Showing posts with label 2008. Show all posts
Showing posts with label 2008. Show all posts

Wednesday, 29 May 2013

Majlis Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-47

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-47 pada 25 Jamadilawal 1429 / 31 Mei 2008

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-47

PADA
25 JAMADILAWAL 1429/31 MEI 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabiheee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een.  Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat-Nya memberikan kita kesempatan untuk sama-sama berhimpun di Majlis Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-47 tahun ini.

Beta merasa amat gembira melihat wajah-wajah yang ceria, khasnya para ahli keluarga anggota tentera, yang sama-sama hadir bagi meraikan hari ulang tahun ini.  Inilah peluang terbaik bagi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk mengeratkan lagi hubungannya dengan para ahli keluarga itu, yang selama ini memberikan sokongan kuat kepada suami, isteri atau anak-anak yang menceburi perkhidmatan tentera.

Di samping kita meraikannya, sambutan ini juga merupakan kesempatan untuk kita merenung semula cabaran-cabaran yang pernah atau sedang dan akan dihadapi.

Melakukan ini, akan menjadikan kita tidak putus usaha untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan kakitangan Kementerian Pertahanan.  Kerana itu, beta amatlah menyambut baik langkah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk menubuhkan Akademi Tentera pada tahun ini.  Begitu juga, beta mengambil maklum mengenai penubuhan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada Institut Latihan.  Kemudahan-kemudahan ini tentu saja akan memperluas lagi perspektif dan visi para anggota.

Dengan ini beta berharap, aset-aset tersebut hendaknya digunakan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran.
Beta juga gembira menyaksikan pertumbuhan pesat pembangunan infrastruktur.   Bukan saja Kementerian Pertahanan telah mula menduduki sebuah bangunan yang lebih baik, bahkan kemudahan prasarana bagi perjaurit kita yang bertugas di Pulau Baru-Baru juga telah berhasil disediakan.  Pembukaan perkhemahan Batalion Ketiga ini tidak syak lagi merupakan petunjuk nyata bahawa tahap profesionalisme dan keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah meningkat.

Ini juga menandakan betapa besarnya keprihatinan kita untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa bagi para anggota, di samping bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih profesional, sesuai dengan sebuah angkatan pertahanan yang sedang berkembang.

Di samping langkah-langkah menimba ilmu, mengasah kepakaran, memperoleh peralatan dan membina infrastuktur, beta juga suka menekankan di sini akan pentingnya memiliki prestasi kepimpinan yang berkesan.  Pemimpin-pemimpin perlu mempunyai wawasan untuk melakukan peningkatan, di samping turut memiliki kebolehan bagi mengatasi apa saja kelemahan.

Dalam institusi ketenteraan, ciri-ciri kepimpinan seperti ini adalah amat mustahak untuk membezakannya dari institusi-institusi yang lain.

Semua lapisan kepimpinan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, perlu menjadi centre of gravity, di mana semua kebajikan atau kepentingan angkatan ini banyak bergantung.  Para pemimpin mestilah menjadi teladan kepada yang dipimpin, baik di segi standard, disiplin, mahupun hubungan dengan Allah Ta’ala.  Pemimpin yang berjaya ialah bila mana pemimpin itu berjaya membawa anggota pimpinannya memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab asas yang dipikulkan kepada mereka.

Demikian serba sedikit dan secara umum mengenai pimpinan.

Untuk akhirnya, beta sukacita mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-47 kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang masih berkhidmat dan tidak lupa juga kepada yang sudah bersara serta keluarga masing-masing dan juga kepada kakitangan Kementerian Pertahanan yang selama ini turut sama menyumbangkan khidmat bakti mereka.  Begitu juga ucapan yang sama kepada mereka yang tidak dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini kerana menjalankan tugas, sama ada di dalam mahupun di luar negara.  Marilah kita berdo’a, semoga kita semua sentiasa diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah di dalam segenap tugas dan tanggungjawab kita untuk negara.  Kita rafakkan juga doa semoga negara kita sentiasa di dalam aman sejahtera, beroleh kemakmuran dan kebahagiaan dengan izin Allah.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,  Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430 pada 1hb Muharram 1430 / 28hb Disember 2008
 
TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

SAMBUTAN TAHUN BARU HIJRAH 1430

PADA

1 MUHARRAM 1430/28 DISEMBER 2008


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Ala Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajma’een.  Waba’du.

Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah meminjamkan kita umur, sehingga dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1430 ini.

Awal kalam untuk mengalu-alukannya ialah dengan doa:  Semoga pada tahun ini kehidupan kita penuh dengan keberkatan di dalam semua lapangan.

Semoga sekalian rakyat dan penduduk beroleh kebahagiaan, di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Ta’ala.

Negara pula tetap berkeadaan aman, makmur lagi selamat, tiada sebarang kemelut dan ketakutan di dalamnya.

Semoga Tahun 1430 Hijrah menjadi wadah untuk kita membangun: Pembangunan fizikal dan rohani yang diredai oleh Allah.

Kita membangun untuk kemakmuran, dan dalam masa yang sama juga, kita membina keyakinan diri untuk menjadi hamba yang taat dan rajin beribadat.

Kemakmuran dicapai dengan usaha, dengan menggunakan sumber alam kurnia Allah Ta’ala.  Daripada sumber alam ini, kita memperolehi minyak dan gas, dan daripadanya juga kita mendapat makanan.

Beta berharap, pada tahum ini, Tahun Hijrah 1430, kita wajar bergerak lebih pantas untuk mencapai objektif negara, seperti di dalam bidang pertanian, kita perlu meningkat ke tahap peratus ‘sara diri’ yang lebih tinggi daripada yang ada masa ini, sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan.

Kita juga akan terus bergerak untuk meningkatkan taraf hidup, sesuai dengan matlamat mencapai tahap kemiskinan sifar.

Dari sudut agama, manakala terdapat keadaan yang menggalakkan, maka kemiskinan di kalangan umat Islam tidaklah sukar untuk diatasi.

Pada hari ini kita bercakap mengenai hijrah, dan sekiranya umat Islam berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, maka bermakna inilah hijrah yang paling bersejarah untuk mereka.

Orang Islam mestilah lurus dalam pegangannya, untuk mendapatkan natijah terbaik dalam kehidupan.

Jika pegangan tidak lurus, walaupun niat baik, kita tidak mungkin, umtuk menghasilkan sebarang natijah yang terbaik itu.

Begitulah yang beta harapkan, terutama daripada pemimpin-pemimpin di semua agensi kerajaan, kerana mereka adalah jurumudi bagi membawa kapal-kapal ke pangkalan yang tepat.

Sesuai dengan semangat hijrah, semua orang, terutama para pemimpin dan pembantu-pembantu mereka, perlulah lebih peka dengan perkembangan semasa, sama ada yang bersangkutan dengan tugas harian masing-masing mahupun yang lebih besar daripadanya.

Jika ada perkara yang perlu ditangani dengan segera, mengapakah tidak ditangani?  Begitu juga, jika ada peluang untuk membuat perubahan, mengapakah tidak dibuat, padahal jika dibuat, ia boleh mendatangkan banyak kebaikan.

Inilah caranya kita melayani Tahun Baru.  Ia bukan saja untuk menanam azam, tetapi yang lebih penting melaksanakan azam.  Jika pada tahun lalu kita melihat kerosakan, pada tahun ini, Tahun Baru, kita mesti menyaksikan pembaikan.

Adalah tidak wajar melambat-lambatkan perubahan, walau perubahan itu sangat perlu untuk dilakukan.

Kerugian bukan saja dialami oleh siapa yang menahan-nahan perubahan, malahan juga oleh orang lain yang memang berhak untuk menerima perubahan itu.

Lebih-lebih lagi jika perubahan itu bersifat membetulkan kesilapan atau kesalahan, maka sudah barang tentu ia wajib pula dilakukan dengan sesegera mungkin.

Ini juga boleh dianggap sebagai peka terhadap perkembangan, iaitu tidak membiarkan kesilapan terus berlarutan.

Attitude seperti inilah yang diperlukan oleh masyarakat membangun, di mana kita adalah sebahagian daripadanya.

Di sinilah sepatutnya azam Tahun Baru bermula dan bertolak.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati azam kita ini, dengan menjadikannya kenyataan.  Amin.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut dan Menjalani Tahun Baru Hijrah 1430.  Semoga dalam menjalaninya itu, kita semua akan sentiasa mendapat hidayat dan bimbingan Allah bagi memperolehi keredaan-Nya.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hari Raya Aidiladha 1429 Hijrah/2008 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidiladha 1429 Hijrah/2008 Masihi
TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

HARI RAYA AIDILADHA 1429 HIJRAH/2008 MASIHI


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulullahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nastaeenu ‘Ala Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen.  Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen.  Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Dengan takbir kita membesarkan Allah, dan dengan tahmid kita memuji-Nya.  Allah Maha Besar dan segala puji adalah bagi-Nya.

