Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri
Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran
Anak Haji Mohamed Alam sempena Sambutan Hari Pandu Puteri Brunei
Darussalam Tahun 2012 pada hari Jumaat, 26 Zulkaedah 1433 bersamaan 12
Oktober 2012 bertempat di Dewan Sejahtera, Bangunan Sumbangsih Bahagia,
Kompleks Perindustrian Beribi II.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah,
segala puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana
dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita hadir bersama-sama
di majlis yang berkebajikan ini.
Selawat serta salam ke atas
Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, serta
kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia
lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Beta telah difahamkan bahawa
mulai pada tahun ini, pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah
mengisytiharkan tarikh 11 Oktober sebagai International Day of The Girl.
Pada
hemat beta, pengisytiharan ini merupakan satu pengiktirafan yang besar
terhadap pentingnya peranan golongan anak-anak dan remaja-remaja
perempuan di dalam setiap masyarakat.
Oleh yang demikian, beta
berharap Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam akan mendapat iktibar
dan inspirasi daripada pengisytiharan tersebut, dan seterusnya
meningkatkan lagi usaha-usaha ahli-ahlinya dalam membuat kerja-kerja
kebajikan selaras dengan hala tuju dan objektif persatuan.
Di
samping itu, beta juga ingin melihat lebih banyak projek-projek
persatuan yang menjurus kepada penyemaian unsur-unsur konsep Melayu
Islam Beraja yang sangat mulia, sebagai asas kehidupan dan tingkah laku
setiap individu di kalangan anak-anak perempuan kita, terutamanya mereka
yang masih bersekolah.
Insya-Allah, dengan adanya usha-usaha ke
arah menguatkan ciri-ciri dan moral yang murni, kita akan sama-sama
dapat membanteras pengaruh-pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak
dan minda anak-anak kita, dan seterusnya menjejaskan hasrat Kerajaaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan untuk membangun masyarakat yang aman makmur lagi bertamadun.
Beta
memang gembira mendengar bahawa rancangan bagi kegiatan-kegiatan
Persatuan Pandu Puteri dapat dilaksanakan dengan sempurna, dan
mudah-mudahan segala usaha-usaha baik persatuan ini akan mendapat
ganjaran pahala dan taufiq serta hidayah daripada Allah Subhanahu
Wata’ala.
Pada akhirnya, beta mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment