.

Menyedari lebih awal akan bahaya inilah, makanya Kerajaan Beta semenjak beberapa tahun kebelakangan lagi, telah pun mengamalkan dasar berhemah dan berjimat cermat didalam berbelanja, dengan menekankan value for money serta menabung lebihan pendapatan kerajaan, demi, agar kemakmuran yang ada sekarang dapat terus dinikmati oleh generasi demi generasi.

Alhamdulillah, satu berita memberangsangkan berdasarkan The World Economic Forum’s (WEF) Global Competitiveness Report 2008-2009, negara kita telah menduduki tempat teratas dari sudut pengurusan hutang kerajaan, dengan mengambil kira negara ini tidak mempunyai hutang awam. Sementara itu, negara juga menempati kedudukan kedua daripada 134 buah negara dari aspek kekukuhan makroekonomi.

Insya Allah, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan Beta juga akan melakar satu sejarah baru dalam hal ehwal kewangan, dengan penubuhan sebuah autoriti monetari yang digelar Authoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) atau Monetary Authority of Brunei Darussalam yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari, 2011. Badan ini akan bertanggungjawab, termasuk keatas dasar-dasar monetari, pengawalseliaan institusi kewangan dan pengurusan matawang.

Di arena antarabangsa, kita akan terus mengamalkan dasar saling hormat menghormati serta bekerjasama bagi kebaikan semua pihak.

Diperingkat ASEAN, komitmen kita adalah dipandu oleh halatuju Piagam ASEAN sendiri. Sementara diperingkat lebih jauh melalui keahlian kita didalam pertubuhan antarabangsa yang lain, termasuk APEC, OIC, Commonwealth dan lain-lain, kita juga akan mengekalkan peranan membina didalamnya.

Beralih kepada perkara yang tidak kurang utamanya, iaitu Perkhidmatan Awam. Ia memerlukan peningkatan, baik disegi produktiviti mahu pun etika kerjanya. Beta mahu Perkhidmatan Awam itu, secara berterusan, akan menilai kekuatan dan kelemahannya berasaskan Key Performance Indicators yang telah ditetapkan.
Dengan cara ini, dapatlah kita menyukat setakat mana Perkhidmatan Awam itu dapat melaksanakan tanggungjawabnya pada memenuhi harapan negara dan orang ramai.

Sejajar dengan keperluan-keperluan utama, Kerajaan Beta telah dan sedang menangani, bagaimana untuk mempercepatkan lagi penyediaan perumahan awam yang bersesuaian. Kearah ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan, akan menetapkan sasaran dan langkah untuk memenuhi pemintaan, termasuk rancangan pembinaan rumah-rumah yang diungkayahkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei. Melalui langkah-langkah berkesan, Beta berharap pengagihan perumahan itu akan lebih dapat dipercepatkan.

Kita juga bergerak dalam pembangunan yang lebih kondusif bagi pelaburan, dengan meningkatkan pemeliharaan alam sekitar dan kualiti kehidupan. Sehubungan ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang mengungkayahkan pembangunan Bandar Seri Begawan melalui penyediaan Plan Induk Bandar Seri Begawan.

Dibidang perkhidmatan kesihatan, Kementerian yang berkaitan amatlah perlu untuk mengukuhkan lagi dasar-dasarnya, menilai sistem dan pengurusan kesihatan, khasnya kapasiti dan kualiti sumber tenaga kedoktoran dan professional lain. Kita tidak mahu rumahsakit kita menjadi bayang-bayang yang menakutkan, hanya kerana doktor-doktor selalu gagal dalam memberikan khidmat mereka.

Di bidang permakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, akan terus melipatgandakan usaha, untuk menghampiri sasaran sara diri yang kita cita-citakan itu. Disamping jangan juga lupa tentang keselamatan makanan, sama ada yang bersumber daripada dalam, mahu pun luar negara.

Langkah-langkah penilaian dan kawalan perlu dipastikan, meliputi semua aspek : kehalalan, kebersihan dan keselamatan makanan. Walaupun hanya bahan-bahan, yang biasanya dianggap selamat, seperti sayur mayur dan ikan, namun kita juga pernah mendengar tentang sayur mayur yang beracun dan ikan yang diawit dengan bahan pengawit yang memudaratkan.

Ini belum lagi bahan-bahan daging yang tidak halal, yang dibawa masuk melalui jalan penyeludupan dan lain-lain.

Ini semua turut menjadi tanggungjawab kita memedulinya.

Bidang paling utama lagi mencabar pula, ialah pendidikan. Kementerian berkenaan, melalui system pendidikan, akan menangani pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah-kaedah baru yang maju, tetapi bukanlah dengan mengabaikan kepentingan-kepentingan besar nasional, Subjek-subjek teras dan pengisiannya hendaklah terus diutamakan.

Ini juga turut menyangkut pendidikan ugama dibawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kita mesti melihat kepentingan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama selaku keperluan dan tuntutan zaman.