Inilah kalimat-kalimat suci yang sedang memenuhi alam maya ini.  Dengan tidak mengira di mana-mana jua, ia tetap diucapkan oleh sesiapa saja yang bernama Muslim.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Amat nyata kepada kita, bahawa hari ini keberkatan adalah melimpah ruah.  Bibir-bibir sedia basah dengan zikrullah.  Hati-hati khusyuk serta tunduk kepada-Nya.  Hanya Dia jua, satu-satunya, yang disembah.  Hanya Dia jua, satu-satunya, tempat munajat, bagi memohonkan berkat dan rahmat.

Berhadapan dengan kebesaran dan kekayaan Allah, kita semua adalah kerdil dan miskin.  Siapa saja yang bernama makhluk adalah miskin.  Hanya Allah jua Yang Maha Kaya.

Selaku hamba yang kerdil lagi miskin, kita semua perlu memiliki sifat kasih sayang sesama kita sendiri, sambil bertolong-tolongan secara timbal balik.  Yang tua menyayangi yang muda, yang muda mengasihi yang tua.  Yang lebih kuat menolong yang lemah, yang lemah pula membalasnya, walau dengan doa.

Inilah prinsip Islam, khasnya yang berkaitan dengan komuniti sosial dan kehidupan.

Kerana itulah, Islam itu dinamakan agama rahmat, sebab, daripadanya tumbuh simpati dan mencurah ihsan.  Sehingga, kalau ada seseorang yang makan kenyang sedang jirannya lapar, maka Islam adalah mengutuknya.

Kita sebut perkara ini bersukut dengan Aidiladha yang mulia.  Pada hari ini syiar Islam bergemerlapan dengan alunan takbir dan tahmid oleh umat Islam di seluruh dunia, lebih-lebih lagi, secara khusus, oleh jutaan jemaah haji di Tanah Suci.

Allah memang Maha Kaya.  Di tengah-tengah krisis kewangan global yang melanda masyarakat antarabangsa pada ketika ini, umat Islam masih saja mampu untuk menyahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci dengan penuh semangat, seperti mereka tidak merasakan langsung sebarang kesan dari krisis yang merunsingkan ini.

Begitulah, Allah merahmati para hamba-Nya yang taat, dengan rezeki mereka yang menakjubkan.  Sepatutnya, operasi haji itu boleh saja terganggu, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu disebabkan krisis yang dahsyat ini.  Tetapi kenyataannya tidak!  Kerana rezeki itu adalah di tangan Allah, tidak siapa yang boleh menahannya kalau Dia memberi.

Kerana itu jangan takut, jika itulah perintah Allah, maka kewajipan kita ialah melakukannya.  Seperti juga suruhan berzakat, jangan ingkar dan jangan tahan zakat kerana takutkan habis.  Kalau inilah yang dikehendaki oleh Allah, maka apa perlunya lagi takut?  Lebih-lebih lagi Allah sendiri juga sudah menjamin untuk menambahnya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Berbalik lagi kepada prinsip Islam dalam mengurus kehidupan sosial.  Pada Hari Raya Aidiladha ini, umat Islam digalakkan berkorban.  Pada setiap tahun, nampaknya semakin ramai umat Islam berkorban, iaitu suatu tanda menggalakkan bagi kebaikan dunia dan akhirat kita.

Cuma ada sedikit pemikiran, iaitu adakah pengagihan daging-daging korban itu sudah benar-benar menepati sasaran?  Maksud beta, yang utama diutamakan, sementara yang kurang utama tidak pula diabaikan.

Walaupun hukum syarak turut membenarkan pengagihan daging korban kepada orang kaya seperti juga kepada fakir miskin, namun pada hemat beta, keutamaan adalah lebih wajar difokus kepada fakir miskin.  Kerana beta khuatir, ada di antara fakir miskin itu yang mungkin tercicir dalam pembahagian, disebabkan misalnya, mereka jauh terpencil, atau tidak mempunyai kemudahan untuk menerima bahagian mereka, sedangkan orang yang kaya atau orang senang lebih mudah mendapatkan bahagian di majlis-majlis korban yang mereka hadiri sendiri.

Mengapakah perkara ini beta timbulkan?  Kerana kita ingin melihat masyarakat berlaku adil kepada orang-orang daif yang lebih memerlukan.  Manakala mereka ini dilayan dengan adil, sudah barang tentu akan menambahkan lagi keberkatan kepada orang-orang yang berkorban dan malah juga negara.

Apabila beta katakan demikian, bukalah bererti beta melarang orang-orang kaya dan senang dari mendapat bahagian mereka.  Cuma secara wajarnya, orang-orang susah dan daif itu perlu mendapat perhatian yang lebih khusus dan adil.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan semangat muhibah dan tulus ikhlas, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana saja mereka berada.  Tidak dilupakan juga mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah pada ketika ini.  Semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran.  Amin.

Sekian.  Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Brunei Darussalam

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,  Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Brunei Darussalam pada Hari Khamis, 30 Oktober 2008 / 29 Syawal 1429 bertempat di Dewan Chanselor, Universiti Brunei Darussalam

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
KONVOKESYEN KE-20
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

PADA
HARI KHAMIS, 30 OKTOBER 2008/29 SYAWAL 1429

BERTEMPAT

DI DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’inu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Aj’maeen, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan ‘inayah-Nya jua kita semua dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Brunei Darussalam.  Pada kesempatan ini, beta dengan tulus ikhlas mengucapkan tahniah kepada para graduan dan penerima-penerima sijil di atas usaha gigih mereka sehingga berjaya memperolehi kejayaan masing-masing.

Lanskap sektor pengajian tinggi negara telah melalui pelbagai perkembangan dan perubahan, di mana kini, negara telah mempunyai tiga buah universiti dan sebuah kolej universiti.  Dengan kedudukan ini, rakyat dan penduduk telah mempunyai lebih banyak peluang untuk memperolehi ilmu di peringkat yang lebih tinggi.  Langkah ini adalah sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 yang menjadikan kualiti sebagai teras utamanya.

Sebagai pusat pengajian premier, Universiti Brunei Darussalam perlu memegang peranan selaku universiti pelopor di kalangan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dengan penampilan keupayaan bersaing yang lebih tinggi serta saling melengkapi.

Beta dalam perkara ini, amatlah ghairah untuk melihat UBD mengambil langkah-langkah berpatutan ke arah memperkukuhkan lagi keupayaannya, supaya membolehkannya bergerak, sejajar dengan perancangan strategiknya.
Banyak usaha boleh dibuat untuk mencapai perkara ini, termasuklah mewajarkan struktur organisasi UBD berkeadaan lebih mantap mengikut keperluan.

Beta sukacita menyarankan supaya UBD menawarkan program-program yang lebih inovatif, pelbagai disiplin dan ‘broad-based’, di samping menjadikan bidang penyelidikan dan pengkajian yang sedia ada lebih berfokus, di mana hasilnya kelak boleh menyumbang untuk menyelesaikan isu-isu yang berkepentingan dengan negara.

Kerjasama rapat dengan jentera-jentera kerajaan beta mahupun pihak swasta, juga sangat elok diteruskan, malah mustahak dikembangluaskan.

Beta amatlah gembira apabila mengetahui bahawa kepakaran-kepakaran yang terdapat di UBD telah dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang berkaitan.  Ianya meliputi hasil usaha penyelidikan dan pengkajian di bidang biodiversiti, keselamatan pemakanan dan tenaga.  Beta percaya, aktiviti-aktiviti ini boleh diperluaskan lagi skopnya.

Kekuatan utama UBD turut terletak pada kewibawaan dan kaliber pegawai-pegawai serta ahli-ahli akademiknya.  Maka untuk itu, wajarlah bagi UBD memastikan yang mereka itu adalah benar-benar berkelayakan serta prominent dalam bidang masing-masing.  UBD perlu memikirkan tatacara atau menyediakan pakej-pakej yang bersesuaian untuk dijadikan penggalak atau tarikan agar pakar-pakar atau ahli-ahli akademik itu benar-benar mahu terlibat memilih untuk berkhidmat di UBD.

Beta yakin, dengan adanya penerbitan yang bermutu dan bertaraf antarabangsa serta pemilikan pakar-pakar yang prominent di kalangan ahli-ahli akademiknya, maka imej UBD, baru akan menyerlah serta lebih meyakinkan pihak-pihak antarabangsa selaku sebuah institusi pengajian tinggi pilihan pertama (a first choice university).

Sebelum ini beta pernah menyebut mengenai usaha kerajaan beta untuk terus komited membisaikan lagi kemudahan-kemudahan pendidikan kita termasuk melipatgandakan usaha mempertingkatkan persekitaran pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan riadah ke tahap yang lebih kondusif, mengikut perkembangan pendidikan UBD sendiri.

Akhirnya, kepada para graduan, sekali lagi beta mengucapkan tahniah dan semoga maju jaya dalam apa juga bidang yang akan diceburi.  Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, pegawai-pegawai utama, pegawai dan kakitangan di atas sumbangan dan perkhidamatan mereka yang tulus ikhlas.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Guru Kali Ke 18

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-18 Tahun 1429 Hijrah / 2008 Masehi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU KE-18
TAHUN 1429 HIJRAH/2008 MASIHI

PADA
HARI SABTU 17 SYAWAL 1429/18 OKTOBER 2008

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen  Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen.  Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammaddin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen.  Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang ke-18.  Pada kesempatan ini, beta ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru.

