Showing posts with label 2007. Show all posts
Showing posts with label 2007. Show all posts

Wednesday, 29 May 2013

Tahun Baru Masihi 2008

Titah Kebawah Dull Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2008.

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuridddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat memasuki tahun baru Masihi 2008 dalam suasana yang memberangsangkan.

Sambil itu juga kita melambaikan tangan kepada tahun 2007 yang telah kita lalui dengan penuh selesa.

Pada lazimnya, tahun demi tahun itu mempunyai ruang-ruangnya yang tersendiri.  Kitalah yang mengisinya dengan aktiviti yang berpatutan dengan keperluan semasa.

Kita tidak akan bersikap menerima apa saja, tetapi mahu - jika boleh – akan hanya menerima apa-apa yang terbaik sahaja.

Maksud beta, tahun-tahun yang kita berada di dalamnya, biarlah merupakan tahun-tahun yang menghidangkan kebajikan,yang penuh dengan keberuntungan.  Kita usahakan ini dengan sekuat tenaga.

Demikianlah, tahun 2008 Masihi, kita hasratkan supaya benar-benar menjadi ‘Tahun Bahagia’ : Tahun keamanan dan kemakmuran sebagaimana juga tahun-tahun yang sebelumnya.

Kita bina ‘Tahun Bahagia’ ini dengan hemah dan kerja keras, bukan dengan berpeluk tubuh.

Kita warnai ia dengan program-program yang bermanfaat, bukan yang sia-sia.

Inilah caranya, setiap kali kita memasuki tahun baru.  Kita bermastautin di dalamnya, bukan dengan duduk-duduk diam atau asyik berseronok-seronok, tetapi perlu terus ligat menggarap kemajuan serta bergerak ke hadapan, bukan berundur ke belakang.

Kita akan memakai konsep ‘kreatif’ : Menghasilkan apa-apa yang perlu dihasilkan, memperbaiki apa-apa yang perlu diperbaiki dan meningkatkan apa-apa jua yang perlu dipertingkatkan.

Melalui konsep inilah kita membangun dan bersaing.

Kita membangun, sebagimana juga orang lain membangun, dengan menggunakan sumber dan mekanisme yang kita ada.  Perkara ini adalah biasa, bukannya luar biasa.

Adapun yang menjadikan pembangunan itu istimewa atau luar biasa ialah bilamana kita berjaya meletakkannya di landasan yang betul, yang menjadikannya terselamat daripada dicemari oleh kerenah-kerenah negatif atau perlakuan-perlakuan curang manusia.

Rata-rata negara dan bangsa di dunia adalah giat membangun, namun penyakit-penyakit sosial dan kemiskinan masih saja mencengkam mereka, mengapa?

Ini tentu saja ada silap dan puncanya.  Pada hemat beta, salah satu daripada puncanya itu ialah rasuah.  Dengan rasuah, semua mekanisme akan jadi lemah dan pincang.  Dan manakala mekanisme lemah dan pincang, segala pembangunan juga jadi pincang.

Jika ini betul, adalah satu amaran kepada kita supaya jangan sekali-kali menjinaki rasuah.

Jangan anggap ‘rasuah kecil’ tidak mengapa, tetapi ingatlah akan risikonya.  Kecil atau besar, sedikit atau banyak, adalah sama-sama bernama penyakit, yang boleh menjejaskan negara.  Negara yang karam dengan rasuh adalah negara yang malang.

Oleh itu, dalam perutusan ini, beta ingin menekankan supaya kita menutup pintu rapat-rapat kepada rasuah.  Apabila kita bersih daripada rasuah, Allah pasti memberkati kita dan negara, kerana bukankah Allah telah mengisytiharkan perang terhadap rasuah itu, sehingga barang siapa yang memberi atau menerimanya, orang itu akan dicampak ke neraka?

Dalam hubungan ini, semua warga Perkhidmatan Awam turut memikul tanggungjawab bagi memastikan hasrat ini tercapai.

Mereka tidak boleh lari dari memimpin dan memberikan kefahaman kepad rakyat tentang tanggungjawab ini.  Dan sehubungan itu mereka juga mestilah menunjukkan contoh bahawa mereka adalah pengurus dan pentadbir yang betul-betul bersih.

Manakala mereka itu bersih, bermakna kerajaan juga adalah bersih.

Inilah yang diharapkan oleh semua kalangan untuk melindungi mereka daripada segala anasir yang tidak bertanggungjawab, khasnya anasir-anasir perasuah dan penerima rasuah.

Beta berharap, strategi-strategi yang kita rancang akan turut mengmbil kira perkara ini.  Kita tidak mahu, ianya cuma indah di atas kertas sahaja, sedang apabila mahu dilaksanakan, rupa-rupanya ‘jentera pelaksana’ itu sedang bermasalah atau sudah lama bermasalah.

Bagaimanapun beta yakin bahawa Negara Brunei Darussalam belumlah terjebak.  Nemaun dengan langkah berhati-hati tidak siapa yang dapat mencela.

Di samping kita memperkemas dan memuhasabah diri, hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan dunia juga mustahaklah dimantapkan.

Ini penting untuk mengekalkan hubungan kerjasama di pelbagai bidang, termasuk untuk membantu mencari peluang-peluang perdagangan dan mempromosi produk-produk Brunei ke luar negara, khususnya di rantau BIMP-EAGA.

Akhirnya beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Beta dan keluarga beta, tidak lupa juga merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2008 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hari Raya 'Idil Adha Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

Rabu, 19hb. Disember 2007 - Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya 'Idil Adha Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

Beta, insya Allah, akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah
Negara Zikir yang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam
perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nya di dalam Surah al-Baqarah
ayat 152, tafsirnya: Kamu ingati aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula.