Keperluan disini ialah untuk menjadikan semua anak-anak orang Islam dinegara ini celik ugama.
Bagaimanakah caranya?

Tentu saja melalui system pendidikan yang dominan mendaulatkan ugama.
Dimana tempatnya? Bukanlah di rumah atau dilain-lain tempat, tetapi di Sekolah Ugama itu sendiri.

Kita melihat ini bukanlah untuk masa setahun dua, tetapi bagi jangka panjang, demi survival bangsa. Kerana tanpa ugama atau lemah ugama, akan menghumbankan kita kepada bencana.

Lihat saja kepada beberapa episod permasalahan dalam masyarakat, yang menjangkiti banyak peringkat, terutama peringkat muda mudi dan juga anak-anak sekolah. Mereka terjerumus kedalam pelbagai kancah, seperti kancah pergaulan bebas, jenayah dan dadah, sehingga ada yang telah ditangkap dan dipenjarakan di negara asing kerana terlibat dengan sindiket dadah.

Ini tidak boleh dipandang sepi. Selaku bangsa yang sedar, kita mestilah mengubatinya, dan satu-satunya ubat itu ialah ugama.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan dan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, yang telah memberikan pelbagai khidmat dan sumbangan mereka kepada Kerajaan dan negara.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan disemua peringkat, atas usaha padu mereka menjayakan perayaan Hari Ulang Tahun Beta ke-64 ini. Semoga Allah memberkati semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1431 Hijrah

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1431 Hijrah pada 27 Rejab 1431/10 Julai 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita memperingati lagi peristiwa Israk dan Mikraj Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat agung.  Peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada malam Israk dan Mikraj itu, merupakan iktibar penting untuk dijadikan panduan dan suluh kehidupan.  Namun berapa ramaikah orang yang betul-betul mahu mengambil iktibar tersebut?

Manusia memang ramai yang lalai, sementara iblis pula sentiasa berusaha untuk menggoda dan memperdayakan manusia yang lalai itu.

Ini, akan berlaku sampai Hari Kiamat.  Dalam makna, usaha iblis untuk menyesatkan manusia itu, tidaklah ada penghujungnya.

Cara iblis memperdaya dan menyesatkan ialah dengan menghias atau memperelok segala macam maksiat, supaya maksiat itu kelihatan bagus atau cantik kepada manusia.

Namun alhamdulillah, dengan adanya panduan-panduan syarak dan Al-Qur’an, maka dapatlah dibezakan, mana-mana yang bagus adalah daripada Allah, sementara yang keji atau buruk pula adalah daripada syaitan.

Kecuali, bagi siapa yang memang – dengan pilihannya sendiri – mahukan kepada yang buruk-buruk itu, maka orang yang seperti itu, akan tetaplah dia menjadi pengikut syaitan.

Peristiwa Israk dan Mikraj merakamkan pelbagai pengajaran.  Di antaranya ialah anugerah Allah berupa ‘ibadat sembahyang’.  Anugerah ini adalah paling istimewa, mampu untuk mencegah segala macam kekejian dan kemungkaran, sebagaimana maksud firman Allah di dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 45.

Bersabit dengan sembahyang ini, beta sangatlah gembira, kerana pada tahun ini, kita ada mengubah sedikit format acara sambutan, dari Anugerah Takmir Masjid kepada Anugerah Imam dan Bilal pula.

Ini adalah wajar, kerana yang penting dinilai itu ialah ibadat kita, kemudian barulah di mana kita beribadat.

Ibadat mestilah kemas, bagus dan sahih.  Adapun Imam dan Bilal, berkewajipan untuk melurus dan mencantikkan ibadat itu.

Khasnya Imam, mempunyai tanggungjawab yang amat berat.  Mereka turut menentukan ibadat orang-orang Islam di belakang mereka.  Jika mereka betul, maka makmum yang mengikut mereka pun akan turut betul juga.  Tetapi sebaliknya, jika mereka salah atau cacat bacaan, maka para makmum akan turut menerima risikonya juga.

Kerana itu, skim anugerah kepada Imam dan Bilal, sewajarnya dianggap penting selaku motivasi, bagi melahirkan imam-imam dan bilal-bilal yang berkualiti.

Beta berharap, dengan skim ini, akan semakin makmurlah masjid, surau dan balai ibadat, serta imam-imam dan bilal-bilal pula akan lebih menyerlah dan dihormati.

Agensi yang berkaitan pula, janganlah diam, hanya menunggu hasil yang diharap-harapkan itu sahaja, tetapi perlu proaktif dengan program-program peningkatan, seperti mengadakan kursus-kursus ulang kaji atau kelas-kelas membaca kitab, atau seminar yang berkaitan dengan pengurusan dan pemakmuran masjid dan lain-lain.

Ini semua dapat dianggap akan meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran para imam dan lain-lain petugas masjid.

Masjid adalah wadah tarbiah dan dakwah.  Ia perlu cergas dan berkesan.  Istilah ‘takmir masjid’ adalah untuk kita melihatnya sebagai fokus masyarakat bagi melakukan ibadat, dan juga sebagai tempat untuk mendapatkan bimbingan-bimbingan keugamaan.