'Guru Pembentuk Tunas Bangsa' adalah tema sambutan pada kali ini.  Tema ini mencerminkan betapa besarnya peranan guru itu selaku tunggak bangsa.

Menjelang Januari 2009, kita akan melaksanakan suatu sistem yang dipanggil ‘Sistem Pendidikan Negara Abad 21’.  Ke arah perlaksanaan sistem ini, para guru menjadi pemegang amanah yang utama untuk menjayakannya.  Merekalah yang akan berada paling hadapan untuk menghadapi pelbagai tuntutan di bawah sistem ini.

Tuntutan terpenting ialah ‘perubahan-perubahan besar’ yang menjanjikan kualiti kehidupan kepada generasi-generasi mendatang.  Ia bukan hanya terbatas kepada kelompok-kelompokyang terhad, seperti mereka yang berkaitan dengan alam pendidikan sahaja, malahan mencakupi semua peringkat dan kepentingan di dalam negara.

Sebelum menyukat kemampuan pihak-pihak lain, keupayaan para guru hendaklah lebih dahulu diberikan perhatian.  Kerana itu, beta turut gembira mengetahui, bahawa Kementerian Pendidikan sekarang sedang aktif mempergiatkan pembangunan profesionalisme guru.
    Pendekatan ini tidaklah mengenepikan aspek hal-ehwal kesejahteraan bagi guru, seperti kenaikan pangkat yang pernah beta sebut sebelum ini.

Bermula 1 Jun 2008, beta telah pun memperkenalkan satu skim perkhidmatan yang baru bagi guru-guru, yang dipanggil Skim Perkhidmatan Perguruan.  Melalui skim ini, guru-guru yang berkaliber akan berpeluang untuk dinaikkan pangkat ke tingkat yang lebih tinggi dan sekali gus akan terus kekal bertugas di sekolah.

Selain daripada soal kenaikan pangkat, isu penguasaan ilmu juga merupakan satu keutamaan di bawah Skim Perkhidmatan Perguruan.  Kerana ilmu adalah menjadi sukat-sukat kualiti guru.  Oleh itu, inginlah beta melihat supaya latihan-latihan guru, sama ada di dalam negeri mahupun melalui Latihan Dalam Perkhidmatan luar negara dijadikan sebagai salah satu agenda utama oleh Kementerian Pendidikan.  Beta yakin usaha ini akan dapat kita jalankan dengan sebaik-baiknya.

Menyebut mengenai perubahan besar dalam perlaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad 21, tenaga guru adalah penggerak paling utama.  Kerana itu, untuk sampai kepada matlamat, maka tenaga guru yang mencukupi tidaklah boleh dipandang ringan dengan pandangan sebelah mata sahaja.

Beta turut mengambil maklum, bahawa Kementerian Pendidikan telah membuat perancangan untuk mengatasi perkara ini.  Tetapi pada hemat beta, bagi jangka pendek, kita belumlah ada pilihan lain, melainkan terus mengambil tenaga daripada luar negara.

Bagaimanapun, langkah ke arah meningkatkan jumlah guru tempatan bagi tempoh jangka panjang, mestilah terus dirancang. 

Dalam pada itu, perancangan yang kemas dan tepat jangan pula diabaikan, khasnya perancangan untuk melahirkan tenaga-tenaga peringkat tertinggi dan profesional, hendaklah dilihat dari sudut umur dan keperluan jangka panjang, bukannya setakat untuk mendapatkan pemegang ijazah semata-mata, sedang masa dan peluang untuk mereka berkhidmat tidak lagi panjang atau sangat terhad.

Oleh itu, wajarlah calon-calon bagi peringkat tertinggi dan profesional ini, akan dipilih dari tenaga-tenaga muda.  Sementara tengah kita menunggu mereka itu membawa kejayaan, adalah satu perkara biasa jika kita mendapatkan khidmat tenaga luar terlebih dahulu.

Selaras dengan perkembangan, beta telah memperkenankan bagi Institut Teknologi Brunei (ITB) dinaikkan tarafnya kepada sebuah universiti dengan mengekalkan namanya ITB.  Beta juga memperkenankan bagi sebuah politeknik baru ditubuhkan, dan memperkenankan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah ditempatkan di Institut Perubatan Universiti Brunei Darussalam serta dijadikan sebuah Jabatan Penjagaan Kesihatan.

Akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.  Negara adalah berharap agar anugerah ini akan dapat memberikan motivasi dan sumber inspirasi kepada semua guru untuk meningkatkan lagi kecemerlangan di dalam semua aspek pendidikan.  Semoga para guru kita akan terus mendapat pemeliharaan serta bimbingan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan 1429/2008

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah / 2008 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada Hari Isnin 12 Syawal 1429 / 13 Oktober 2008

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
 TAHUN 1429 HIJRAH/2008 MASIHI
ANJURAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA
HARI ISNIN 12 SYAWAL 1429/13 OKTOBER 2008

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Hari Raya Fitrah yang mubarak.

Kehadiran Hari Raya telah menjanjikan limpah kurnia besar dari Allah untuk kita umat Islam.  Ia juga merupakan Hari Suci, dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah.  Dalam bahasa, salah satu makna fitrah itu ialah ‘agama’ iaitu Agama Islam yang suci.  Kemudian, ia dihubungkan pula dengan pengeluaran zakat fitrah.  Zakat adalah bererti sedekah atau pembersihan terhadap diri dan juga terhadap harta.

Syari’at zakat turut menjadi landasan memperkukuh ummah.  Dengannya, pembelaan terhadap golongan yang daif dapat direalisasikan.

Begitulah antara lain rahsia zakat.  Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari mempunyai pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian.  Kita juga mempunyai kelompok fakir miskin, golongan remaja yang menjadi magsa dadah, mangsa bencana alam dan seumpamanya.

Namun kita bersyukur kerana masih mempunyai anggota masyarakat yang prihatin, yang sentiasa bersedia untuk menyumbangkan khidmat bakti bagi membantu golongan-golongan ini.  Di antara tanda keprihatinan itu ialah penunaian zakat oleh orang-orang Islam.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan sukarelawan dan rakan-rakan strategik kepada Yayasan, iaitu dua kumpulan yang gemar membantu dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan.  Kepada mereka ini, beta ucapkan tahniah dan penghargaan yang ikhlas.

Para remaja dan belia amat perlu didedahkan kepada sikap kesukarelawan seperti ini.  Ia akan memberkan suntikan kesedaran kepada generasi muda untuk lebih peka dengan nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping juga akan menipiskan sikap mementingkan diri sendiri di kalangan mereka.

Pembentukan sikap yang besar ini sangatlah mustahak, terutama di zaman yang amat pesat dengan pembangunan ini.  Kita tidak mahu pembangunan itu akan menjadikan budaya kita lemah.  Budaya orang Brunei ialah budaya muafakat dan budaya tolong-menolong.  Ia perlu kuat dan terus diamalkan, bukan seperti di kebanyakan bahagian dunia hari ini, budaya seperti ini sudah agak lemah, digantikan oleh budaya berlepas tangan dan budaya nafsu-nafsi.

Berdasarkan semangat muafakat serta sikap mengambil berat inilah, maka baru-baru ini beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Kebangsaan Isu Sosial,  untuk menangani masalah dan isu sosial yang sangat merunsingkan, yang juga akan berperanan bagi menyelaras program-program yang dirancang oleh agensi-agensi yang terlibat supaya lebih berkesan dan teratur.

Sehubungan dengan itu, beta juga menyambut baik inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menubuhkan Unit Sukarelawannya.  Beta difahamkan, sejak penubuhannya tahun 2005, unit ini sekarang telah mempunyai ahli seramai 564 orang, yang terdiri daripada para belia dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.  Unit ini tentu saja sudah mempunyai rancangan-rancangannya yang telah atau sedang dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai sebuah institusi sosial, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyedari, bahawa ia tidak dapat bergerak sendirian tanpa sokongan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta serta lain-lain badan di luar kerajaan.  Dalam makna, Yayasan memang memerlukan kerjasama melalui pendekatan rangkaian strategik dengan agensi-agensi dan badan-badan tersebut, khasnya dalam memastikan keberkesanan pengurusan dan penyaluran bantuan-bantuan sosial kepada masyarakat.  Alhamdulillah, sejauh ini beta melihat, Yayasan telah pun menikmati kerjasama tersebut.

Apa yang kita buat ini, menepati tradisi kebanyakan institusi-institusi sosial di seluruh dunia.  Mereka itu telah mengendalikan program-program kemasyarakatan mereka melalui pendekatan yang dipanggil pendekatan strategik atau ‘strategic alliances’.  Melalui pendekatan inilah, kepakaran, sumber tenaga manusia dan sumber kewangan boleh digunakan secara maksima untuk pembangunan yang berkesan.

Di negara kita, tidak kurang agensi-agensi dan badan-badan yang terlibat dengan program-program kemasyarakatan.  Malah juga pihak-pihak individu yang prihatin.