Majlis Ramah Mesra Bersama Penuntut-Penuntut dan Rakyat Negara Brunei Darussalam

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Penuntut-Penuntut dan Rakyat Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland

TITAH
DI MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI ALMARHUM
SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN
YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DENGAN PENUNTUT-PENUNTUT
DAN RAKYAT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND
BERTEMPAT
DI HOTEL INTER-CONTINENTAL, LONDON
PADA
HARI AHAD 22 ZULQA’EDAH, 1428
BERSAMAAN 2 DECEMBER, 2007
Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat pula bersama-sama dengan para penuntut pada hari ini. Beta berharap perhimpunan kali ini akan mencetuskan semangat baru bagi penuntut-penuntut untuk memenuhi cita-cita mereka masing-masing.

Kehidupan selaku penuntut adalah kehidupan yang tersendiri. Matlamat mereka di peringkat ini cumalah satu saja: Bejaya dalam pengajian. Mereka bukan mencari wang tetapi mencari ilmu.

Mereka belum lagi terlibat dalam perjawatan, atau apa jua jenis pekerjaan, tetapi sepenuh masa dan tenaga menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Inilah ‘sikap’ yang betul. Tetapi apakah semua penuntut memiliki sikap ini?

Pada hemat Beta, sikap begini hanya akan wujud apabila kita mempunyai kesedaran terhadap
masa depan. Namun kesedaran itu bukanlah dating dengan mudah, melainkan kita mesti terlebih dahulu menyiapkan diri untuk menjadi manusia pemikir.

Hanya pemikiran yang tinggi dan matang sahaja yang mampu membawa seseorang itu keambang kejayaan. Janganlah dianggap kejayaan itu ibarat udara yang kita hirup, di mana semua orang dapat menikmatinya dengan percuma, tetapi adalah kejayaan adalah memerlukan pencarian dengan usaha gigih serta titik peluh.

Jadi berasaskan ini, Beta mahu, supaya penuntut-penuntut semuanya menjadi generasi pemikir.

Janganlah turun ke bawah dalam berfikir tetapi naik dan meningkatlah selalu sehingga mencapai taraf pemikir yang baik.

Negara Brunei Darussalam mesti dibangun oleh tenaga-tenaga pemikir untuk memperolehi nilai ‘Negara Baik’ dalam makna yang seluas-luasnya. Negara yang runtuh adalah Negara yang
ketandusan daya berfikir, sekalipun ia kaya dan besar. Kerana apabila daya berfikir merosot, maka sudah pasti, yang akan menggantikannya ialah hawa nafsu.

Definisi ‘Negara Baik’ itu disebut oleh Allah sebagai “Baidatun Thayyibatun”, yakni Negara yang aman, sejahtera lagi makmur. Tanpa adanya unsure-unsur ini bermakna bukanlah itu ‘Negara Baik’ atau “ Baidatun Thayyibatun” menurut perspektif al-Qu’ran.

Kemudian ‘Negara Baik itu pula dilengkapi dengan ungkapan berikutnya, “Warabbun Ghafuur”, yakni yang berdiri kukuh di bawah kerdhaan dan keampunan Allah.

Alhamdulillah, Negara kita Brunei Darussalam telah turut menampakkan cirri-ciri ‘Negara Baik’ itu dengan keamanan dan kemakmuran menjadi identitinya.

Ini tidak syak lagi adalah satu kurnia istimewa kepada Brunei yang jarang-jarang terjadi atau
terdapat di mana-mana jua. Maka oleh itu, peliharalah ia sebaik-baiknya.

Dengan apakah kita memelihara nikmat yang agung ini? Tidak lain, kecuali dengan mensyukurinya.

Beta ingin mengingatkan bahawa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran bukanlah dengan ‘asyik bersenang-lenang dan bermewah-mewah saja, tetapi hendaklah jangan lupa siapa yang ampunya nikmat itu.

Jadi janganlah lupakan Allah. Kita tatang keamanan dan kemakmuran sambil mengingat Allah dengan sebanyak-banyaknya. Orang yang mengingat Allah tidak akan melakukan sesuatu yang
boleh merosakkan keamanan san kemakmuran itu.

Khusus kepada para penuntut, Beta ingin berpesan, supaya terus memelihara ‘sistem nilai’ yang baik dimana saja mereka berada. Bawalah ia kemana-mana jua, insya Allah selamat. Sistem nilai paling luhur adalah ta’at kepada Allah, kepada Rasul-Nya dan kepada Ulil Amri, termasuk juga ibu bapa. Jangan dianaikan semua ini, letakkan ia dilubuk hati masing-masing biar melekat.

Inilah caranya mensyukuri nikmat-nikmat Allah itu. Kita kena jaga semuanya dan kena buat, barulah Allah akan mengekalkan nikmat-nikmat tersebut.

Beta penuh yakin, jika benar penuntut-penuntut kita terdiri daripada ahli-ahli fakir dan kaum cendikiawan sejati, maka mereka tentu saja akan dapat memahami perkara ini, lebih dari apa yang mampu difahami oleh orang lain.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sambutan Hari Pandu Puteri Brunei Darussalam Tahun 2007

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam Sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Brunei Darussalam Tahun 2007

TITAH
KEBAWAH DULl YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK
HAJAH SALEHA BINTI AL-MARHUM PENGIRAN PEMANCHA PENGIRAN ANAK HAJI
MOHAMED ALAM
SEMPENA SAMBUTAN HARI PANDU PUTERI BRUNEI DARUSSALAM TAHUN 2007
PADA HARI AHAD, 11 Nobember 2007,

Bertempat
di Dewan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan,
Jalan Muara,
Negara Brunei Darussalam
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Assalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis yang penuh berkebajikan ini.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam,
serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan. ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, kerana menjemput Beta hadir ke Majlis ini.