Kerana itu, masjid tidaklah boleh malap dan lemah.  Jika ia malap dan lemah, masyarakat akan tarik diri daripadanya.

Jadi kewajipan kita, kewajipan pentadbir dan pengurus, tidak terkecuali juga para imam sendiri, adalah untuk memastikan, bahawa masjid-masjid kita adalah terus makmur, terus hidup, terus gemerlap dengan ilmu dan dakwah, dan khasnya, fungsi mimbar juga, hendaklah sentiasa berkesan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Yang Ke-49

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-49 pada hari Isnin, 17 Jamadilakhir 1431 Hijriah bersamaan 31 Mei 2010 Masihi bertempat di Padang Kawad, Penanjong Garison, Tutong.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita dapat pula berkumpul pada pagi ini untuk meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Yang Ke-49.

Beta tidak lupa mengucapkan tahniah serta terima kasih di atas sumbangan seluruh warga ABDB dalam usaha mereka mempertahankan integriti negara serta mendukung perlembagaan dan falsafah Melayu Islam Beraja.

Tugas utama ABDB ialah memelihara keamanan dan alhamdulillah, ia dilihat sedang menjadi kenyataan.

Namun perlu diingat, musuh utama yang sentiasa mengintai-intai ialah 'kelalaian'. Jika sedikit kita lalai, boleh mengakibatkan bencana atau musibah. Betapa tidak, bukankah di sebalik keamanan itu masih terdapat ketidakpastian berupa kemungkinan wujudnya anasir dan ancaman yang kita tidak sangka-sangka?

Jadi nyata, semua itu memerlukan kesedaran dan kewaspadaan yang berterusan, di samping kualiti juga ditingkatkan dengan menjalani latihan-latihan bersama di antara perkhidmatan-perkhidmatan ABDB di semua peringkat.

Ditambah lagi mesti menguasai semua kaedah tatapemerintahan, seperti kaedah Balanced Score Card, Performance Budgeting dan yang akan datang, Capital Budgeting. Semua ini, perlu dilaksanakan secara tepat dan konsisten.

Selain itu, penglibatan di dalam operasi-operasi luar negara, khasnya yang di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga perlu diteruskan, kerana manfaatnya adalah cukup besar, bukan saja bagi anggota yang terlibat dan ABDB sendiri, malahan juga bagi negara di bidang diplomasi pertahanan.

Sehubungan itu, beta mengambil peluang untuk mengucapkan syabas kepada ABDB dan khasnya anggota yang pernah dan sedang bertugas di dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Filipina dan di dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL). Sumbangan kita di dalam pasukan-pasukan ini meletakkan Brunei Darussalam selaku penyumbang terhadap keselamatan antarabangsa.

Peningkatan individu pula, beta mengambil maklum Kursus Maktab Turus, selaku komponen Akademi Pertahanan ABDB yang akan bermula pada bulan November 2010 adalah selaras dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat. Cara dan pendekatan seperti ini memang kita sokong dan galakan. Maka oleh itu, pujian patutlah diberikan kepada Kementerian Pertahanan dan ABDB di atas pencapaian tersebut.

Dengan sasaran peningkatan secara menyeluruh dan seimbang ini, insya- Allah, kita akan dapat melihat Kementerian Pertahanan dan ABDB mampu untuk menjalankan amanah yang dipikulkan kepada mereka.

Akhir kata, beta mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ABDB Yang Ke-49 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara serta keluarga masing-masing. Sama-samalah kita berdoa agar negara dan kita semua mendapat perlindungan Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Perkasa.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan-Pelantikan Baru

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan-Pelantikan Baru

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Awal kalam, kita wajib bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas kemurahan-Nya mengurniakan kita pelbagai nikmat dan kelebihan.

Keadaan negara yang aman lagi makmur adalah segala-galanya. Tidak ada yang lebih dihajati daripada ini, kerana ia merupakan pintu kepada semua kebajikan.

Manakala negara, apabila berada dalam keadaan aman dan makmur, semua pembangunan akan berjalan lancar. Ditambah lagi dengan jentera kerajaan yang baik, akan membolehkan harapan semakin tinggi untuk melihat kejayaan.

Namun ini bukanlah datang bergolek begitu saja, tetapi perlu didahului dengan usaha dan kerja keras.

Tanpa usaha dan kerja keras, kita tidak akan kemana-mana.

Siapakah yang lebih wajar untuk mendepani usaha dan kerja keras itu? Jawabnya ialah barisan para pemimpin. Merekalah ikon rakyat untuk dicontohi, dan selaku contoh, mereka juga perlu memiliki personaliti dan syakhsiah yang hebat.

Kehebatan disini turut merangkumi sikap bersih, berkebolehan dan berwawasan, termasuk juga sanggup berbasah dan berkering, sehingga diri sendiri tidak lagi penting, berbanding pengorbanan untuk ugama, raja, bangsa dan negara.