Isu kemasyarakatan yang sering disebut-sebut, khasnya oleh media-media massa ialah isu kemiskinan.  Agensi-agensi yang berkaitan telah turut menangani masalah ini dengan program-program mereka yang bermacam-macam, dengan fokus yang sama, iaitu mahu meringankan beban kemiskinan tersebut.

Pada hemat beta, isu kemiskinan di negara ini belumlah separah di tempat-tempat lain di luar negara.  Ia mungkin dapat dikendalikan dengan lebih efektif melalui kaedah-kaedah praktikal yang bersesuaian dengan keadaan di negara ini.  Cuma saja barangkali, kita ini belum lagi menemukan atau belum mahu mencuba kaedah-kaedah tersebut.

Salah satu cara yang telah pun dikenal pasti ialah melalui penggunaan sumber alam oleh manusia, di mana anggota masyarakat yang miskin adalah sebahagian daripada kelompok tersebut.

Dalam konteks ini, beta tertarik membaca The World Bank’s World Development Report 2007, yang menyatakan, bahawa bidang pertanian adalah mampu mengurangkan kadar kemiskinan secara efektif sebanyak empat kali ganda, berbanding sektor ekonomi yang lain.  Ini tentu saja boleh menyuntik minda kita sebagai salah satu kaedah yang dapat dikembangkan bagi mengatasi masalah kemiskinan, di samping lain-lain kaedah lagi.  Tinggal saja kita ini, mahu ataupun belum mahu lagi mencubanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1429 Hijrah / 2008 Masihi

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1429 Hijrah / 2008 Masihi
TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULATAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA HARI RAYA ‘IDILFITRI TAHUN
1429H/2008M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadeen, Wa’ala ‘Aalihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd,

Kedatangan Syawal kita sambut dengan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid adalah semboyan ‘kejayaan’. Dalam makna, kita sekarang telahpun berjaya, alhamdulillah.
Berjaya dalam perkara apa?
Kita berjaya dalam perkara ‘menta’ati Allah’, melalui ibadat berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan.

Mengapa kepatuhan kita melaksanakan ibadat ini dipanggil kejayaan? Kerana puasa itu bukanlah perkara mudah, tetapi amat berat. Ia menyalahi kebiasaan, dan malah bertentangan dengan naluri dan nafsu manusia, terutama kebiasaan dan naluri makan minum.
Memang tidak siapa yang mahu lapar tanpa makan dan minum. Lebih-lebih lagi dengan senghaja melaparkan diri.

Kerana itu, tidak diragukan lagi, ibadat puasa adalah ujian paling getir bagi setiap individu muslim. Ia memerlukan ketabahan dan keyakinan. Barangsiapa yang tabah dan yakin, dialah yang akan berjaya.
Benar, ia berat dan getir. Tetapi orang yang tahu rahsianya, berat dan getir itu tidak lagi menjadi rintangan, lebih-lebih lagi kalau orang tahu, bahawa menurut sebuah hadis, syurga adalah bergembira dan berhias kerana kedatangan bulan Ramadhan.

Allah Ta’ala juga berseru pada setiap malam di bulan Ramadhan : Adakah sesiapa yang meminta? Aku akan beri dia. Adakah sesiapa yang bertaubat? Aku akan terima taubatnya.

Ini semua menjadi alamat bertapa mulia dan berkatnya bulan Ramadhan itu.

Di dalam buln ini juga terdapat satu malam, dinamakan Malam Qadar, atau dalam bahasa al-Qur’an: Lailatul Qadar. Amalan pada malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan yang dibuat pada bukan Malam Qadar.

Orang-orang Islam semuanya mengharapkan Lailatul Qadar. Kita di Brunei juga tidak terkecuali. Kita, telahpun menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan al-Qur’an dan tarawih. Semogalah satu malam dari malam-malam yang kita hayati itu ialah Malam Qadar.

Sekarang, kita berada pula diambang raya. Allah Yang Maha Pemurah terus sahaja membukakan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beraya. Menurut maksud sebuah hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang menghidupkan dua malam hari raya dengan ibadat, maka tiadalah mati hatinya pada hari yang dimatikan segala hati.

Ini, merupakan isyarat jelas, bahawa hari raya juga hendaklah turut diisi dengan ibadat, bukannya dengan hanya suka-suka kosong atau hiburan-hiburan yang melekakan.

Berkata ulama ahli hikmah : hari raya itu mengandungi iktibar dan pengajaran, diantaranya, apabila berlalu Ramadhan dan menjelang Syawal, adalah itu umpama seorang yang apabila mati, akan pergilah dunianya dan datang pula akhiratnya. Apabila mendengar bedil serta sorak-sorai dihari raya, maka janganlah lupa, bahkan sentiasalah ingat akan tiupan sangkakala israfil di hari Kiamat kelak.

Demikian, semua hari-hari yang dilalui itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri, lebih-lebih lagi hari-hari yang disyari’atkan, seperti Hari Raya, Hari ‘Arafah dan lain-lain.

Kita janganlah mengabaikan hikmah-hikmah itu, kerana ianya membawa kebaikan yang bukan sedikit, sama ada kebaikan untuk dunia, mahupun lebih-lebih lagi kebaikan diakhirat.

Oleh itu, didalam perkara hari raya, disamping tidak mencuaikan ibadat, kita juga dituntut supaya jangan menjerumuskan diri kepada perkara-perkara sia-sia yang menyalahi ugama, seperti pesta-pesta serta hiburan-hiburan yang tidak bermoral, pembaziran dan seumpamanya.
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahil Hamd,

Disa’at yang bersukur baik ini, Beta dan keluarga Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri kepada semua rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana sahaja mereka berada. Semoga kita semua serta Negara sentiasa berada dalam aman, makmur dan selamat dibawah pemeliharaan Allah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara 1429H/2008M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1429H/2008M Pada Hari Rabu (Malam Khamis) 17 Ramadan 1429 / 17 September 2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1429H/2008M

PADA
HARI RABU (MALAM KHAMIS)
17 RAMADAN 1429
17 SEPTEMBER 2008

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadeen, Wa’ala ‘Aalihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur dapat bersama-sama di majlis yang berkat ini.

Tarikh dan peristiwa Nuzul Al-Qur’an kita sambut pada setiap tahun.  Kita memperingatinya sebagai tanda mensyukuri rahmat Allah Subhanahu Wata’ala yang menurunkan Al-Qur’an kepada Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.  Al-Qur’an adalah warisan yang terpelihara, yang dijamin sendiri oleh Allah akan keselamatannya.  Kerana itu, sungguhpun ia sudah berusia lebih dari seribu tahun semenjak diturunkan, namun keasliannya tetap kekal tidak pernah tergugat.  Maha benarlah firman Allah di dalam Surah Al-Hijr ayat 9, tafsirnya:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya.”

Mengapakah Al-Qur’an dipelihara?  Tentu saja untuk memberi peluang kepada kita umat manusia untuk terus mendapatkan manfaat daripadanya.  Bukankah Al-Qur’an itu cahaya yang menerangi semua jalan dan bentuk kehidupan?  Tanpa Al-Qur’an kita tidak akan memperolehi cahaya tersebut.

Jadi nyatalah Al-Qur’an itu suatu rahmat dan nikmat untuk kita.  Ia menjadi bukti betapa kasihnya Allah terhadap para hamba, dengan membekalkan pedoman yang luhur ini.

Beta amat gembira dan selesa dengan suasana di sepanjang bulan ini, yang meriah dengan Majlis-majlis Tedarus Al-Qur’an yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan khasnya.  Ia adalah satu trend terpuji yang mencerminkan kepimpinan sihat.

Kita dengan Al-Qur’an bukan lagi merupakan satu pilihan, tetapi adalah keutamaan dan kemestian.  Kerana apa yang dibaca dari Al-Qur’an itu, akan melahirkan ketenangan, sedang ketenangan menjadi punca kebahagiaan.  Yang diamalkan pula menjadi kebajikan, sedang yang disuruh dan ditegahnya menjadi rahmat dan peringatan.

Itulah Al-Qur’an.  Ia petunjuk sepanjang masa.  Ia juga perisai yang menolak segala kejahatan syaitan dan hawa nafsu, di samping penglipur lara bagi jiwa yang runsing.

Oleh itu, jadikanlah ia teman.  Gemarkanlah diri membacanya, dan malah sukakanlah hati mendengar bacaan-bacaan orang lain yang membaca.  Semua ini menghasilkan ganjaran pahala.

Ingatlah, jika dada telah dipenuhi oleh Al-Qur’an, maka kita insya-Allah, tidak akan sesat atau disesatkan.  Kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ada bersabda, ertinya:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang teguh kepadanya, iaitu Kitab Al-Qur’an dan As-Sunnah.”

Ini merupakan petunjuk jelas, bahawa ‘jalan kebenaran’ itu hanya ada pada Al-Qur’an dan As-Sunnah, di mana selain itu, tidak ada jaminan untuk memperolehinya.  Yakni apa pun nama kitab yang terkarang, tidaklah mampu menandingi Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah perlembagaan daripada Allah, sementara perlembagaan yang dicetuskan oleh minda manusia, mungkin sahaja tidak lebih dari setitik air di lautan.