Beta telah difahamkan bahawa satu penilaian telah dijalankan oleh World Association of Girl Guides and Girl Scouts ke atas Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam pada tahun ini. Penilaian ini telah menghasilkan satu laporan positif yang akan dapat menolong Ahli-Ahli Persatuan Pandu Puteri membaiki kelemahan-kelemahan Persatuan serta mengukuhkan lagi jentera pentadbirannya.

Beta percaya bahawa langkah-Iangkah untuk meningkatkan lagi tahap pengurusan dan perkhidmatan Persatuan perlu diamalkan secara berterusan, demi menyediakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang berkualiti tinggi terutamanya bagi ahli-ahli Persatuan yang terdiri daripada kanak-kanak dan belia.

Di dalam perkara ini, Beta juga difahamkan bahawa Jawatankuasa Tadbir Persatuan telah menyediakan Rancangan Tindakan 2008 hingga 2009 dan tidak lama lagi akan menerbitkan Handbook Tunas Puteri.

Beta berharap semua ahli-ahli Persatuan akan terus menyumbangkan tenaga mereka untuk menjayakan kerja-kerja serta usaha-usaha Persatuan ini, yang sudah sekian lama memainkan
peranan penting dalam meningkatkan pembangunan belia di negara kita.

Beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada penyokong-penyokong, penaja-penaja serta sukarelawan yang telah rnernberikan khidmat bakti rnereka kepada kegiatan-kegiatan Persatuan.

Mudah-mudahan sokongan mereka akan dapat diteruskan pada masa depan untuk sarna-sarna
rnernajukan lagi kepentingan anak-anak bangsa kita dan mengukuhkan imej negara di arena
antarabangsa.

Pada akhirnya, Beta mengucapkan selamat maju jaya kepada semua Ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

Mudah-mudahan segala usaha-usaha dan kerja-kerja kebajikan ahli-ahli Persatuan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda dan taufik serta hidayah daripada Allah
Subhanahu Wata'ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu 'AI.aikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Hari Perkhidmatan Awam Bagi Tahun 2007

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Perkhidmatan Awam Bagi Tahun 2007

TITAH
KEBAWAH DULl YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
BERSEMPENA HARI PERKHIDMATAN AWAM BAGI TAHUN 2007

PADA HARI SABTU
29HB. SYAWAL, 1428
10HB. NOVEMBER, 2007

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA BERAKAS,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukut kerana pada hari ini kita dapat menyambut Hari Perkhidrnatan Awan kali ke-14.

Walaupun sambutan ini disebut sebagai kali ke-14, namun pada hakikatnya, Perkhidrnatan Awam telahpun wujud sejak sekian lama.

Perkhidmatan Awam adalah sebuah institusi terpenting untuk membantu kerajaan rnerancang dan merumuskan dasar-dasar serta peraturan-peraturan, dan dalam masa yang sama, bertanggungjawab juga untuk melaksanakan hasil-hasil dari setiap perancangan itu.

Peranan ini memanglah disedari bukan mudah. Ia memerlukan keupayaan tinggi dan kesanggupan menghadapi cabaran-cabaran. Diantara cabaran-cabaran itu ialah, pengharapan kerajaan dan rakyat untuk melihat Perkhidmatan Awam berjaya menyediakan prasarana kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya.

Disinilah titik-tolak kecemerlangan yang kita cita-citakan. Kerana itu Beta sangatlah menyambut baik hasrat untuk menjadikan Perkhidmatan Awam kita berjaya dengan cemerlang.

Kecemerlangan yang dimaksudkan, tentu saja meliputi semua aspek perkhidmatan. Ia mesti difahami serta dijadikan matlamat oleh semua warga Perkhidmatan Awam.

Kearah ini, Beta ingin melihat satu audit dilaksanakan secara terperinci bagi menilai dan menyukat semula keperluan kakitangan disetiap agensi kerajaan. Kita perlu tahu dengan pasti jumlah kakitangan yang optima yang diperlukan.

Disamping itu; pengauditan juga perlu turut mengambil kira penilaian orang ramai yang menerima perkhidmatan daripada agensi-agensi kerajaan, pada misalnya, dengan melakukan 'Kajian Kepuasan Pelanggan' . Dalam makna, ukuran kecemerlangan itu hendaklah dinilai, bukan hanya dari kaca mata pihak yang memberikan perkhidmatan semata-mata, tetapi juga dari penilaian pelanggan.

Diantara ciri-cjri kecemerlangan itu ialah, apabila Perkhidmatan Awam berjaya membuat sesuatu keputusan dengan cepat lagi tepat.

lnilah yang amat ditunggu-tunggu serta diharapkan, terutama, oleh orang ramai atau para pelanggan.

Maka kearah ini, mekanisme Perkhidmatan Awam seperti 'sistem penilaian prestasi' dan tatacara pemilihan, mestilah dikendalikan dengan cermat dan adil, supaya para pegawai dan kakitangan, benar-benar menjadi orang-orang yang berkaliber serta memiliki kecekapan.

Demikian juga Perkhidmatan Awam perlu melakar strategi-strategi yang betul sebagai persiapan menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Mengenai dengan strategi ini, Beta percaya, semua kementerian tentu saja telah memiliki pelan-pelan strategi masing-masing sebagai langkah menuju kecemerlangan.

Namun pada hemat Beta, memiliki pelan-pelan strategi saja belumlah memadai.

Turut diperlukan selain itu ialah, semua lapisan pegawai dan kakitangan hendaklah pula memahami dan menghayati pelan tersebut, sambil serentak bergerak kearah pencapaian tujuan.