Jika kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang seumpama itu, maka kitalah orang yang paling beruntung, kerana rakyat dan penduduk boleh berkongsi kehebatan dengan mereka.

Inilah yang Beta harapkan, dan ini juga tema perombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan beberapa lantikan baru, seperti berikut:

1.   Beta sendiri selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan juga Menteri Kewangan.

2.   Paduka Anakda Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

3.   Paduka Adinda Duli Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

4.   Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong sebagai Menteri Pendidikan.

5.   Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Kesihatan.

6.   Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman sebagai Menteri Pembangunan.

7.   Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar sebagai Menteri Perhubungan.

8.   Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar sebagai Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.

9.   Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim sebagai Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri.

10.  Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua).

11.  Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Paduka Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar sebagai Menteri Tenaga (Minister of Energy) di Jabatan Perdana Menteri.

12.  Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.

13.  Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

14.  Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

15.  Dato Paduka Awang Haji Abd Wahab bin Juned sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

16.  Dato Paduka Awang Haji Mustappha bin Haji Sirat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

17.  Awang Haji Bahrin bin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

18.  Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

19.  Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.

20.  Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

21.  Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan

22.  Datin Hajah Adina binti Othman sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Perlantikan ini bermula dari hari ini, hari Sabtu, 15 haribulan Jamadilakhir tahun 1431 bersamaan dengan 29 haribulan Mei tahun 2010 bagi tempoh selama 5 tahun.

Beta dengan ini juga sukacita memaklumkan bahawasanya jawatan Mufti Kerajaan dan Peguam Negara mulai hari ini adalah sebagai jawatan bertaraf Menteri.

Lantikan-lantikan ini adalah amanah, dan amanah itu pula sangatlah berat. Jika kita berjaya menjalankannya, maka kitalah orang yang berbahagia, sebaliknya kalau kita gagal, maka penyesalan jua akan menunggu kita.

Lantikan juga bererti tugas, kewajipan dan kuasa. Ia mesti digunakan sejujurnya dengan penuh taat lagi setia.

Janganlah ada yang ingin mencipta haluan sendiri-sendiri untuk kepentingan yang terhad, tetapi bantulah raja untuk mencapai wawasan negara dengan keadilan.

Kita buktikan bahawa keadilan tidak mati di Brunei, tetapi ia hidup dan malah subur dari apa yang dijaja di mana-mana.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik, di atas khidmat dan jasa mereka yang disumbangkan selama ini, semoga Allah jua yang akan membalas mereka dengan kebajikan dan kebahagiaan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1431 / 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1431 Hijrah / 2010 Masihi (Malam Kedua) pada Hari Khamis (Malam Juma'at) 13hb Jamadilakhir 1431 / 27hb Mei 2010 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa telah mengukir sejarahnya yang tersendiri dengan lima puluh kali berlangsung. Kalaulah ia disebut dengan istilah jangka hayat, bererti usianya sudah mencapai lima puluh tahun.

Bayangkan masa lima puluh tahun, pelbagai kejadian boleh berlaku, termasuklah mereka yang pernah terlibat selaku pengadil dan perserta pertandingan, tentu saja, sudah ada yang telah kembali kerahmatullah. Semoga roh-roh mereka turut disinari oleh cahaya al-Qur'an.

Sejarah ini, perlu terus berlangsung. Janganlah ia disekat-sekat. Biarkan ia terus berjalan, selaras dengan sejarah bangsa yang panjang.

Kita jadikan ia 'tradisi budaya' yang rakat lagi kukuh didalam kehidupan kita.

Turunkan kepada generasi demi generasi. Suntik semangat mereka untuk menggemarinya, dan bangunkan jiwa-jiwa yang lesu sekiranya ada, untuk sama-sama membina sejarah ini, sehingga tidak akan ada lagi - walau sekeratpun - dari kalangan anak bangsa yang menganggapnya basi.

Jadikan Brunei dan kita semua sebahagian dari sejarah al-Qur'an itu, dalam makna, kita tidak mampu untuk berpisah dengannya buat selama-lamanya insya Allah.

Mengapakah kita mesti rapat dengan al-Qu'an, tidak boleh berenggang dengannya? Kerana kita tahu, ia adalah alat untuk mendekatkan diri kepada Allah, alat untuk kita berkomunikasi dengan-Nya. Tidakkah dengan membaca al-Qur'an itu sama ertinya kita berkomunikasi dengan Allah, kerana al-Qur'an adalah Kalam-Nya?

Jadi tidak syak lagi, al-Qur'an adalah 'keperluan asasi' kita dan juga tonggak Brunei Darussalam selaku 'Negara Zikir'.

Berbagai langkah sudah kita ambil untuk merealisasikan semangat dan ilmu al-Qur'an itu menjadi milik umat Brunei. Melalui wadah pendidikan, kita sejak sekian lama lagi telah pun melaksanakannya. Kemudian ditambah lagi dengan penulisan dan penafsiran Mushaf Brunei, penulisan Mushaf UBD menggantikan cokmar dan lain-lain.