Begitulah keagungan Al-Qur’an, sayugia kita jangan lalai dari mengambil manfaat daripadanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakuh.

***

Hari Belia Kebangsaan 2008

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan pada Hari Sabtu, 30hb Rejab 1429 bersamaan 02hb Ogos 2008

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI BELIA KEBANGSAAN
 
BERTEMPAT
DI STADIUM TERTUTUP
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH
 
PADA
HARI SABTU 30 REJAB 1429/2 OGOS 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Aalaa Umuriddunyaa Waddeen. Wassalatu Wassalamu’Aalaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammad Wa’alaa ‘Aalihee Wasahbihee Ajmaeen.  Waba’du.

Beta bersyukur kerana sekali lagi dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini.  Kepada para belia, beta mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Kebangssan 2008.  Beta juga merakamkan penghargaan terima kasih di atas sumbangan khidmat bakti para belia kepada negara. 

Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan adalah wadah untuk menilai pencapaian matlamat pembangunan belia ke arah Belia Brunei Cemerlang seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Negara. ‘Belia Cemerlang’ ialah belia beriman, berilmu, bertanggungjawab dan cekal.

Kita semua menyedari, untuk mewujudkan belia cemerlang adalah memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk individu, keluarga dan masyarakat.  Tambahan pula, kesan kederasan arus globalisasi masa kini, telah menimbulkan pelbagai cabaran serta hambatan dalam usaha mewujudkan belia cemerlang itu.  Ini, termasuklah cabaran-cabaran dalam bidang pendidikan dan pekerjaan. 

Kerana itu, para belia tidak ada pilihan lain kecuali sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan dan kemahiran.  Hanya dengan cara ini sahaja seseorang dapat diharapkan untuk menjadi belia yang cemerlang.
Beta percaya belia pada hari ini, dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada pelbagai institusi pendidikan, sama ada di dalam mahupun di luar negara, akan berupaya membuat pilihan terbaik lagi bijaksana dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut. 

Sempena Sambutan Hari Belia ini, beta mengharapkan agar para belia akan terus melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan lagi semangat ingin maju dan bertanggungjawab dalam semua bidang kehidupan yang diceburi.

Sebagai tunas bangsa, penglibatan para belia dalam proses pembangunan negara sangatlah bermakna.  Beta amat berbangga kerana telah ramai para belia yang telah memperolehi kelulusan tinggi, baik dalam bidang profesional mahupun dalam bidang vokasional.  Mereka ini tentu saja mampu untuk menjana dan memperkasa pembangunan negara.  Tunas bangsa seperti inilah yang kita perlukan demi masa depan bangsa dan negara yang kita cintai ini. 

Dalam kita meraikan Hari Belia ini, kita janganlah meminggirkan golongan belia yang kurang bernasib baik.  Mereka ini memerlukan perhatian dan bimbingan daripada kita untuk menjadi insan yang dapat sama-sama menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.

Beta berharap agensi-agensi yang bertanggungjawab akan memberikan pemedulian khusus kepada golongan belia berkenaan dengan menyediakan peluang dan harapan melalui program-program bersepadu, seperti program-program peningkatan keyakinan jati diri dan lain-lain.  Melalui program-program sedemikian, golongan belia yang kurang bernasib baik ini akan merasa dihargai dan juga berpeluang untuk sama-sama menyumbangkan jasa bakti mereka. 

Di samping giat mengikuti perkembangan dan menambah ilmu, beta sukacita mengingatkan supaya para belia kita jangan melupakan kemurnian adat resam dan identiti bangsa yang diwarisi turun-temurun.  Orang Brunei terkenal dengan kemurnian budi pekerti dan berhemah tinggi.  Nilai murni budaya ini perlu ditanamkan dalam diri belia kita, kerana ia mencerminkan keluhuran dan ketinggian bangsa.

Beta juga ingin mengingatkan supaya para belia sentiasa siap siaga untuk bersaing dan tabah menghadapi risiko, kerana kejayaan itu tidak akan datang bergolek tetapi melalui kerja keras dan usaha yang cekal. 
Insya-Allah jika ramai para belia mempunyai istiqamah dan tanggungjawab menghadapi sebarang cabaran dan saingan, maka negara akan lebih mudah menuju jalan gemilangnya dengan izin Allah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Isra' Dan Me'raj

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan  Isra' Dan Me'raj Tahun 1429H/2008M pada Hari Rabu, 27hb Rejab 1429 bersamaan 30hb Julai 2008

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ TAHUN 1429H/2008M
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

PADA
HARI RABU 27 REJAB 1429/30 JULAI 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin.,Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een. Waba’du. 

Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri majlis memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh dengan hikmah dan pengajaran ini.

Satu contoh indah dari peristiwa tersebut ialah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertemu dengan suatu kaum yang bercucuk tanam dan juga menuai pada hari yang sama.  Setiap kali tanaman dituai, ia tumbuh semula.  Dituai lagi dan tumbuh pula sampai tidak putus-putus. 

Peristiwa ini adalah merupakan gambaran orang-orang yang berjuang di jalan Allah, mereka itu beroleh pahala yang lumayan yang tidak berkesudahan.

Menyebut peristiwa bertanam dan menuai dalam kisah ini, mengingatkan kita lagi kepada isu pemakanan dunia sekarang.  Makanan itu boleh menjadi punca kebaikan dan juga keburukan.  Bila mana makanan mencukupi, maka ia akan membawa kepada kebaikan, tetapi sebaliknya, apabila ia kurang atau tidak ada, maka akan berlakulah huru-hara dan kebinasaan. 

Jadi memang cantik dan tepat sekali gambaran yang dipaparkan oleh Allah menerusi peristiwa Israk dan Mikraj itu.

Menyebut mengenainya, kita jadi terpanggil untuk terus melihat isu krisis makanan yang sedang mengancam dunia pada masa ini.  Kita wajar fokus untuk memberikan perhatian terhadapnya. 

Bahkan, usaha juga perlu, selaku ikhtiar.  Kerana agama juga adalah menyuruh berikhtiar.

Ini adalah selaras dengan kisah yang pernah berlaku, yang dipaparkan oleh Al-Qur’an, yang menyingkap peristiwa genting di zaman Nabi Allah Yusuf ‘Alaihissalam, bagaimana kerajaan dan rakyat dikehendaki supaya bersegera bercucuk tanam dengan cara besar-besaran bagi menghadapi krisisi makanan yang diramalkan akan berlaku akibat daripada kemarau panjang yang bakal menimpa negara. 

Yang kita atau dunia kita sekarang, bukan lagi setakat di tahap ramalan, tetapi sudah benar-benar berlaku.  Menurut fakta bernombor, ada sekitar 854 juta penduduk dunia sekarang sedang mengalami kelaparan, di mana bilangan tersebut terus bertambah empat (4) juta orang pada setiap tahun. 

Tidakkah ini bermakna, dunia dan penduduknya sedang  di ambang bahaya?

Maka oleh itu, beta tidak bosan-bosan untuk menegaskan bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras.  Pastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.

Pokoknya, peningkatan itu sangat perlu, sekurang-kurangnya untuk mengurangkan pergantungan kita kepada import yang terlalu besar.  Kita perlu cepat mengatasi peningkatan yang terlalu perlahan. 

Mudah-mudahan perhimpunan kita pada hari ini yang disempenakan dengan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, akan menyuntik kita untuk lebih berdaya maju, khasnya di bidang yang sedang mendapat perhatian istimewa dunia hari ini, iaitu bidang penghasilan makanan atau pertanian.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Ilmu 2008

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu 2008 Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-62 Tahun pada Hari Sabtu, 23hb Rejab 1429 bersamaan 26hb Julai 2008
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 SEMPENA
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2008
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-62 TAHUN
 BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS
 PADA
23 REJAB 1429 BERSAMAAN 26 JULAI 2008
 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een.  Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menghadiri Majlis Ilmu pada tahun ini. 

Beta amat bergembira kiranya ia dilihat sebagai acara keraian yang penting dalam musim perayaan sambutan Hari Keputeraan beta sebagai wadah menghidangkan maklumat dan ilmu.

Ilmu adalah milik Allah dan Allah mengurniakan martabat yang tinggi kepada hamba-Nya yang memiliki ilmu.  Ilmu ialah faktor tunggal yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang.  Kerana itu Islam sangat mementingkan ilmu. 

Prinsip mesti berilmu telah menjadikan Islam sebagai penerang kehidupan.  Orang-orang Arab menjadi bangsa yang dihormati ialah apabila mereka didatangi oleh Islam.  Eropah pula bangun daripada tidur apabila Islam sampai di Sepanyol, beralih dari the dark ages ke era sains dan teknologi.  Dengan mementingkan ilmu, makanya umat Islam pernah melahirkan wisdom di Madinah, Damsyik, Qurduba, Baghdad, Kaherah dan Istanbul.

Pada hemat beta, Majlis Ilmu adalah acara yang berfaedah dan perlu dipelihara.  Daripadanya akan didapat maklumat-maklumat berguna, melalui penglihatan dan pendengaran.  Para pakar dan intelek berperanan menyumbang fikiran dan kajian, sementara yang lain-lain boleh mengaut manfaat daripadanya. 

Mengenai tema pula.  Beta sangatlah tertarik dengan ungkapan tema Majlis Ilmu pada tahun ini yang berbunyi:  Menghayati Negara Zikir.

Beta memang berazam untuk melihat Brunei Darussalam menjadi Negara Zikir.

Suka beta tegaskan di sini, bahawa azam beta ini bukanlah retorik.  Tetapi bersumber dari keyakinan mendalam bahawa Negara Zikir itu akan menjadi ‘tuah’ kepada semua, kerana ia pasti disukai oleh Allah, Tuhan Maha Pencipta, dan akan mendapat rahmat serta pertolongan-Nya. 

Dengan konsep Negara Zikir, kita insya-Allah, akan membangun negara dan kehidupan, dengan perkara-perkara yang dipandang baik serta bagus oleh Allah dan juga oleh manusia.  Kita akan usahakan kecemerlangan dengan konsep ini.

Ertinya, anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, orang teknikal kita cemerlang, doktor kita cemerlang, pengusaha kita cemerlang, pentadbir kita cemerlang, pemegang polisi kita cemerlang, pekerja kita cemerlang, pendeknya semua kita ini adalah cemerlang kerana keramah dan berkat zikir (ingatan kepada Allah Ta’ala). 

Cuma syarat terpenting di sini, semua pihak mestilah sama-sama memahami characteristic Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya, supaya kita benar-benar meyakininya sebagai acuan dan landasan yang sangat-sangat kita perlukan.

Untuk itu, beta mengambil maklum bahawa satu seminar telah pun diaturkan untuk mendengar apa-apa jua buah fikiran dan huraian mengenai Negara Zikir, yang akan disampaikan oleh para pakar yang diundang khas daripada dalam dan luar negara. 

Beta ucapkan Selamat Berseminar.

Dengan mendahulukan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Alhamdulillaah, Allahumma Salli ‘Alaa Sayyidinaa Muhammad, Wa ‘alaa Aali Sayyidina Muhammad, beta rasmikan Majlis Ilmu 2008 dengan tema ‘Menghayati Negara Zikir’. 

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Hari Keputeraan KDYMM Ke-62 Tahun

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-62 Tahun pada Hari Selasa, 12hb Rejab 1429 bersamaan 15hb Julai 2008

TITAH
  KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
  NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-62 TAHUN

PADA HARI SELASA
  12HB REJAB, 1429
  15HB JULAI 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabiheee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een. Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, diatas limpah rahmat-Nya mengizinkan Istiadat pada pagi ini berjalan dengan baik dan sempurna.
Mula-mula Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para tetamu khas Beta, yang telah sudi meluangkan masa hadhir dalam istiadat meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang Ke-62.
Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang sama kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada Beta dan keluarga bersempena dengan perayaan ini.
Mengimbas beberapa tahun kebelakangan, kita telah menyaksikan pelbagai kejadian berupa kemelut-kemelut dan malapetaka yang melanda dibeberapa negara, khasnya di rantau ini.
Semua ini membawa kita lebih bersyukur kerana negara kita telah ditakdirkan selamat daripada musibah-musibah yang memeritkan itu.

Kita yakin, keselamatan ini dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala adalah kerana keberkataan yang dimiliki oleh negara ini sendiri, ‘Negara Zikir Brunei Darussalam.’
Pada tahun ini, kita sama-sama menyaksikan dan mengalami kenaikan harga minyak dipasaran global. Dunia jadi bergolak kerananya.
Namun begitu, alhamdulillah, Kerajaan Beta masih dapat mengekalkan harga domestik minyak kenderaan ditahap yang sedia ada.

Memang kita juga menyedari, dengan kenaikan harga minyak, jumlah subsidi minyak juga turut meningkat. Pada tahun 2007, tahapnya telah mencapai $200 juta ringgit, yang bererti pada tahun ini, subsidi itu terus meningkat pula keparas yang lebih tinggi lagi.
Oleh yang demikian, selaras dengan langkah berjimat cermat Kerajaan untuk terus mengekalkan mekanisme subsidi ini, maka setiap anggota masyarakat juga perlulah sama-sama memikul tanggungjawab mengamalkan penjimatan khasnya dalam penggunaan minyak kenderaan.

Disamping itu, jangan juga diabaikan usaha-usaha membanteras gejala penyeludupan minyak oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Juga tidak kurang pentingnya, ialah penjimatan penggunaan tenaga letrik seharian, yang secara langsung dijana dari sumber penghasilan gas asli negara.
Juga sedang hangat diperkatakan ialah isu kenaikan harga barangan, khasnya barang-barang keperluan asas.
Ia adalah merupakan fenomena global, dimana tidak ada sebuah negara pun yang terhindar daripadanya.

Alhamdulillah, rakyat dan penduduk di negara ini telah menghadapi isu tersebut dengan penuh sabar lagi matang.

Bagaimanapun untuk kebaikan bersama, Beta ingin mengingatkan supaya semua pihak pembekal dan peniaga tidak akan menaikan harga barangan mereka secara sewenangnya-wenang dan sesuka hati mereka sahaja.

Selain itu, kita juga perlu peka dengan krisis permakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluar beberapa jenis bijiran asasi, termasuk beras, telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.

Dan menambah kalut lagi apabila beberapa negara pengeluar terpaksa mengeluar stok simpanan beras mereka untuk diagihkan kepada rakyat masing-masing.

Kebimbangan semakin meningkat apabila Badan Dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan penduduk dunia.

Pertambahan penduduk dunia diramal meningkat dari 6.5 bilion (2006) kepada 7 bilion (2012). Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan permakanan yang terus merosot.
Ini ditambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran. Ini juga menjadi ancaman baru kepada kehidupan.

Kemudian dimerata tempat di dunia, terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat, seperti gempa bumi, angin kencang dan banjir besar, yang semuanya itu, turut menjejaskan pula sumber permakanan.
 
  Kerajaan Beta telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah diberikan subsidi sekian lama.
Sama seperti minyak kenderaan, perbelanjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih saja ditahap biasa.

Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan. Lebih-lebih lagi beberapa buah Negara pengeluar telah dilihat menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain.
Maka dengan sebab itu, Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ‘ihsan alam’ luar negara untuk mendapatkan beras, walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.

Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini.

Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ketahap 100 peratus mencukupi, mangapakah kita, yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?

Pada ingatan Beta, perkara ini telahpun berulang kali Beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.
Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya.

Menyebut tentang usaha menjana ekonomi negara, kita perlu menggembeling tenaga serta melipatgandakan usaha dalam menangani semua bentuk keperluan yang ada.

Untuk itu, kita mestilah mengemaskinikan segala perancangan dan perlaksanaan sumber tenaga manusia serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Sebagai contoh, Kerajaan Beta telah menyediakan peruntukan sebanyak hampir $28 juta ringgit dari Dana Sumber Tenaga Manusia untuk Skim Latihan bagi Program Khas Graduan Mencari Pekerjaan dan Program Khas Lepasan Sekolah.

Ini diharapkan dapat membantu mengurangkan pergantungan sektor swasta kepada tenaga kerja luar negeri, dan pada waktu yang sama, dapat mengurangkan juga kadar pengangguran dalam negara.

Dimasa akhir-akhir ini, terdapat perbincangan mengenai keselamatan sosial, khasnya membabitkan penyaraan diri dan keluarga sesudah berakhirnya tempoh perkhidmatan, sama ada dalam perkhidmatan awam, sektor swasta atau pekerjaan sendiri.

Kearah ini Kerajaan Beta sedang meneliti mekanisme yang lebih menjamin bagi kehidupan dihari tua rakyat dan penduduk, dan memandu perlaksanaan serta penambahbaikan dasar atau sistem persaraan di negara ini.
Perancangan bagi mengubah cara hidup daripada masyarakat pengguna (consumer society) kepada masyarakat penabung (saving society) juga haruslah dijana lebih awal.

Disudut pembangunan pula, Beta ingin menjurus kesatu pendekatan dari aspek pengawalan pembuangan sisa-sisa pepejal dan sampah sarap, termasuk pembuangan kimia dan bio-kimia berbahaya.

Dari pengamatan Beta, sudah tiba masanya isu ini kita tangani dengan lebih serius. Kerana bukan sedikit akibatnya jika kita lambat atau lalai dari memelihara alam sekitar kita.

Tidak ada untungnya membiarkan sampah berlonggok-longgok tanpa disempurnakan pembuangan dan pelupusannya.

Status negara maju yang kita idam-idamkan tidak akan dicapai jika pengurusan sampah sarap pun masih ditahap lembab dan lemah.

Oleh yang demikian, agensi-agensi berkaitan hendaklah lebih tegas, cepat dan berpandangan jauh dalam mengatasi perkara ini.

Orang ramai juga amat perlu memberikan kerjasama erat untuk menggunakan tempat-tempat pembuangan sampah yang telah disediakan.

Dengan adanya tindakan bersepadu demikian itu, insya Allah, kita akan dihadiahkan dengan jaminan udara serta persekitaran yang bersih lagi sihat.