Satu lagi yang juga tidak kurang mustahaknya ialah, persefahaman diantara Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi perkhidmatan awam pada ‘amnya dalam mengendalikan rancangan-rancangan masing-masing, sehingga dilihat oleh orang ramai selaku sebuah jentera kerajaan yang bersatu, yang pernuh dengan keselerasan tanpa percanggahan diantara mereka.

Ini, akan memberikan gambaran baik, betapa mesra dan muhibbahnya warga Perkhidmatan Awamn dalam sebuah Kerajaan Kesultanan yang terunggul di dunia. Keunggulan dan keunikan kita bukan hanya pada sebutan dibibir, malahan juga menjadi kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi.

Dari manakah kita mampu memiliki Perkhidmatan Awam yang berjaya ini? Tentu saja dari kepimpinan yang baik. Tanpa kepimpinan yang demikian itu, kita tidak akan dapat memilikinya.

Oleh itu, Beta sangatlah menyambut baik tema sambutan kita pada kali ini, yang berbunyi: "Menjulang Kepimpinan Laila Kesejahteraan"

Kepimpinan yang Berjaya, tidak syak lagi, adalah jambatan yang menyampaikan kita kepada kesejahteraan.

Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada segenap lapisan warga Perkhidmatan Awam diatas jasa-jasa mereka kepada negara.

Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasallamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-17 Tahun 2007

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-17 Tahun 2007

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL
BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI
SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
KALI KE 17 BAGI TAHUN 2007
PADA
HARI SABTU
15HB. SYAWAL, 1428
27HB. OKTOBER, 2007

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita meraikan sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke 17 pada pagi ini.

Walaupun tarikh sebenar sambutan Hari Guru ialah pada 23 September, namun belumlah terlambat rasanya untuk Beta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang berkenaan.

Hari guru adalah salah satu ‘Hari Negara’ yang kita raikan pada setiap tahun. Ia membawa erti tersendiri kepada kebangkitan bangsa. Tidak akan ada kebangkitan itu tanpa guru. Gurulah pencetus mutlak semua kebangkitan.

Dengan guru, pendidikan terus berkembang. Tanpa pendidikan, tidak akan ada apaapa
yang boleh dipanggil kemajuan dan perkembangan.

Begitulah hebatnya guru. Guru adalah ‘bapa dan ibu didik’ kepada bangsa. Gurulah acuan yang berkesan.

Kerana itu guru, tidak mungkin dapat berpisah dari pendidikan.

Berasaskan inilah, beta pernah menyebut mengenai pentingnya mengadakan satu Skim Perkhidmatan Perguruan untuk memastikan yang para guru berkaliber akan terus kekal bertugasdi sekolah. Dengan skim ini juga akan memberikan ruang bagi guru-guru mencapai tahap gaji yang lebih tinggi, sejajar dengan sumbangan mereka yang besar itu.

Beta berharap, supaya Skim Perkhidmatan ini akan segera direalisasikan.

Apapun jua yang berbangkit mengenai ‘pembaikan’, adalah ia berkait rapat dengan Sistem Pendidikan.

Kita perlu mempunyai sistem pendidikan yang sentiasa relevan dengan tuntutan zaman. Kita tidak mahu tercicir dibelakang sambil kebekuan membelenggu kita.

Kerana itu Beta amat gembira bilamana Kementerian Pendidikan sedang mengemaskinikan Sistem Pendidikan Negara, yang dikenali sebagai Sistem Pendidikan Negara Abad 21, atau SPN 21. Langkah ini wajar, demi menyedari, bahawa arus proses globalisasi tidak akan menunggu sesiapa pun.

Sisitem pendidikan tidak hanya untuk melahirkan insan terpelajar, tetapi juga lebih penting, mesti mampu menjadi acuan menghasilkan generasi pemikir. Terpelajar sahaja belumlah menjadi jaminan apa-apa. Tetapi terpelajar yang pemikir, itulah pencorak masa depan Negara yang ditunggutunggu.

Beta sungguh mengingini sistem yang berjaya melahirkan tenaga-tenaga pemikir, demi keyakinan, jika kita ketandusan mereka itu, maka Negara akan mengalami kelemahankelemahan yang ketara disemua sudut.

Oleh itu, sampailah masanya kita memiliki ‘tapak semaian’ berupa Sistem Pendidikan: Menghasilkan generasi terpelajar Lagi Pemikir, selaku wawasan kita mengharungi abad ke21
ini.

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima
anugerah Hari Guru pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masihi

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI RAYA ‘IDILFITRI TAHUN 1428 HIJRAH / 2007 MASIHI

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Awal Syawal menjelang lagi. Seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh bersyukur serta gembira. Kita bersyukur, kerana dapat menunaikan kewajipan berpuasa selama sebulan penuh, sementara bergembira pula, kerana kita telah Berjaya menundukkan hawa nafsu dibulan yang Mubarak ini.

Bukanlah senang untuk menjadi orang yang pandai bersyukur, sekalipun perkataan ‘syukur’ itu mudah diucapkan. Sebab itulah, syukur amat tinggi nilainya disisi Allah. Ia menjadi punca bagi ‘Nikmat Allah’ bertambah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 7, tafsirnya:

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku (Allah) akan tambah lagi (nikmatKu) kepada kamu, dan sebaliknya jika kamu kufur (ingkar tidak bersyukur), maka sesungguhnya ‘azab-Ku adalah amat pedih.”

Bersyukur, adalah wajib dilakukan oleh semua peringkat dan golongan, tanpa mengira kaya ataupun miskin. Bersyukur adalah tangga kepada kebahagiaan.

Orang kaya yang bersyukur adalah orang yang berbahagia. Tanda dan cara bersyukur itu ialah dengan menggunakan hartanya dijalan-jalan kebajikan, antara lain yang paling dituntut ialah dengan mengeluarkan zakat.