Sekarang, kita ada tambahan dua buah lagi pusat pengajian tinggi, Universiti Islam Sultan Sharif 'Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguran Ugama Seri Begawan (KUPU SB), mengapakah kita tidak merancang seperti langkah UBD? Kerana UNISSA dan KUPU SB juga, tentu saja akan mempunyai sama hari-hari konvonya sendiri masing-masing. Takkanlah UBD saja yang kita lihat mengusung mushaf, sedang UNISSA dan KUPU SB tidak?

Langkah seperti ini kita buat, adalah terbit dari niat kit untuk menjulang al-Qur'an itu setinggi yang  mungkin, disamping - secara intelek dan psikologi - untuk menjana semangat dan kemahuan umat supaya terus belajar dan mengamalkannya.

Akhirnya, Beta dengan amat sukacita mengucapkan tahniah kepada para peserta disemua peringkat pertandingan, khasnya peringkat akhir kebangsaan ini. Beta berharap, semua mereka itu akan terus bergiat dibidang pembacaan, sambil meningkatkan lagi mutu bacaan masing-masing untuk menghadapi pertandingan-pertandingan mendatang.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

6th World Islamic Economic Forum (WIEF)

Special Address by His Majesty Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan And Yang Di-Pertuan Of Brunei Darussalam at the 6th World Islamic Economic Forum (WIEF) in Kuala Lumpur Convenction Centre on May 19, 2010

                               
Prime Minister Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak
Your Excellencies,
Ladies and Gentlemen,


It is a great pleasure to be here...

...and I thank the Foundation for the honour of addressing such a distinguished gathering of leaders in all walks of life.

It is also a special pleasure to join fellow members of the OIC again and discuss matters that are of deep importance, not just to our Muslim Ummah but, I believe, to all members of the international community.

It is a tribute to the role being played by our organisation in world affairs today... and I congratulate every branch on its positive and constructive contribution to peace, goodwill and cooperation among all nations.
I also most warmly congratulate your government and people, Prime Minister.

As we often say in Brunei Darussalam, we do not only have relations with Malaysia.

We are relations.

And, as such, we thank you once again for your country’s welcome and your people’s constant friendship and hospitality.


As members of the wider, extended family of Muslims nations, we greatly appreciate your outstanding support for the work of the OIC over so many years.

Prime Minister,

I have followed the work of the Forum with great interest ever since its first session.



That was, of course, in 2005.... the same year as our groundbreaking Special Summit in Mecca.

I still see that Summit as one of the two most significant meetings in the first decade in the twenty first century.

The first was, of course, the United Nations Millennium Summit where the Millennium Development Goals were adopted.
This, more than any previous set of principles, gave international purpose to the lives of every ordinary citizen in every country in the world.

The Plan of Action set out at Mecca Summit five years later, allied two billion of our people to the same international objective.

And this Forum has given it inspiration and dynamic practical impetus in a most crucial area of modern international relations.
As a result, I see the first ten years of this century not in terms of crises..... whether economic, financial or political.

I see them in the terms set out in the various themes which have been chosen for this annual gathering.

New alliances.

Partnerships.

Security.
And I assess them in this light.

How much, I ask, have our ordinary people’s lives been improved?

As individuals, as families and as communities, are they better prepared to meet modern challenges?

How much more confident are they now in facing the future?

If we can answer these questions positively, then we are indeed responding well to the theme of the Forum’s very first meeting here in Kuala Lumpur in 2005.

Development and Progress.

Prime Minister,

In linking the purpose of the UN Millennium Goals to the objectives of the Mecca Summit and the work of the Secretariat here, I detect a further theme.

     I feel that it underpins almost every aspect of international life today.

I see it as the sub-text of theme of each of our Forums over the past five years.

At an even deeper level, I believe that it is one of the most serious concerns of all Muslims in this twenty first century.
By this I refer to what has been given the popular title of .....

Globalisation.

The word is part of everyday life and almost everyone has his own interpretation.

Some rejoice in it. Some regret it. Some even condemn it.

     What I think we all agree on here, however, is that it presents a clear challenge to Muslims.
The challenge is implicit in this year’s theme...

“Gearing for Economic Resurgence.”

This I believe does not involve seeing how we can adjust or adapt our faith to a new set of realities.

My people know only one reality.

They see the one world they live in.


They know the one faith they believe in.

In other words, they are already globalised, just as Muslims have always been for nearly one and a half thousand years.

As such, they wish to take part to the full in the one world they live in and they wish to strengthen the one faith they believe in.



If we speak of “resurgence” here...

...then it is this wish I see resurging.

Prime Minister,

Our people have all felt the impact of many so-called economic and financial crises over the last two years.

This, to me, is simple proof that we are inextricably bound up in world affairs.

It is essential that our people must have the tools and skills to handle them well, as nations, as traders, as business men and women, as ordinary citizens of that world and as Muslims.