Kesihatan sungguh berharga dalam hidup. Ia mesti dibina dan dijaga.
Diantara cara membina dan menjaga kesihatan itu, ialah melalui pengawalan permakanan dan melazimkan aktiviti-aktiviti bersenam.

Maka sejajar dengan pengawalan permakanan, Beta amatlah mengalu-alukan pengawalan penggunaaan dan pemasaran produk-produk tembakau.

Dengan Perintah Tembakau 2005 yang telah berkuatkuasa mulai Jun yang lalu, Beta berharap, kadar penyakit yang berpunca dari penggunaan tembakau akan berkurangan.

Apabila ini berlaku, bermakna dengan sendirinya, kualiti kehidupan dan kesihatan di negara ini bertambah baik dan meningkat.

Di negara kita, menangani tabi’at merokok, bukanlah satu isu sukar, seperti yang dialami oleh negara-negara lain. Kerana kita tidak ada sebarang kepentingan langsung dengan rokok. Kita boleh tentukan sikap dan pendirian kita pada bila-bila masa sahaja.

Beta rasa, kita adalah cukup mampu untuk menjadi negara terulung di dunia menolak rokok. Kita juga jangan lupa, hukum merokok di negara ini adalah ‘haram’.

Tidakkah kita menyedari, dengan kurangnya penyakit-penyakit serius yang disebabkan oleh rokok, akan turut mengurangkan pula perbelanjaan negara dalam bentuk kos pemberian perkhidmatan perubatan?

Satu lagi bidang utama ialah pendidikan. Kerajaan Beta sekarang telah pun mengemaskinikan perancangan kearah sistem pendidikan kebangsaan dengan memperkenalkan Sistem Pendidikan Abad 21 atau SPN 21. Perlaksanaannya akan bermula pada awal tahun depan, insya Allah.

Ia dihasratkan untuk menyahut cabaran-cabaran pembangunan insan dan ekonomi serta juga mendukung aspirasi Wawasan Negara.

Dalam arena antarabangsa pula, hubungan negara kita dengan negara-negara jiran dan sahabat adalah semakin erat dan meningkat. Ini, ialah kerana dasar luar kita yang berprinsip lagi pragmatik.

Komitmen kita utuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau telah dikukuhkan lagi oleh penandatanganan “Piagam ASEAN”, semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura, tahun lepas.

Kerajaan Beta juga, menerusi perjanjian perdagangan dua hala mahu pun keahlian kita serta kerjasama-kerjasama serantau di dalam ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk APEC, OIC, Commonwealth, WTO dan seumpamanya, akan terus dipertingkatkan untuk membuka peluang-peluang pasaran baru.

Demikian juga Kerajaan Beta tidak akan mengabaikan keselamatan, malah akan bersama-sama memelihara dan meningkatkannya, baik diperingkat serantau mahu pun sejagat.

Beta menyedari tentang cabaran-cabaran keselamatan diabad ini adalah amat sukar untuk diramal. Oleh itu, keupayaan negara dalam menanganinya adalah suatu keutamaan.

Diplomasi dan kerjasama pertahanan juga sentiasa diperluas melalui forum-forum dan latihan-latihan, yang mengwujudkan perkongsian pandangan bermanfa’at mengenai masalah-masalah keselamatan bersama.

Semoga dengan keprihatinan semua pihak terhadap keselamatan, negara kita dan dunia pada umumnya akan menikmatinya dengan izin Allah.

Disa’at yang berbahagia ini, Beta dengan tulus ikhlas ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan Awam Kerajaan, Pasukan-Pasukan Keselamatan, mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan sekalian yang hadhir atau pun tidak, atas sokongan dan sumbangan serta khidmat bakti didalam apapun bentuknya kepada Kerajaan Beta.

Begitu juga Beta tidak lupa merakamkan ucapan yang sama kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan, sama ada diperingkat daerah atau kebangsaan, atas usaha mereka yang gigih pada menjayakan perayaan Hari Ulang Tahun Beta Ke-62 tahun ini.

Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.
 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1429

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi  Tahun 1429 Hijrah/ 2008 Masihi Pada 24 Jamadilawal 1429 / 29 Mei 2008 Di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN BAGI
TAHUN 1429 HIJRAH/ 2008 MASIHI

PADA 24 JAMADILAWAL 1429 / 29 MEI 2008
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk terus mensyi’arkan Ialam selaku agam rasmi negara, yang kerananya kita terus beroleh keberkatan.

Pada malam ini kita muliakan lagi Al-Qur’an  dan pembaca-pembacanya.

Tidak syak lagi, musim pertandingan di semua peringkat, merupakan perangsang kepada mereka yang ingin menyertai pertandingan dan juga mempelajari Al-Qur’an secara bersungguh-sungguh.

Kita berhasrat supaya setiap individu Muslim pandai membaca Al-Qur’an.  Setelah pandai, kita berkewajipan pula untuk membiasakan diri membacanya, dan jika boleh, biarlah pada setiap hari.  Sebab kita mahu supaya Al-Qur’an itu benar-benar bertakhta di hati sanubari kita.  Kepentingannya cukup jelas, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang di dalam hatinya tidak ada sesuatu daripada Al-Qur’an adalah seperti rumah yang rosak.”

Sudah barang tentu kita tidak mahu perkara yang seumpama ini berlaku ke atas kita.  Tetapi apa yang kita mahu, rumah kita itu kukuh dan cantik, bukannya rosak binasa.

Al-Qur’an adalah suluh.  Ia akan membuat kita terjamin memperolehi kehidupan yang baik.  Ia adalah pedoman untuk kita beroleh kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Ini ditegaskan sendiri oleh Allah di dalam Surah Thaha, ayat 2 tafsirnya:

“Tidaklah Kami menurunkan Al-Qur’an itu kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau susah sengsara, melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah dengan menjadikannya pedoman dan sandaran hidup).”

Jadi sehubungan itu, kita amatlah menyesali apabila Al-Qur’an didakwa menganjurkan ajaran yang mengancam keselamatan orang lain dan menghuru-harakan ketenteraman dunia.

Individu yang mendakwa sedemikian itu telah memetik beberapa potong ayat dari tiga surah dalam Al-Qur’an.  Ayat-ayat tersebut ialah ayat 39 dan 60 Surah Al-Anfal, ayat 56 dan 89 Surah An-Nissa’ dan ayat 4 Surah Muhammad.

Dakwaan itu termuat dalam sebuah ‘filem dokumentari pendek’ dan disalurkan menerusi laman-laman web sehingga menimbulkan kontroversi yang meluas.

Individu ini cuba menimbulkan kesangsian terhadap Al-Qur’an, kononnya Al-Qur’an itu menggalakkan peperangan dan pembunuhan.  Dia merujuk kepada beberapa contoh ayat-ayat jihad.

Tetapi tahukah kita, ayat-ayat yang dipetik itu adalah tidak lengkap, di mana yang masih berkaitan dengan ayat sebelum atau selepasnya telah ditinggalkan atau tidak disebut.  Padahal,  ayat-ayat itu perlu dibaca berurutan bersama ayat-ayat sebelum atau sesudahnya, di samping juga mesti mengambil kira hubungan-hubungan khusus ayat, jika ada.

Banyak ayat dalam Al-Qur’an yang tidak wajar diputus-putus atau diambil sebahagiannya sahaja tanpa melihat kepada hubungan ayat itu dengan ayat-ayat sebelum atau sesudahnya, seperti contohnya ayat 4 dalam Surah Al- Ma’un yang berbunyi Fawailul lilmusallin tafsirnya:

“Maka celakalah orang-orang yang sembahyang.”

Jika kita membaca ini sahaja tanpa menghubungkannya dengan ayat lain sesudahnya, nescaya kita boleh sahaja beranggapan, bahawa ibadat sembahyang itu adalah tidak bagus, malah mesti dijauhi kerana ianya membawa kecelakaan.  Adakah ini betul?  Jawabnya:  Sekali-kali tidak!

Tetapi bila mana kita membaca ayat tersebut dan menyambungnya dengan ayat lain sesudahnya, maka barulah kita tahu bahawa orang sembahyang yang dimaksudkan celaka di sini ialah orang yang sembahyang dengan lalai, yang menunjuk-nunjuk supaya dipuji orang dan yang menahan zakat atau bantuan.
Jadi beginilah caranya Al-Qur’an itu dilihat, diperhati dan diselami perutusan serta pengajarannya, bukan dengan memotong-motong atau meringkas-ringkas bagi tujuan memburuk-burukkan Islam dan umat Islam.

Apa pun juga, kita umat Islam sedia menyedari, bahawa segala tohmah atau tuduhan terhadap Islam, khasnya Al-Qur’an, memang tidak akan berhenti.  Ia adalah seperti telah menjadi ketentuan Allah, untuk menguji kesabaran dan kebijaksanaan kita.

Yang penting, keimanan kita janganlah goyah, malah semakin lebar tohmahan-tohmahan itu, semakin kuat pula kita memelihara Islam dan segala macam warisan yang kita anggap mulia.

Salah satu warisan itu ialah Al-Qur’an.  Semua kita khasnya generasi muda, janganlah mengabaikan Al-Qur’an.  Pelajari ia.  Baca dan amalkan ajaran-ajarannya.  Rebutlah semua peluang dan kemudahan yang kita ada untuk mempelajarinya.