Adapun orang yang berzakat itu, telah sedia dijamin oleh Allah akan ditambah lagi serta dipelihara harta-hartanya. Dalam makna, harta yang dizakat itu bukanlah kurang tetapi bertambah.

Apakah ini bukan untung dan bahagia namanya?

Sudahlah itu, kebahagiaan yang lebih besar dan abadi juga adalah sedang menunggunya di akhirat kelak.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sementara bagi orang bukan kaya pula, cara bersyukurnya ialah dengan memiliki sikap ‘berpada’ terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Dengan cara ini, orang tersebut akan menjadi orang yang paling bersyukur, dan sekaligus, paling berbahagia.

Jadi ternyata yang penting itu disini ialah, sikap kita. Sikaplah yang menentukan kebahagiaan atau kesengsaraan sesorang itu.

Baru-baru ini terdapat kenyataan daripada pihak berkenaan mengenai dengan kutipan wang zakat. Menurut kenyataan tersebut, kutipan zakat harta sahaja sehingga tempoh 31 Ogos, 2007 adalah menunjukkan penurunan yang ketara.

Mengapakah ia turun? Adakah ini merujuk kepada penurunan ekonomi, ataupun ianya ada kaitan dengan perubahan sikap kita dalam penunaian zakat?

Jika betul ia ada kaitan dengan perubahan sikap, mengapakah ia berubah itu?

Pada hemat Beta, ini tentu sahaja ada factor yang menyebabkannya berubah, sama ada ia faktor dalaman daripada dalam diri masyarakat sendiri, ataupun factor lain. Adapun factor dalaman itu, mungkin sahaja ia bersebab dari keyakinan masyrakat terhadap mekanisme zakat belum lagi mantap, yang menjadikannya satu daripada punca hasil kutipan zakat tidak tetap, atau turun naik dengan ketara.

Sebagai misalan, statistik telah memaparkan, pada tahun 2006, Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat hanya mengutip $8.8 juta sahaja, berbanding dengan tahun 2005 telah mengutip $18.9 juta, suatu penurunan yang amat ketara dan besar.

Jika betul ini berpunca daripada faktor dalaman yang bernama ‘keyakinan’, maka kita amat bimbang ia akan berlarut-larut jika tidak dipeduli. Oleh itu, patutlah bagi pihak berkenaan, bukan hanya setakat mengemukakan fakta dan data, tetapi lebih penting lagi, menanganinya dengan kajian-kajian terperinci, mengapakah kemerosotan atau penurunan itu berlaku?

Ini, akan memberikan kita maklumat yang berguna, dan seterusnya membuka jalan kearah mengesankan lagi cara pengendalian zakat, serta sekaligus mengatasi masalah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dikesempatan yang bersukut baik ini, Beta dan keluarga Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri kepada semua rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana saja mereka berada.

Beta juga dengan rendah hati sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua yang berkenaan yang terlibat dengan Majlis-Majlis Kesyukuran dan Do’a Selamat bersempena dengan 40 tahun Beta menaiki takhta. Beta berdo’a semoga ingatan dan jerih payah mereka yang sangat bernilai itu akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran manis daripadaNya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Tahun 1428H/2007M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Tahun 1428H/2007M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL
BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA TAHUN 1428H/2007M

PADA
HARI JUMA’AT (MALAM SABTU)
17HB. RAMADHAN, 1428
28HB. SEPTEMBER, 2007

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua kita dapat menikmati kemanisan Bulan Ramadhan yang mulia ini dan sekaligus dapat sekali lagi berkumpul untuk memperingati Peristiwa Nuzul Al-Qur’an.

Sumber ilmu penting bagi umat Islam ialah Al-Qur’an. Kecemerlangan tidak dapat dipisahkan daripada Al-Qur’an. Ia adalah petunjuk kearah itu.

Allah Subhanahu Wata’ala menyifatkan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang “Aqwam”. Kalimat Aqwam itu bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Maka mereka yang menjadikan Al-Qur’an sebagai rujukan, pasti akan beroleh kecemerlangan, kejayaan dan keselamatan.

Jalan kearah kecemerlangan, kejayaan dan keselamatan itu memerlukan peta yang lengkap. Al- Qur’an adalah peta yang dimaksudkan itu. Tidak terdapat sebarang bengkang bengkok didalamnya. Ia adalah cahaya yang menerangi semua jalan.

Orang-orang Arab dizaman jahiliah adalah golongan yang tidak bertamadun. Namun selepas mereka memeluk Islam, cara hidup mereka berubah sehingga dapat membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan ini tidak syak lagi dirangsang oleh Al-Qur’an. Oleh itu, pada hari ini apabila kita menginginkan kecemerlangan, maka Al-Qur’an adalah landasannya yang tepat.

Al-Qur’an berperanan membetulkan akidah kita dengan memberikan peringatan supaya  menyembah Allah, supaya ikhlas dan bulat hanya kepada Allah semata-mata, khasnya dalam ibadat dan juga dalam semua kegiatan kehidupan yang lain-lain. Inilah syarat kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar-benarnya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Haj, ayat 77, tafsirnya: “Wahai mereka yang beriman, ruku’ dan sujudlah serta beribadatlah kamu kepada Tuhan kamu dan buatlah kebaikan semoga kamu beroleh kejayaan”.

Umat Islam tidak akan mencapai kecemerlangan sekiranya mereka meninggalkan ibadat kepada Allah. Kerana kecemerlangan itu adalah bulat-bulat daripada Allah. Bagaimanakah Allah akan mengurniakannya kepada kita, jika kita tidak mahu menyembahNya.

Penyembahan terhadap Allah itu sama ertinya dengan melakukan keta’atan dalam semua perkara kehidupan. Disamping sembahyang, semua hukum-hakam Allah Ta’ala juga perlulah ditegakkan didalam diri kita, keluarga dan malah Negara.

Matlamat ibadah ialah mencari kerdhaan Allah. Apabila Allah redha, insya Allah semua pintu kebajikan akan terbuka.

Ini harapan kita dalam memburu kecemerlangan. Bukan saja kecemerlangan di dunia malahan juga, lebih utama, kecemerlangan di akhirat.

Yang penting, perspektif kecemerlangan itu janganlah disempitkan sebagai hanya kemajuan duniawi semata-mata, sama seperti orang mendefinisikan tentang kejayaan. Tetapi bagi orang Islam, kecemerlangan dan kejayaan yang sejati itu adalah kecemerlangan dan kejayaan di akhirat juga.

Ini dapat dilihat dari pendekatan Al-Qur’an sendiri dalam ungkapan-ungkapannya tentang kecemerlangan dan kejayaan itu sering menyebutnya sebagai “fauzan ‘azeeman” atau “Al-Fauzul
‘Azeem” yang bermakna “Kejayaan Besar”. Apakah dia yang dimaksudkan dengan “Kejayaan Besar” itu? Tidak lain ialah, memperolehi syurga Allah Ta’ala.

Jadi mudah-mudahan bersempena dengan menyambut Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini, kita akan dapat memahami dengan lebih jauh lagi erti kecemerlangan dan kejayaan yang sebenar-benarnya, serta sekaligus akan berusaha untuk mencapainya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Majlis Konvokesyen Ke 19 Universiti Brunei Darussalam

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Di Majlis Konvokesyen Ke 19 Universiti Brunei Darussalam
TITAH
KEBAWAH DULl YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-19 UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

PADA HARI SELASA
29HB. SY AABAN, 1428
11HB. SEPTEMBER, 2007

BERTEMPAT
DI DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana mengizinkan Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam Ke-19 ini dapat berlangsung dengan gilang gemilang.

Universiti Brunei Darussalam yang telah berusia lebih dari dua dekad ini, tidak diragukan lagi, sudah mampu melahirkan generasi intelek untuk negara. Ia akan berlangsung seterusnya tanpa mengalami sebarang rintangan.

Sebagai sebuah Universiti pertama di negara ini, ia perlu diberikan sokongan dan kepercayaan, untuk ia dapat merancang dan melakar sendiri perkembangannya. Dengan ini, akan lebih cepatlah lagi negara menikmati sumbangan-sumbangannya.

Diantara sumbangan paling penting dan bermakna, ialah sumbangan dibidang penyelidikan atau kajian. Daripadanya, kita akan dapat menemukan atau menghasilkan sesuatu yang bermutu lagi berguna. Ini, bukan saja dapat dicapai oleh pensyarah, malahan juga pelajar.
Kerana itu, akan menjadi kebanggaan, jika sekali sekala, pensyarah atau pelajar Universiti ini, dapat membuat kejutan dengan hasil-hasil kajian mereka dalam apa saja bidang yang kita ada.

lni, akan memberi pendedahan berupa fakta, bahawa di Universiti Brunei Darussalam ini juga turut memiliki warganya yang kreatif.
Selain itu, Beta melihat, Universiti Brunei Darussalam juga, boleh menyumbang khidmat kepada masyarakat, melalui ahli-ahli fakulti dan pelajar-pelajarnya, seperti turut menangani pelbagai isu, termasuk isu-isu sosial, isu persekitaran, mala petaka dan seumpamanya.

Sebagai sebuah institusi yang mempunyai banyak kepakaran, UBD sudah tentu berkemampuan untuk menyumbangkan gagasan dalam bentuk cadangan-cadangan yang dapat menyelesaikan isu-isu tersebut.

Beta pemah menyarankan agar kepakaran-kepakaran yang sedia ada di Universiti ini dimanfa'atkan semaksimum mungkin oleh semua pihak yang berkepentingan termasuk agensi-agensi tertentu dalam sektor kerajaan dan swasta. Dengan adanya penghargaan dan sokongan dalam bentuk moral dan kewangan oleh pihak luar Universiti, mungkin saja ini akan menjadi tarikan kepada pakar-pakar atau ahli-ahli akademik yang prominent didalam bidang masing-masing bagi memilih berkhidmat di unversiti. Beta percaya, UBD dapat melihat perkara ini sebagai satu cara mengukir kecemerlangan.

Beta turut gembira difahamkan, bahawa salah satu program yang ditawarkan di Universiti Brunei Darussalam, ialah program Ijazah Pertama Kewangan dan Perakaunan (B.A. Accounting and Finance). Ia telah mendapat pengiktirafan Badan Professional dunia dengan diberikan pengecualian maksimum daripada Skim Peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) UK. Ini
sesungguhnya adalah suatu pencapaian yang patut dibanggakan.

Menyentuh mengenai perkembangan pendidikan, Negara kita sekarang telah berjaya menyediakan ruang dan kesempatan lebih luas bagi rakyat dan penduduk untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Dengan tertubuhnya Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada awal tahun ini, maka peluang-peluang bagi mendalami dan menguasai ilmu keagamaan khasnya di dalam negara, adalah semakin terbentang luas.

Ini merupakan pertanda, bahawa kita adalah ingin menguasai semua bidang ilmu, kerana hanya dengan ilmu pengetahuan yang lengkap sahaja, dunia dan akhirat kita akan dapat diraih dengan sempurna.

Sesuai dengan kepentingan ilmu pengetahuan, maka kita akan terus komited untuk mempastikan bahawa semua jurusan dalam pendidikan akan terus ditingkatkan dengan izin Allah. Kita akan pelihara dan bisaikan terus prasarana atau infrastruktur pendidikan kita, supaya semua bidang ilmu dapat dimanfa' atkan bukan saja oleh pelajarpelajar kita sendiri, malahan juga pelajar-pelajar daripada luar negara.

Akhimya Beta sukacita merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua para graduan yang menerima ijazah mereka pada hari inL Demikian juga Beta ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak -pihak yang berkenaan di Universiti Brunei Darussalam, khususnya kepada Pengerusi dan ahliahli Majlis Universiti, Naib Canselor, para ahli akademik, pentadbir, pegawai dan seluruh kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah mereka curahkan.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat, petunjuk, hidayah dan bimbingan kearah lebih menjayakan lagi perjalanan dan perkembangan Universiti kita ini, insya Allah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Urusan Rumah Tangga 2007

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA BINTI AL-MARHUM PENGIRAN PEMANCHA PENGIRAN ANAK HAJI MOHAMED ALAM DI MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PAMERAN URUSAN RUMAH TANGGA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM PADA HARI AHAD, 13 SYAABAN 1428 HIJRAH / 26 OGOS 2007 MASIHI BERTEMPAT DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Asalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdullillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang berkebajikan ini. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat dan para sahabat baginda yang ta'at setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu beta sukacita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Pameran Urusan Rumah Tangga 2007, Persatuan PERTIWI, kerana mengundang beta untuk hadir dan seterusnya merasmikan Pameran Urusan Rumah Tangga sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-61.

Di tahun ini beta ingin menekankan lagi mengenai dengan tanggungjawab dalam hal ehwal menyempurnakan pengurusan rumah tangga dan keluarga.

Baru-baru ini kita mendengar atau membaca mengenai kejadian-kejadian anak-anak remaja yang lari dari rumah atau menghilangkan diri dari sisi keluarga mereka.

Apa yang membimbangkan adalah kejadian sedemikian nampaknya semakin banyak berlaku dan meningkat jumlahnya. Pada hemat beta ini, menunjukkan bahawa cabaran-cabaran dan pengaruh kehidupan moden telah membawa akibat-akibat yang buruk terhadap suasana dan nilai kekeluargaan masyarakat kita.

Sememangnya disedari bahawa dengan kesibukan kerja dan usaha-usaha mencari mata pencarian, kedua-dua ibu bapa mungkin mempunyai masa yang terbatas untuk keluarga mereka masing-masing.

Justeru itu ada sebilangan kaum keluarga yang mengalami kesulitan dalam memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak mereka.

Dalam hal sedemikian kanak-kanak yang juga golongan remaja amat memerlukan kasih sayang, didikan, dorongan akidah serta sokongan moral dan emosi untuk membangun sahsiah yang sempurna.

Ini adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak kita yang terdiri daripada generasi masa depan negara ini.

Ianya adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan dan tidak kurang pentingnya dalam semua peringkat pembangungan akhlak, rohani dan jasmani anak-anak kita sehingga mereka mencapai tahap umur dewasa.

Beta berharap tanggungjawab ini dapat kita semua laksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pada akhirnya, beta juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada pemenang-pemenang dan kesemua peserta pameran yang dapat meluangkan masa mereka untuk mengambil bahagian dalam persembahan serta pertunjukkan yang akan beta saksikan sebentar lagi.

Maka dengan mendahulukan kalimah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pameran Urusan Rumah Tangga Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-61.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1428/2007

TITAH KEBAWAH DULl YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI  HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM  SEMPENA MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR'AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN BAGI TAHUN 1428H/2007M PADA HARI KHAMIS (MALAM JUMA'AT) 8HB. JAMADJLAWAL, 1428 / 24HB. MEl, 2007 BERTEMPAT DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANT ARABANGSA, BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh Sismillaahir Rahman Nir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mu aleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba' du.

Kita sama-sama bergembira, kerana berjaya pula rnenampilkan peserta kita ke Musabaqah Tilawah AI-Qur'an Antarabangsa.

Motif musabaqah ialah untuk meningkatkan mutu kemahiran dalam permbacaan Al-Qur'an. Ianya perlu didukung secara berterusan.
Membaca al-Qur'an bermakna memelihara dan memuliakannya. Ia banyak mendatangkan manfa'at, seperti mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Ta' ala.
 
Tidakkah membaca al-Qur' an itu bererti kita berkata-kata dengan Allah, kerana al-Qur'an adalah kalam-Nya?

Barang siapa yang menyedari ini, sudah barang tentu tidak akan mengabaikan al-Qur'an itu. Membaca al-Qur'an adalah salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Orang yang dekat kepada Allah adalah orang yang mendapat redha serta rahmat- Nya.

Setiap huruf yang dibaca adalah pahala dan cahaya. Ia khazanah yang tidak akan kering-kering tetapi boleh sentiasa bertambah jika kita mahu. Bacalah ia selalu, nescaya khazanah itu akan bertambah dan terns bertambah.
Kalau khazanah harta benda kita mahu bertambah, mengapakah khazanah pahala dan rahmat tidak?

Sepatutnya, tiap-tiap individu orang Islam mestilah berusaha menambah khazanah ini. Jika ia bertambah, kesannya bukan sahaja kepada batang tubuh berkenaan, malahan juga kepada negara dan ummah.

Bukankah kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan itu rahmat? Semuanya ini tidak akan wujud kalau tidak ada rahmat. Rahmat Allahlah yang menghias dan malah menyelamatkan negara serta kita semua.

Oleh itu, kita adalah tidak mampu untuk ketandusan rahmat.

Sebab itu pula, sistem pendidikan kita rnengambil berat pelajaran ugama dan al-Qur'an itu.