That is why I thank the Forum for its ideas and the programmes of advice, training and opportunity it is offering and encouraging.
I would, however, make one other point about “resurgence”.

If it is to take place, we cannot afford to be passive members of the international community.

We ourselves, as Muslims, have much to offer and encourage our partners in the world.

The world, I maintain, needs us.




There have been many calls for commerce, trade, banking, and finance to be fair, honest, ethical and moral.
 
Many non-Muslims, up to the highest authorities among the great powers at the United Nations, have made such calls.

The word often used is  “regulated”.


The words Muslims have always used are far less controversial.

     We use the terms “just” .... or simply  “fair...”

As we all know here, these have always been Islam’s values, its principles, and its basic approach to business.



These, far more than any products, can be Islam’s major contribution to international business.

Undertaking the long, hard task of building them into global economic and business affairs is, the highest calling of Islamic Forums such as this.

It calls for persuasion, goodwill, technical skill and commercial expertise.

It will obviously take much time, effort and conviction.

But, Prime Minister, if we are seeking a way out of short-term cycles of crisis and recovery, this is the surest way of achieving any lasting “resurgence”....

....not just for the Ummah....

..but for the whole world of business and economics.

Thank you

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keenam Majlis Mesyuarat Negara

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keenam Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari Khamis, 25 Rabiulawal 1431 / 11 Mac 2010.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Keenam Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli-ahli Yang Berhormat.  Persidangan ini seperti lazimnya akan dijadikan saluran bagi menyampai dan membahaskan pandangan-pandangan ahli yang dilihat sebagai cara untuk menjana perkembangan dan kemajuan.

Dari sinilah suara-suara akan didengar dan sampai kepada pihak-pihak dalam kerajaan.  Semuanya itu akan dinilai dan diteliti jika didapati bersesuaian ia akan menjadi asas kepada perancangan-perancangan negara.

Pihak-pihak dalam kerajaan pula sentiasa berkewajipan untuk mendekati rakyat dan penduduk dengan maklumat-maklumat yang berguna supaya mereka dapat sama-sama merasakan betapa mustahaknya negara merancang dan membangun untuk kemajuan.

Setiap perkara yang dibincang hendaklah benar-benar mengambil kira kemasylahatan rakyat dan negara, bukannya perkara-perkara yang tidak penting.  Ia mesti dilihat dengan serius bukan dengan sikap sambil lewa.

Sebarang kenyataan atau pendangan perlulah disokong dan kajian dengan fakta supaya perbincangan mampu terarah dengan baik tidak kucar-kacir atau tersasar daripada tujuan.

Sebagai misal kita kadang-kadang mendapati ada projek-projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh tertentu yang ditetapkan, apa alasannya maka berlaku yang demikian itu.   Inilah yang perlu kita kaji dan dalami sebab-sebabnya sama ada dari pihak kerajaan sendiri mahupun pihak pengusaha.

Mengapakah kegagalan itu boleh berlaku dan apa puncanya, mustahak dibutirkan selengkapnya faktor-faktor kegagalan tersebut, kerana ini sangat besar kegunaannya, di antaranya kita dapat belajar dari kesilapan dan juga dengan mengetahui kesilapan dan punca-puncanya kegagalannya.  Kita pada masa-masa akan datang tidak lagi akan mengulanginya.

Kita perlu mengorak langkah lebih pantas untuk mengatasi jika ada sebarang kelambatan atau kegagalan kita mencapai sasaran.  Kerana kelambatan atau kegagalan itu sangat buruk akibatnya kepada negara.

Sekarang negara sedang rancak dengan pembangunan ekonominya, setelah menyaksikan kesan-kesan krisis ekonomi dunia yang parah.  Alhamdulillah berkat dasar kita yang mantap dan sikap sihat dalam berbelanja tanpa bergantung dengan hutang maka sosioekonomi kita terus kukuh dan stabil.  Ditambah lagi dengan adanya peningkatan tahap keyakinan di pasaran kewangan dunia dan peningkatan dalam bentuk permintaan bagi produk minyak mentah.  Ini sedikit sebanyak dapat memastikan bahawa hasil pendapatan negara, insya-Allah akan terus mampu untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan.

Sebagi contoh bagi Tahun Kewangan 2009/2010 ini sahaja, kerajaan beta telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak $626.8 juta dengan hasrat supaya operasi perkhidmatan kerajaan dan perlaksanaannya projek-projek pembangunan tidak terjejas di samping untuk merangsang aktiviti-aktiviti perekonomian yang berdaya saing.  Ini semua tentu sahaja memerlukan mekanisma yang ligat, cekap dan tidak ketinggalan zaman, kerana pengurusan ekonomi itu bukanlah berundur ke belakang walau setapak.

?Ditambah lagi ekonomi kita juga sedang bergerak kepada kepelbagaian ekonomi serta tidak lagi terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas yang kita lihat sebagai antara objektif asas wawasan negara.