Inilah satu langkah paling wajar lagi bijak, sebagai jawapan kita kepada pihak-pihak yang cuba memanipulasi  ayat-ayat Al-Qur’an bagi tujuan-tujuan mereka yang tidak bertamadun.

Sekian sahaja, untuk akhirnya, beta sukacita mengucapkan tahniah kepada semua peserta peringkat pertandingan, khasnya mereka yang sampai ke peringkat akhir kebangsaan ini.  Ketentuan siapa yang menang telah pun ada dan akan diumumkan sebentar lagi.  Beta berharap semua mereka akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu bacaan masing-masing, sehingga ke tahap yang kita cita-citakan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

The 11th Islamic Conference In Dakar

Statement By His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan And Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam At The 11th Islamic Conference In Dakar, Republic Of Senegal  On 13 March 2008
STATEMENT BY
HIS MAJESTY SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN AND YANG DI-PERTUAN
OF BRUNEI DARUSSALAM

AT THE 11TH ISLAMIC CONFERENCE
IN DAKAR, REPUBLIC OF SENEGAL
ON 13 MARCH 2008

Mr. President,
Your Majesties,
Your Highnesses,
Your Excellencies,

I wish to extend my warmest greetings and very best wishes to all our fellow members.

I would like to express my great appreciation to your government and people, Mr. President, for receiving us with such friendship and kind hospitality.  This is in the finest traditions of the faith we share and we are most grateful.

It is also a very special privilege to be here in Senegal.  Your country clearly stands for the values that lie at the heart of our organisation; tolerance and goodwill to all people of all cultures and backgrounds.

We are honoured to be with you and to share our views and our hopes for the future with your people.

Mr. President,

I wish to congratulate Prime Minister Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi for his leadership of our organisation in the last couple of years.  I thank him and his people for all their efforts.

I would also like to express our profound appreciation to the Custodian of the Two Holy Mosques, His Majesty King Abdullah and the people of Saudi Arabia for hosting us at the Third Extraordinary Summit and for the inspiration that he has given to us all in the adoption of the Ten-Year Programme of Action.  Our people in Brunei Darussalam have been truly encouraged by the vision it presents; a united ummah dealing with determination and purpose, the many complex challenges facing us all in the 21st century.
It has given us the most precious gift this organisation can offer to Muslims throughout the world in the future.  That is why we are commited to doing whatever we can to strengthen that confidence in practical form.

In this, we see the most urgent aspects of the Programme of Action as being those which assist member states to achieve economic and social development.  We shall therefore continue to support programmes aimed at alleviating poverty.

Above all, we wish to help in ways that provide governments and their people with the skills, knowledge and means to do this themselves.  That, we feel, will not only help the people cope with the challenges of globalization.  It will also enable our members to benefit from it and to be a significant player in the global economy and the development of all mankind.

As Senegal has so richly demonstrated, the world needs this contribution if it is to be a world in which every person play a part.

Mr. President,

We are pleased to see an increase in the area of trade between OIC members.  We welcome efforts to facilitate greater business transactions as well as encourage more people-to-people contact among us such as through tourism.

This will create greater confidence in what our countries can offer.  In practical terms, we much commend the Islamic Development Bank as well as the Islamic Centre for the Development of Trade and the important works being made to involve other stakeholders in development initiatives.

We must continue to encourage such endeavours.

Mr. President,

We also greatly value the targets set by the United Nations in the Millennium Development Goals.  We feel that these prove a vital measure of our work in the OIC.  Above all, those of our members who are finding it hard to achieve these goals.

All this means that the OIC is clearly aware of its duty to member states to be an organisation that is first and foremost relevant in the minds of our people in their day-to-day lives.  That is why we are pleased that we have all agreed that ‘relevance’ means that we keep up with all new developments that affect the people we represent.

This is the thinking behind the work to revise the charter and much has been put into this effort.  We thank those involved for their contribution.  We believe it should be directed to one over-riding aim.  This is to strengthen peace, unity and a sense of common purpose among all members and between us and the rest of the world.

Having said that, however, Mr. President, may I end by once again confirming our continued support for those of our people for whom that aim still appears so far off.

We still watch from a distance the continuing struggle of our brothers in the Palestine.  That distance, however, does not separate us in spirit.  We offer them our firm solidarity and we shall continue to offer all our support to every effort made to bring their terrible suffering to a just and lasting conclusion.

I thank you once more, Mr. President, and may I express my great appreciation for the honour, privilege and pleasure of being in your country.

Thank you.

The State Banquet In Honour Of The State Visit Of His Majesty King Abdullah II

Speech By His Majesty Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan And Yang Di-Pertuan Of Brunei Darussalam At The State Banquet In Honour Of The State Visit Of His Majesty King Abdullah II And Her Majesty Queen Rania Of The Hashemite Kingdom Of Jordan At Istana Nurul Iman.
 
SPEECH BY
HIS MAJESTY PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN AND YANG DI-PERTUAN
OF BRUNEI DARUSSALAM

AT THE STATE BANQUET IN HONOUR
OF THE STATE VISIT OF
HIS MAJESTY KING ABDULLAH II AND
HER MAJESTY QUEEN RANIA
OF THE HASHEMITE KINGDOM OF JORDAN

AT ISTANA NURUL IMAN ON 13 MAY 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Your Majesty King Abdullah, The Second King of the Hashemite Kingdom of Jordan,

Your Majesty Queen Rania Al Abdullah,

Your Royal Highnesses,

Your Excellencies,

Ladies and Gentlemen.

It is a very great pleasure to receive Your Majesties in Brunei Darussalam again.

This visit like Your Majesties’s earlier ones to our country offers us a very happy opportunity to share many warm memories.

For me personally, it allows me to pay my respects again to Your Majesty’s dear late father whose courage and dedication to his people was an inspiration to me as a young national leader.

Your Majesty’s visit also brings us together as personal friends with much in common in our preparations and training for life in our faith and in the work we have undertaken together in the great international affairs that link our two countries.
And, perhaps, above all, it is a chance for me to thank Your Majesties and the Jordanian people for the friendship and generous hospitality we have always received when visiting the Hashemite Kingdom.

Your Majesties,

This visit, however, is more than a personal one.

It is a state visit.

That means that it is far more than a reunion of friends.

It is a meeting of the governments and peoples of our two countries.

And, in that sense, we offer Your Majesty’s government and people our close cooperation and warm respect.

Your Majesty,

I believe we share these feelings whenever we meet internatuionally.

But I feel they were given an extra dimension when we attended the Extraordinary Summit of the OIC in Mecca in 2005.

On that great occasion, we and all our fellow leaders agreed to accept the great challenges facing the Muslim Ummah in the 21st century.

We produced an Action Plan that we hoped would be far more than words on paper.

We stated that we would not only face these challenges but that we would meet them successfully.

This has committed us, as fellow members of the OIC, to a crucial common task on behalf of the hundreds of millions of people we represent not just those who share our own faith but our people of all backgrounds and historical experiences.

This is why, Your Majesty, we greatly admire the direction you and your government have set for the Jordanian people.

It is one that places Jordan not only on the path of  modern peace and modern progress but also of international goodwill and tolerance, both in your own country and throughout your region.

In these efforts, Your Majesty, the people of Jordan can be assured of the unwavering support of the government and people of Brunei Darussalam.

We see Your Majesty’s leadership as offering the bridge we are also trying to offer between cultures and faiths, between systems of government and between past and future economic realities.

It is directed at bringing people together rather than widening divisions between them.

This, I feel, is the spirit of the Summit in Mecca given real, living form.

It is why we greatly respect the Hashemite Kingdom’s voice in the affairs of its region.

Your Majesties,

The work the people of Jordan are undertaking is one that we ourselves can greatly appreciate.

Like us, they have embraced globalisation.

They see no conflict between their past and the future they wish to share with all people.

Perhaps most important aspects of Your Majesty’s reign have been the economic planning that your government and people have undertaken.

Like Brunei Darussalam, Jordan has recognised the need to do more than passively witness modern change taking place.

It has taken bold steps to help its people take part in that change and try to shape it in their own image.

This has led to a programme of economic diversification which reflects our own in many ways.

By this, I mean the important of a vital public-private sector partnership a new role for traditional natural resources, the promotion of new industries, the need for renewable energy supplies and the acceptance of international free trade.

These are the hallmarks of a new modern economy.
 
And many nations share these goals.

The people of Jordan, however, are seeking to combine them in a special form of development.

It is one that honours a great and glorious past.

It acknowledges the unique place their land has in the history of civilisation.

It is one that preserves its magnificent natural wonders.

And it is one that supports the diverse culture of today through its talented writers, artists and musicians.

These are noble tasks, Your Majesty.

They lie at the heart of the Mecca Plan of Action.

And we admire the people of Jordan for undertaking them.

Even though we are at opposite ends of our great continents we hope that the future will bring continued opportunities for us to add substance to our cooperation.

In this sense, Your Majesty, this visit may be officially and formally a state visit, but I assure you that it is also in every sense a meeting of two peoples who offer each other lasting friendship, cooperation and goodwill.

Thank you.

Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.