Perkara ini turut benar-benar difaharni dan didukung oleh setiap keluarga, sebagaimana Beta difahamkan bahawa ramai keluarga yang mengaturkan anak-anak mereka belajar al-Qur'an secara private di samping belajar di sekolah. lni adalah pertanda baik sebagai sifat bangsa yang cintakan al-Qur' an. Kita juga, alhamdulillah, memiliki lnstitut Tahfiz AI-Qur'an. lnstitut ini mengajarkan ilmu-ilmu al-Qur'an, khasnya dibidang hafalan dan bacaan murattal. Ia juga menambah fungsi, meliputi penyibaran kefahaman kandungan al-Qur'an.

Selaras dengan projek penyibaran kefahaman kandungan al-Qur'an itu, Beta amatlah gembira difahamkan, bahawa satu usaha sedang dibuat untuk menyusun tafsir al-Qur' an yang diberi nama "Tafsir Darussalam."

Beta berharap, usaha ini akan berjaya, dan dengan kejayaan itu kelak, akan menjadi satu lagi mercu tanda kegemilangan Islam di negara ini.

Ia juga akan turut menambah banyak lagi bahan rujukan memahami kandungan al-Qur'an, di samping kitab-kitab tafsir yang muktabar yang sedia ada.

Beta akhiri dengan memetik beberapa ayat dari awal Surah Taa-Haa, yang telah memberikan kita peringatan tentang al-Qur'an, tafsimya: "Taa-Haa, tidaklah Kami menurunkan al-Qur'an itu kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya (ia) menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. "

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pembukaan Majlis Mesyuarat Negara 2007

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Majlis Mesyuarat Negara Pada Hari Selasa, 16 Safar 1428 / 6 Mac 2007.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Dalam persidangan kali ini Ahli-ahli akan berpeluang untuk membincangkan peruntukan belanjawan tahun 2007 - 2008.

Peruntukan ini tidak syak lagi, adalah nadi bagi menggerakkan jentera pembangunan negara. Objektifnya yang utama ialah supaya kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Dengan peruntukan itu, kita bukan saja mampu merancang, tetapi juga berupaya untuk membawa negara ini kepada perkembangan yang selayaknya.

Beta berharap, semua agensi kerajaan yang diamanahkan dengan Peruntukan Kewangan akan dapat mengawalnya dengan penuh akauntabiliti serta menggunakannya menurut perancangan. Semua sistem perlaksanaan, pemantauan dan penilaian hendaklah sentiasa dikemaskinikan, supaya semua yang berkepentingan dengannya akan dapat menikmati perkhidmatan yang efisien
lagi berkesan.

Pengurusan kewangan yang bijaksana dan bertanggungjawab akan membolehkan kita bergerak dengan lebih cepat dalam mengatasi apa jua rupa cabaran. Di satu aspek, kita biasa diberitahu betapa pentingnya berbelanja dengan cara berhemat atau
‘prudent’.

Tetapi di aspek yang lain kita juga perlu melihat keutamaan, sambil tidak mengorbankan kelicinan pentadbiran yang akan menjejaskan pembangunan jangka pendek mahupun jangka panjang.

Setiap cadangan dan rancangan perlulah ditimbang, bahawa ia bukan saja berdasarkan keperluan ‘value for money’ tetapi lebih utama ialah kemanfaatannya, yang dapat membawa negara mencipta tamadun dan nama.

Kerana negara yang ketandusan tamadun dan nama tidak akan mampu untuk berdiri cemerlang. Demikian juga tidak salah untuk kita mengambil kira, bahawa setiap perancangan belanjawan itu hendaklah mempunyai nilai dapat mendatangkan pulangan pelaburan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Bila bercakap mengenai pelaburan, janganlah ia disempitkan kepada aspek benda semata-mata. Tetapi di manakah kita dengan aspek ilmu dan pendidikan umpamanya?

Kerana itu ‘perancangan besar’ yang berkualiti ialah, bila mana kita dapat menjelmakan pelaburan bersepadu di antara benda dan tamadun.

Pelaburan ketamadunan juga adalah amat berpotensi untuk menambahkan penghasilan negara. Jadi rancangan-rancangan kerajaan bukan saja untuk perkembangan ekonomi yang berkesan, malahan juga untuk memperkukuh dan memperkaya lagi nilai-nilai hidup dan tamadun bangsa. Beta yakin tugas ini bukanlah luar biasa untuk dilaksanakan, jika semua pihak mempunyai kefahaman dan visi yang sama.

Setakat ini alhamdulillah, dengan izin dan petunjuk Allah jua, telah banyak kejayaan yang dapat kita nikmati.

Sehubungan itu, beta juga gembira mendapati perkembangan yang baik, sejak Majlis Mesyuarat Negara diwujudkan semula.

Beta berharap, Ahli-ahli Yang Berhormat akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan bijaksana, dedikasi serta ikhlas.

Dinamakan bijaksana itu ialah dapat melihat segala permasalahan dengan ‘mata hati’, bukan semata-mata apa yang terpapar sahaja tetapi juga tahu meletakkan harga kata-kata bagi meraih manfaat daripadanya.

Sasaran utama kita tidak lain ialah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang benar-benar berdaulat aman makmur lagi selamat.

Akhirnya beta berdoa semoga Ahli-ahli akan dapat berbincang dengan penuh hemah bagi memartabatkan Majlis Mesyuarat ini selaku sebuah institusi yang betul-betul dihormati. Jadikanlah ia forum atau wadah yang membina bagi kelangsungan konsep Melayu Islam Beraja yang luhur itu.

Beta yakin dengan bimbingan bijaksana Yang Amat Mulia Yang Dipertua Dewan persidangan ini berjalan dengan lancar, bebas dan menepati sasarannya.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.