Namun dalam perkara pembangunan ini kita perlu memahami bahawa pembangunan yang lengkap itu bukan semata-mata difokus kepada infrastruktur fizikal tetapi juga mesti memberikan penekanannya kepada bidang rohani.  Sudah tidak rahsia lagi semua negara di dunia ini rata-rata membangun tetapi pembangunan itu kelihatannya melebihkan fizikal.  Betul mereka itu mungkin maju tetapi dalam maju itu ada yang tidak senang duduk, tidak merasa nikmat tidur kerana negara asyik bergelut dengan huru-hara dan peperangan dengan pergaduhan-pergaduhan sesama sendiri dengan jenayah, dengan dadah, dengan rasuah dan lain-lain.

Ini  semua boleh membuat kemajuan yang dicapai tidak bermakna.  Kerana itu beta tidak  bosan-bosan menyebut mengenai pendidikan.  Pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat yang tidak boleh diabai-abaikan.  Dasarnya mesti sihat dan sistemnya  mesti betul.  Dasar dan sistem yang baik ialah dasar dan sistem yang mampu untuk membangunkan rohani bukan yang melemahkannya.  Sebab itu beta berkali-kali memberi isyarat bahawa pendidikan ugama daripada bawah lagi sewajarnya wajib bukan 50 tahun sebagai pilihan.

Akhirnya  beta  menyeru kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat supaya akan dapat lebih peka dengan segala permasalahan yang dialami oleh rakyat dan penduduk negara ini termasuklah yang tinggal di kawasan-kawasan pendalaman dan membawa permasalahan tersebut untuk dibincangkan di dalam dewan yang mulia ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1431H / 2010M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi pada hari Sabtu, 13 Rabiulawal 1431 / 27 Februari 2010.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat lagi pada tahun 1431 Hijriah ini, meraikan Maulud Nabi kita, Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Di kesempatan ini, sudah sepatutnya kita isikan ia dengan selawat dan salam ke atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dan juga jangan lupa untuk mengambil contoh teladan dari sunnah-sunnah Baginda sebagai tanda cinta dan penghormatan kita terhadap Baginda. Bagindalah pembawa cahaya, yang menerangi alam maya ini, di mana sebelum itu, dunia terjerumus ke dalam kancah kegelapan dan kesesatan. Cahaya tersebut ialah agama Islam.

Dalam usaha menyebar dan memperjuangkan agama Islam itu, Baginda berhadapan dengan pelbagai rintangan dan ujian. Bukan saja rintangan daripada musuh, malahan juga dari kaum keluarga Baginda sendiri. Namun segala percubaan, dihadapi oleh Baginda dengan sabar dan tabah. Baginda tidak undur, malah terus menyebarkan agama Allah dengan keyakinan, bahawa Allah pasti menolong Baginda.

Dari manakah datangnya kekuatan dalam diri Baginda untuk menghadapi semua ini?

Jawabnya dari keimanan dan keikhlasan kepada Allah. Iman dan ikhlaslah yang membuat kuat itu. Kalau ada iman dan ikhlas, semua rintangan mampu dihadapi.

Kemampuan itu bukan saja datangnya dari kita sendiri,malahan juga ditambah dengan pertolongan Allah, kerana kita menolong agama-Nya, sebagaimana janji-Nya dalam surah Muhammad, ayat 7 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kalau kamu menolong Allah yakni membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong (membela) kamu juga (pada mencapai kemenangan) dan (Dia juga) akan meneguhkan pendirian kamu."

Ini janji kepada orang yang ikhlas kerana Allah. Ikhlas kepada agama-Nya. Rahsia ikhlas itu amatlah agung, dalam apa saja perkara. Ia sangat berkat lagi dituntut, bukan saja dalam beribadat, malahan juga dalam semua keadaan: dalam belajar, dalam mencari nafkah, dalam kehidupan berkeluarga dan bernegara, semuanya menghendaki ikhlas. Jika tanpa ikhlas, akan pahitlah natijahnya.

Ikhlas adalah penawar atau ubat segala kepincangan. Khasnya dalam bidang pekerjaan atau tugas, jika seseorang itu sungguh-sungguh ikhlas, maka sudah barang tentu dia akan bersih dari segala macam sifat buruk, seperti tamak, dengki, tidak amanah, rasuah dan seumpamanya. Inilah dia kepentingan ikhlas itu.

Beta sangat berharap, dalam keghairahan kita menyambut Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ini, seluruh rakyat dan penduduk, tanpa mengira kedudukan dan peringkat, akan mengamalkan sifat ikhlas itu dalam kehidupan, supaya kita benar-benar menjadi bangsa yang dirahmati oleh Allah, yang dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan kelebihan.

Kita mesti mencari untung dengan kebajikan, bukan sebaliknya. Keuntungan yang diraih dengan kebajikan, nilainya adalah tinggi, berbanding yang didapat melalui kerja- kerja curang, akan mengundang dan menghumbankan kita kepada kecelakaan di dunia mahu pun di akhirat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memakai 'pakaian ikhlas' yang cantik lagi suci ini, dihadapan Allah dan juga dihadapan sesama insan, supaya hidup kita penuh berkat, dikasihi serta disenangi oleh Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan makhluk-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-26

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-26 pada Hari Selasa 9hb Rabiulawal, 1431 bersamaan 23hb Februari, 2010



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua, atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-26 dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

Kesyukuran kita ini adalah sebagai respon kepada peringatan Allah, ayat 7 surah Ibrahim, tafsirnya:

“Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.”

Ni'mat ini, semoga berkekalan, sehingga kegenerasi demi generasi. Itulah harapan kita.

Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: “Negaraku Brunei Darussalam.”

Ramai orang beranggapan, tema seperti ini, hanyalah tertentu untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara semata-mata. Kalau inilah saja, maka ianya belum lengkap lagi.

Turut lebih penting lagi ialah, apakah sumbangan kita untuk 'mengekalkan' ni'mat Allah, yang dikurniakan-Nya selama ini kepada kita dan negara?

Patriotisme dan cintakan negara, sering dilihat orang dari kulitnya saja, berupa ikrar-ikrar dan upacara-upacara kesukaan. Jarang orang melihatnya sampai ke lubuk-lubuk rahsia : bahawa ni'mat itu ditanai dengan syukur dan digilap dengan kerja-kerja takwa kepada Allah. Jika ini ada, maka barulah ada harapan untuk ni'mat itu berkekalan, sebagaimana janji Allah Subhanahu Wata'ala sendiri.

Maka bersukut dengan sa'at bersejarah ini, marilah kita sama-sama menghayati amal syukur dan amal takwa itu.

Selebihnya, kita adalah memerlukan prestasi perlaksanaan yang berterusan. Kita mahu, apa yang dirancang itu dilaksanakan dengan menepati jadual, bukan sekadar rancangan di atas kertas saja. Dan adapun anak kunci kepada semua ini, ialah “cara” kita melaksanakannya.

Diantara cara paling efektif ialah, perundingan yang berkesan diantara agensi-agensi berkaitan, misalnya ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid, kadang-kadang yang dijadikan alasan mengapa 'lambat', ialah, kerana ada halangan berkaitan dengan syarat-syarat tanah, atau tanah belum digezit dan seumpamanya.

Jika inilah alasannya, bukankah semua itu dari kerajaan jua? Sepatutnya kalau kerajaan sendiri yang berkehendak, tentu saja masalah itu tidak akan jadi sukar lagi. Tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa? Adakah kita betul-betul serius ataupun tidak? Jika lambat diperingkat bawah, adakah peringkat atas mahu turun padang berunding? Inilah masalah kita.

Dan inilah makanya mekanisme penyukat prestasi (key performance indicators) telah dibentuk untuk dipakai sebagai panduan oleh setiap agensi kerajaan.

Satu lagi keperluan dalam usaha kita membangun negara ialah keadaan alam sekitar. Tidak ada maknanya pembangunan pesat jika alam sekitar terjejas teruk. Kerana kita juga terus memerlukan tanah yang subur, udara yang bersih, air minum yang bersih, malah air laut yang bersih yang tidak tercemar. Kerana inilah sumber kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita menyegerakan penggubalan undang-undang atau peraturan bagi pembangunan lebih terkawal. Pada misalnya kita perlu menguatkuasakan mekanisme 'Environmental Impact Assesment' dan lain-lain seumpamanya bagi projek-projek pembangunan.

Turut penting juga untuk disebut ialah hal ehwal kewangan. Baru-baru ini Kerajaan Beta telah melaksanakan peraturan pengawalan penggunaan kad kredit. Langkah ini menarik perhatian pelbagai pihak dan menjadi satu perkara yang diperkatakan ramai.

Tujuan Kerajaan ialah supaya kita sama-sama memahami, bahawa kemewahan hidup yang disandarkan kepada hutang yang bertumpuk-tumpuk merupakan kemewahan yang rapuh, dan malah, akan banyak mendatangkan kerugian pada jangka panjang.

Walaupun pada peringkat awalnya, perkara ini mungkin sedikit sebanyak mempersulit sebilangan rakyat atau institusi yang mempunyai kepentingan, namun pihak Kerajaan adalah percaya, tindakan ini sungguh tepat, demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini pada jangka waktu yang jauh.

Ini, adalah satu dari strategi kita dalam menjadikan ekonomi sebagai salah satu dari 3 tiang utama Wawasan Brunei 2035.

Negara memerlukan dasar-dasar ekonomi yang lebih teratur, mantap dan menarik, serta juga iklim pelaburan yang kondusif yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perekonomian secara keseluruhan.

Demikian juga, usaha-usaha adalah perlu, bagi membolehkan kita mengimbangi kekurangan dalam pasaran domestik, serantau mahupun global, serta menukarkannya kepada situasi yang lebih positif dan menguntungkan.

Pada akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.

Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun ke-26 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Marilah kita sama-sama menadah tangan dan memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, supaya negara dan kita semua, sentiasa dilimpahkan dengan berkat dan rahmat-Nya, amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.